Saturday, April 07, 2012

AYAT MAJMUK

Ayat Majmuk Gabungan
(dan, atau, tetapi, sambil, bahkan, lantas, malahan, sambil, serta, lalu)

Ayat Majmuk Pancangan
1. elatif = contoh 'yang'
2. Komplemen = contoh 'bahawa, supaya, untuk'
3. Keterangan = contoh 'kerana, apabila, dengan, ketika, seperti, bagi, setelah,
macam, bak'


1. Ayat majmuk ialah ayat yang mempunyai dua atau lebih ayat tunggal.
2. Ayat majmuk biasanya lebih panjang berbanding dengan ayat tunggal.
3. Ayat majmuk dibahagikan kepada dua iaitu ayat majmuk gabungan dan ayat majmuk pancangan.
4. Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada cantuman dua atau lebih ayat tunggal dengan menggunakan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, sambil, dan sebagainya.

Contohnya:
(a) Ayah ke pejabat. (ayat tunggal)
(b) Abang juga ke pejabat (ayat tunggal)
(c) Ayah dan abang ke pejabat. (ayat majmuk gabungan)

5. Ayat majmuk pancangan ialah gabungan satu ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil.
6. Ayat induk dan beberapa ayat kecil boleh berdiri sebagai ayat yang lengkap.
7. Ayat-ayat kecil ini dipancangkan dengan ayat induk dan menjadi sebahagian dalam ayat induk.
8. Ayat majmuk pancangan dapat dibahagikan kepada tiga jenis iaitu ayat majmuk pancangan relatif, ayat majmuk pancangan komplemen, dan ayat majmuk pancangan keterangan.
9. Ayat majmuk pancangan relatif terbentuk melalui cantuman dua ayat dengan menggunakan kata relatif iaitu yang.

Contohnya:
(a) Kakak memakai baju. (ayat tunggal)
(b) Baju itu berwarna biru. (ayat tunggal)
(c) Kakak memakai baju yang berwarna biru.(ayat majmuk pancangan relatif)

10. Ayat majmuk pancangan komplemen ialah ayat yang terbentuk melalui pencantuman dua ayat yang menggunakan penanda komplemen iaitu bahawa, supaya, untuk, dan sebagainya.

Contohnya:
(a) Doktor memberikan pendapatnya. (ayat tunggal)
(b) Mencegah wabak denggi adalah lebih baik daripada merawat.(ayat tunggal)
(c) Doktor memberikan pendapatnya bahawa mencegah wabak denggi adalah lebih baik daripada merawat. (ayat majmuk pancangan komplemen)

11. Ayat majmuk pancangan keterangan ialah cantuman ayat induk dengan ayat kecil yang berfungsi sebagai keterangan kepada predikat.
12. Kata hubung yang digunakan ialah kerana, apabila, dengan, ketika, seperti, bagi, setelah, macam, bak, dan sebagainya.

Contohnya:
(a) Remaja itu terlibat dalam lumba haram. (ayat tunggal)
(b) Remaja itu terpengaruh dengan rakan sebaya. (ayat tunggal)
(c) Remaja itu terlibat dalam lumba haram kerana terpengaruh dengan rakan sebaya. (ayat majmuk pancangan keterangan)


http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment