Tuesday, October 30, 2012

KOMSAS PANDUAN MENJAWAB

PUISI TRADISIONAL – TINGKATAN 4

PENGENALAN

Soalan pemahaman berdasarkan puisi akan dikemukakan pada Soalan 2d,  Kertas 2. Anda boleh diberikan sebuah puisi tradisional atau sajak. Sebanyak tiga soalan akan diperuntukkan bagi bahagian ini. Pola soalannya adalah seperti berikut:

i. Soalan pemahaman kontekstual, frasa atau rangkai kata. Jawapan untuk bahagian ini boleh dikutip secara langsung daripada puisi. Walau bagaimanapun anda seharusnya mampu menafsirkan perlambangan yang digunakan agar jawapan anda menunjukkan pemahaman terhadap maksud sebenar puisi tersebut. Selain itu anda juga mungkin diminta menerangkan sesuatu
konsep yang disampaikan dalam bentuk frasa. Sekali lagi, anda perlu menafsirkan perlambangan, simbol dan maksud tersirat yang terkandung di dalamnya bagi membuktikan pemahaman anda
ii. Soalan KBKK. Anda akan diminta memberikan idea peribadi tentang sesuatu hal yang berkaitan dengan puisi tersebut. Anda perlu menggunakan pandangan sendiri dan tidak boleh bergantung kepada kandungan puisi yang diberikan.
iii. Soalan KOMSAS. Di sini anda akan disoal tentang unsur-unsur sastera yang terkandung dalam puisi tersebut. Antaranya anda mungkin perlu memberikan tema, persoalan, pengajaran, nilai dan sebagainya.


A. Pantun

i. Pantun merupakan salah satu komponen kesusasteraan Melayu yang tertua.

ii. Jika ditinjau dari segi bentuknya terdapat pelbagi jenis pantun seperti pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat, sepuluh kerat, dua belas kerat dan pantun berkait.

iii. Pantun yang paling popular ialah pantun empat kerat.
iv. Dalam pantun empat kerat, dua baris pertama merupakan pembayang manakala dua baris terakhirnya pula merupakan maksud.

v. Setiap baris dalam pantun ini akan terdiri dalam lingkungang 4 patah perkataan.
vi. Rima hujung pantun empat kerat ialah abab.

B. Syair
Syair merupakan puisi tradisional yang muncul di dunia Melayu melalui pertembungan bangsa Melayu dengan Arab. Istilah “Syair” berasal daripada bahasa Arab yang bemaksud perasaan atau sesuatu yang muncul melalui rasa. Ciri-ciri syair ialah:

i. Setiap rangkap syair terdiri daripada 4 – 5 patah perkataan.
ii.Rima akhirnya ialah aaaa
iii.Tidak ada konsep pembayang dalam syair. Kesemua empat barisnya berfungsi sebagai maksud.

iv. Syair biasanya menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan cerita dongeng, hikayat, sindiran, hal-hal berkaitan agama atau memberikan nasihat.


C. Gurindam
Gurindam merupakan sejenis syair melarat yang biasanya terdiri daripada dua baris serangkap tanpa sebarang had terhadap jumlah rangkapnya.  Antara ciri gurindam ialah
i. Terdiri daripada dua baris serangkap.
ii. Rima akhirnya ialah aa.
iii. Ayat pertama merupakan pengenalan untuk isu, manakala ayat keduanya menjadi penerang akibat untuk ayat pertama.
iv. Biasanya gurindam bertujuan untuk memberikan nasihat tentang kehidupan dan juga hal-hal agama.


D. Seloka
Perkataan “seloka” berasal daripada perkataan Sanskrit. Kaedah inilah yang digunakan untuk menyampaikan cerita Mahabharata dan Ramayana. Ciri-ciri seloka ialah

i. Seloka merupakan puisi yang digunakan sebagai pilihan untuk prosa bagi menyampaikan sesuatu kisah.

ii. Terdapat dua bentuk seloka iaitu seloka bersajak (empat baris serangkap dengan rima hujungnya aaaa) dan seloka tidak bersajak (tiada ketetapan baris dan rima).

iii. Seloka Emak Si Randang ialah satu contoh seloka tidak bersajak.
iv. Oleh kerana seloka membawakan satu cerita, maka tidak ada konsep pembayang di dalamnya.


Sumber rujukan :
Dr Kathiresan PhD (Pengarang lebih 60 buku Revisi Bahasa Melayu dan Kesusasteraan)
http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment