Wednesday, March 27, 2013

PENGETAHUAN AM TENTANG AYAT

Bagi menjawab soalan-soalan pada bahagian ini dengan baik, anda perlu memiliki pengetahuan asas yang kukuh tentang ayat.

A. PENGGOLONGAN AYAT

Ayat-ayat Bahasa Melayu boleh dikategorikan dalam tiga kelompok:

i. Ayat Dasar
ii. Ayat Tunggal
iii. Ayat Majmuk


Ayat Dasar

a. Ayat dasar merupakan ayat-ayat asas dalam Bahasa Melayu.
b. Ayat-ayat inilah yang menjadi dasar untuk semua ayat lain.
c. Terdapat tiga ciri utama ayat dasar iaitu:

i. Satu subjek dan satu predikat sahaja

ii. Subjek mesti di hadapan dan predikat mesti di belakang

iii. Subjek hanya terdiri daripada kata/frasa nama (FN) manakala predikatnya boleh terdiri daripada sama ada frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) atau frasa sendi nama (FS)

d. Terdapat empat pola ayat dasar iaitu


FN + FN
Contoh :
a. Ayah / guru.
b. Ibu saya / tukang masak.

FN + FK
Contoh :
a. Ayah / menebang pokok.
b. Ali / menendang bola.

FN + FA
Contoh:
a. Rumah itu / besar.
b. Budak itu / pandai.

FN + FS
Contoh :
a. Ayah / ke pejabat.
b. Ibu saya / ke pasar.


Ayat Tunggal

1. Ayat tunggal sama dengan ayat dasar iaitu hanya terdiri daripada satu subjek dan satu
predikat.

2. Walau bagaimanapun ayat tunggal berbeza daripada ayat dasar dalam beberapa aspek iaitu:

a. Semua ayat dasar ialah ayat penyata sahaja manakala ayat tunggal boleh terdiri daripada pelbagai jenis ayat seperti ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.

b. Bagi ayat dasar, subjek mesti di hadapan dan predikat mesti di belakang. Ayat tunggal pula tidak mementingkan susunan ini. Oleh itu ayat tunggal boleh mengalami proses penyongsangan dan predikatnya boleh hadir di hadapan ayat.

3. Terdapat empat jenis ayat tunggal dalam bahasa Melayu iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.





Ayat Penyata

Contoh :
Adik saya / pergi ke sekolah.


Ayat Tanya

Contoh:
Nama kamu / siapa? (“siapa” ialah predikat)
Ayat ini boleh mengalami proses penyongsangan dan ditulis seperti ini …
Siapakah nama kamu?



Ayat Perintah

Terdapat empat jenis ayat perintah iaitu:

i. Ayat Suruhan
Contoh :
Awak / siapkan kerja ini sekarang juga.
Kamu / belilah buku itu.

ii. Ayat Larangan.
Ayat ini akan menggunakan kata larang usah, tak usah dan jangan,
Contoh :
Awak / tak usah datang ke rumah saya.
Kamu / jangan ambil buku itu.
Awak / tak usah ganggu dia lagi.

iii. Ayat Silaan
Ayat ini akan menggunakan kata sila dan jemput.
Contoh :
Awak / jemputlah makan bersama kami.
Tuan / silalah masuk ke rumah.

iv. Ayat Permintaan
Ayat ini akan menggunakan kata permintaan seperti minta dan tolong.
Contoh :
Tuan-tuan / tolong datang awal sedikat.
Para hadirin / minta bersabar sebentar.



Ayat Seruan

Contoh:
Ayat-ayat ini akan menggunakan kata seru seperti wah, aduh, amboi, cis, nah dll.
Contoh :
Amboi, cantiknya rumah awak!



Ayat Majmuk

Ayat majmuk terbina melalui gabungan dua atau lebih ayat tunggal dengan menggunakan kata hubung. Hal ini bermakna ayat majmuk akan mempunyai lebih daripada satu subjek dan/atau predikat.

Contoh :
Ali / pergi ke sekolah. – Ayat tunggal 1
Adiknya / masih tidur. – Ayat tunggal 2

Ali pergi ke sekolah tetapi adiknya masih tidur - Ayat majmuk

Ayat majmuk dikenali dengan nama berbeza berdasarkan jenis kata hubung yang digunakan dan kaedah ayat-ayat di dalamnya digabungkan.

Contoh :

Ayat Majmuk Gabungan
Ini ialah dua atau lebih ayat tunggal yang dihubungkan dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, lalu, serta, walaupun dll.



Contoh:
Hisham dan adiknya pergi ke sekolah.
Pak Jalil tetap turun ke sawah walaupun badannya kurang sihat.

Ayat Majmuk Pancangan Relatif
Ini ialah ayat majmuk yang menggunakan kata hubung yang sahaja.

Contoh:
Pelajar yang baru berpindah dari Johor itu pandai bermain catur.

Ayat Majmuk Pancangan Komplemen
Ini ialah ayat majmuk yang menggunakan kata hubung bahawa dan untuk sahaja.

Contoh:
Guru menerangkan bahawa besok hari cuti.
Dia membeli hadiah itu untuk ibunya yang tercinta.

Ayat Majmuk Pancangan Keterangan
Ini merupakan ayat majmuk yang terdiri daripada satu ayat induk dan satu ayat kecil. Ayat kecil itu berfungsi untuk menerangkan ayat induk.

Contoh :
Ali tidak datang ke sekolah kerana sakit. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Sebab)
Saya akan pergi jika tidak hujan. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Syarat)
Dia sakit perut setelah memakan kuih itu. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Waktu)
Dia tetap ke sawah walaupun sakit. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Pertentangan)
Kami berdoa agar dia lekas sembuh. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Harapan)
Ayah pergi ke pejabat dengan kereta. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Cara )



http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment