Sunday, August 25, 2013

Latihan Ulang kaji Ramalan SPM Bahasa Melayu 2013 Seloka Si Luncai

Baca puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawap soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan
ayat anda sendiri.

Seloka Si Luncai
Md. Ali Bachik (ILADAM) (Penyelenggara)

Sikap Si Luncai, biarkan, biarkan …
Ada rumah tidak dijaga,
Ada anak tidak dilatih,
Ada ternakan tidak dibela,
Ada kebun tidak ditanam,
Ada cerdik tidak selidik,
Ada belajar kepalang ajar,
Ada mengaji tidak mengkaji,
Ada mata tiada kuasa,
Ada kuat tiada buat,
Biarkan, biarkan …!
Si Luncai pun terjun dengan labu-labunya.

Antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dn Pustaka, 2010

i. Apakah sikap Si Luncai yang dapat anda simpulkan daripada puisi ini? [3 markah]
ii. Pada pendapat anda, apakah yang akan terjadi kepada individu yang mempunyai sikap seperti Si Luncai? [3 markah]
iii. Nyatakan tiga gaya bahasa yang ketara dalam puisi ini? [3 markah]

Cadangan jawapan
i. Sikap Si Luncai yang dapat disimpulkan ialah dia merupakan seorang individu yang mempunyai segala-galanya tetapi tidak
mempunyai dorongan untuk menggunakannya dengan sebaik mungkin.
[3 markah]
ii.  Pada pendapat saya, individu seperti Si Luncai akan membiarkan segala kelebihan yang dimilikinya terlepas daripada tangannya.
Akhirnya dia akan hidup melarat.
[3 markah]
iii. Satu gaya bahasa yang ketara dalam puisi ini ialah pengulangan kata pada awal baris atau anafora. Ini dapat diperhatikan
melalui pengulangan kata “Ada” pada baris kedua hingga ke baris ke sepuluh. Selain itu terdapat juga gaya bahasa responsi iaitu
pengulangan kata pada pertengahan baris puisi. Ini dapat diperhatikan melalui pengulangan kata “tidak” pada baris kedua dan
ketiga. Satu lagi gaya bahasa yang ketara ialah epifora iaitu pengulangan kata pada penghujung baris-baris puisi. Hal ini dapat
diperhatikan melalui pengulangan kata “ biarkan” pada baris pertama dan ke sebelas.
[3 markah]



http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment