Thursday, March 15, 2012

Kata Sendi

1. Golongan kata sendi adalah golongan kata yang digunakan untuk menyambungkan frasa nama dengan kata atau frasa-frasa dalam ayat.

2. Kata sendi menunjukkan perkaitan antara satu perkataan/frasa dengan perkataan/frasa yang lain.

3. Kata sendi nama merupakan kata depan kepada kata nama.

4. Kata sendi memerlukan frasa nama untuk membentuk frasa sendi supaya dapat bertugas sebagai predikat ayat.

5. Antara kata sendi yang lazim digunakan dalam Bahasa Melayu ialah seperti : di, ke, dari, daripada, kepada, pada, bagi, demi, tentang, seperti, bagai, umpama, sejak, terhadap, akan, oleh, hingga, sampai, antara, untuk, dengan, dalam, dan sebagainya.

Contoh:

a. Buku di pejabat (kata nama + kata sendi + kata nama)
b. Menyelam sambil minur air (kata kerja + kata sendi + frasa kerja)
c. Rosak kerana banjir melanda (kata sifat + kata sendi + frasa nama)

Penggunaan Kata Sendi Nama Dari dan Daripada

Sebenarnya kata sendi nama dari dan daripada mempunyai pengertian yang berbeza dalam sistem tatabahasa Melayu.

1 : Dari: Kata sendi dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, waktu atau masa.

Contohnya :

Menyatakan tempat
a. Ahmad datang dari mana?
b. Ely datang dari Kelantan.
c. Saya berjalan kaki dari Juaseh ke Kuala Pilah.
d. Saya berasal dari negeri Perak.
e. Dia mengangkat air dari perigi ke dapur.

Menyatakan masa
a. Keadaannya semakin tenat dari sehari ke sehari.
b. Kami menunggu dari pukul 8.00 pagi.
c. Hidupnya miskin dan melarat dari kecil lagi.
d. Pukul berapa awak bertolak dari rumah?
e. Dia pergi dari pagi hingga ke malam.
f. Mereka belajar dari pukul lapan hingga pukul sepuluh.

Menyatakan arah
a. Bola itu ditendang dari penjuru padang.
b. Suruhan mikropemproses yang berkaitan dengan kawalan pergerakan perkataan data dari suatu kedudukan ke kedudukan lain. Ini termasuk pergerakan dari suatu ingatan ke ingatan lain, pergerakan dari suatu daftar ke suatu ingatan, proses menindan, dan pengendalian, iaitu yang mengerakkan data.
c. Tindakan memindahkan objek dari satu titik koordinat paparan grafik ke titik koordinat yang lain.
d. Tindakan memindahkan data dari satu kedudukan ke kedudukan lain.

2 : Daripada : Digunakan untuk orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak, pertentangan, dan untuk menunjukkan keanggotaan.

contoh;
1. Surat itu saya terima daripada Yatie.
2. Pensel ini lebih panjang daripada pensel itu.
3. Ukiran itu diperbuat daripada perak.
4. Kami memperoleh manfaat daripada
5. Yang dikatakannya berbeza daripada yang diamalkan.
6. Kumpulan perompak senjata api itu terdiri daripada enam belas orang anggota.

Kata sendi daripada hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan perkara berikut :

a) Menyatakan punca bagi manusia, institusi, haiwan, benda dan unsur mujarad.

Contoh:
i.Ali menerima sepucuk surat daripada ibunya yang kini sedang menunaikan fardu haji.
ii.Ahmad dapat menyelesaikan masalah itu hasil daripada ketabahannya menghadapi dugaan.

b) Menyatakan maksud sumber atau asal kejadian sesuatu benda.

i.Kain yang dipakai oleh Puan Mariam diperbuat daripada sutera.
ii.Raja menerima berita kemenangannya dalam pertandingan melukis daripada berita yang disiarkan melalui televisyen.

c) Menyatakan sebahagian daripada semua. Contoh :

i.Enam orang daripada mereka mati disambar petir.
ii.Sebahagian daripada pelajar sudah pulang ke rumah masing-masing.

d) Menyatakan perubahan , perbezaan atau perbandingan contoh :

i.Adik lebih tinggi daripada abang
ii.Pendapatan yang dikemukakan jauh lebih matang daripada usianya yang sebenar.

e) Kata sendi nama daripada boleh hadir di hadapan kata kerja atau frasa kerja dan kata adjektif atau frasa adjektif apabila digunakan untuk menyatakan perbezaan atau perbandingan. Contohnya :

i.Lebih baik menjawab soalan daripada tidak menjawab langsung.
ii.Daripada duduk sahaja di rumah lebih baiklah beramal ibadat, membersihkan kawasan masjid dan lain-lain.

Sumber rujukan :
Encik Mohd Sa'ad
Tatabahasa Dewan

http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment