Saturday, January 28, 2012

PANDUAN PENULISAN RUMUSAN BAHASA MALAYSIA

Rumusan terdiri daripada 4 bahagian yang utama, iaitu :

1. pendahuluan,
2. isi-isi tersurat,
3. isi-isi tersirat dan
4. kesimpulan,

maka pelajar perlu mengetahui cara-cara menulis dan perkara-perkara yang berkaitan dengan keempat-empat perkara tersebut.


Pendahuluan

Untuk menulis pendahuluan, terdapat format tertentu yang perlu dipatuhi oleh pelajar. Format tersebut ialah pelajar dikehendaki menulis pendahuluan seperti yang di bawah ini:

(a) Petikan menyatakan ...
(b) Petikan tersebut membincangkan ...
(c) Penulis petikan tersebut memberi komen tentang ...
(d) Petikan membicarakan ...

Pendahuluan rumusan karangan ini hendaklah ditulis dalam satu ayat sahaja. Satu perkara yang perlu diingati oleh pelajar ialah jangan menyalin bulat-bulat perkara atau aspek yang dikehendaki seperti yang terdapat dalam soalan. Pelajar sepatutnya mengolah ayat sendiri dan menulis pendahuluan berdasarkan isi yang diperkatakan dalam petikan.

Isi-isi Tersurat

Untuk menulis isi-isi tersurat, pelajar dikehendaki menyusun ayat yang lengkap dan gramatis satu persatu berdasarkan kata kunci atau isi-isi yang telah ditanda atau dikenal pasti dalam petikan. Ayat-ayat hendaklah diolah dan disalin semula tanpa mengambil bulat-bulat daripada petikan. Dari segi ayat pula, para pelajar hendaklah memastikan bahawa setiap ayat terkandung isi-isi tersurat yang dikehendaki. Antara satu ayat dengan ayat yang lain pula, pelajar hendaklah menggunakan penanda wacana yang sesuai seperti selain itu, oleh hal yang demikian, dan oleh itu.

Semasa menulis isi-isi tersurat, pelajar tidak dikehendaki menulis kesemua isi tersurat yang terdapat dalam petikan. Berhubung dengan perkara ini, pelajar dikehendaki menulis 4, 5, atau 6 isi tersurat sahaja. Manakala, yang selebihnya adalah untuk isi-isi tersirat. Jumlah isi tersurat dan tersirat mestilah dalam nisbah 4:4, 5:3, atau 6:2. Sebaik-baiknya, isi tersurat dan tersirat hendaklah seimbang, iaitu 4:4.

Isi-isi Tersirat

Dalam menulis rumusan, pelajar-pelajar dikehendaki menulis sebanyak 2, 3 atau 4 isi tersirat. Isi-isi tersirat yang hendak dikemukakan mestilah tidak terdapat dalam petikan. Isi-isi tersurat tersebut diperoleh melalui pengalaman, pengetahuan, pembacaan, pengaplikasian, penilaian, dan sebagainya. Isi-isi tersirat yang dikemukakan ini dapat membezakan pelajar yang baik, sederhana, dan lemah dalam rumusan karangan. Oleh hal yang demikian, sudah tentulah pelajar yang banyak membaca serta banyak pengalaman dan pengetahuan akan membantu mereka untuk menjawab soalan rumusan dengan baik dan cemerlang. Seperti isi-isi tersurat, isi-isi tersirat juga hendaklah ditulis dan diolah dengan bahasa yang baik dan lancar. Selain itu, penanda wacana yang digunakan mestilah memperlihatkan kesatuan ayat yang berkesan dan berkesinambungan antara satu isi dengan isi yang lain. Dalam hal ini, huraian hendaklah matang dan memperlihatkan penggunaan bahasa yang baik.

Kesimpulan Rumusan

Pelajar mestilah juga mempunyai kemahiran untuk menulis ayat kesimpulan atau penutup rumusan. Ayat untuk penutup ini mestilah memaparkan kebolehan pelajar untuk menyatakan kesan, langkah, usaha, dan sebagainya secara keseluruhan dengan membuat penilaian, cadangan, nasihat, dan sebagainya. Kebiasaannya, format untuk ayat penutup atau kesimpulanadalah seperti yang di bawah ini:

a) Kesimpulannya, ...
b) Oleh itu, ...
c) Sebagai kesimpulan, ...
d) Rumusannya, ...
e) Sebagai rumusan, ...

Dalam penulisan rumusan, pelajar kebiasaannya dikehendaki menulis tidak lebih daripada 120 patah perkataan. Hal ini bermakna rumusan yang terdiri daripada 120 patah perkataan dan 10 isi itu hendaklah mengandungi 10 hingga 12 patah perkataan dalam setiap ayat seperti yang digambarkan di bawah ini

Bilangan Ayat Isi Bilangan Perkataan1.

Pendahuluan 10-12

Tersurat 1 10-12.
Tersurat 2 10-12.
Tersurat 3 10-12.
Tersurat 4 10-12.
Tersurat 5 10-12.
Tersurat 6 10-12.

Tersirat 1 10-12.
Tersirat 2 10-12.

Kesimpulan 10-12

JUMLAH 100-120

Sumber : Abdul Ghalib Yunus
http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment