Wednesday, March 27, 2013

Tulis semula petikan di bawah dalam bentuk cakap pindah tanpa mengubah maksudnya.


“Sabar, sabar semua. Tak ada gunanya kita mogok. Bukan majikan saja yang rugi. Kita pun rugi juga,” kata Haji Said.

“Tak guna sabar lagi haji,” teriak Fuad. “Majikan kita dah melampau. Janji lain, buat lain,” katanya lagi.

“Betul, betul,” teriak Ghani yang baru mula bekerja dua bulan yang lalu di kilang itu. “Kita kena tunjuk kekuatan kita pada dia orang. Satu dunia dia orang eksport barang. Tapi kata rugi. Jom kita mogok. Baru dia orang tahu apa itu rugi,” bentaknya lagi.

“Jangan terburu-buru. Kita bincang dulu. Kita cakap sama dia orang apa kita nak. Lepas tu baru kita buat keputusan apa nak buat, “ kata Haji Said lagi.

Cadangan jawapan


Haji Said meminta kesemua mereka bersabar. Menurut beliau lagi tidak ada gunanya mereka melancarkan mogok. Bagi beliau, perbuatan itu bukan sahaja akan merugikan majikan tetapi juga diri mereka sendiri. Namun begitu, pandangan beliau tidak dipersetujui oleh Fuad. Menurut Fuad, tindakan majikan mereka sudah keterlaluan kerana mereka tidak menepati janji. Pandangan Fuad mendapat sokongan Ghani yang hanya mula bekerja dua bulan yang lalu di kilang itu. Ghani menyeru para pekerja kilang itu menunjukkan kekuatan mereka. Dia tidak berpuas hati kerana walaupun barangan kilang itu di eksport ke seluruh dunia tetapi majikan mengatakan mereka mengalami kerugian. Oleh itu dia meminta rakan-rakannya melancarkan mogok supaya majikan faham maksud rugi dalam erti kata yang sebenarnya. Sementara itu Haji Said tetap meminta para pekerja kilang itu bersabar. Beliau meminta mereka berbincang dan menjelaskan kehendak mereka kepada majikan. Hanya selepas itu barulah mereka putuskan tindakan selanjutnya.




http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment