Sunday, November 13, 2011

LANGKAH 1 PEMILIHAN TAJUK KARANGAN UMUM BAHAGIAN B

Ini merupakan tugas pertama anda apabila membuka kertas soalan. Pemilihan tajuk yang tepat dan sesuai akan memboleh¬kan anda mengarang dengan lancar, tanpa sekatan dan tenang serta menghasilkan sebuah karangan yang bermutu. Sebaliknya pemilihan
tajuk yang tidak sesuai pula akan menyebabkan anda terkandas di tengah jalan dan menghadapi pelbagai tekanan untuk menyudahkannya. Malah ada masanya karangan anda akan terpesong dan tidak menepati kehendak soalan.

Apabila memilih tajuk anda perlu mengambil kira perkara-perkara berikut:

a. Adakah anda benar-benar faham akan KEHENDAK SOALAN tajuk tersebut?

Salah satu tujuan ujian karangan adalah untuk melihat sejauh mana anda boleh mengarang berdasarkan kehendak yang ditetapkan oleh sesuatu tajuk. Walau betapa indah sekalipun perjalanan bahasa dalam karangan anda tetapi semua itu tidak
akan membawa sebarang makna sekiranya pembicaraan anda tidak memenuhi kehendak soalan. Oleh itu renungkan tajuk pilihan anda dengan teliti dan pastikan anda benar-benar yakin dengan kehendaknya. Sebagai contoh perhatikan tajuk-tajuk
di bawah:

Contoh :
Gejala melepak dikatakan salah satu penyakit sosial yang boleh meruntuhkan masa depan generasi muda kita. Jelaskan.

Perhatikan tajuk tersebut dengan teliti. Tahukah anda apa kehendak soalannya? Adakah tajuk itu menghendaki anda memberikan sebab-sebab anak-anak muda melepak? Atau adakah anda perlu menjelaskan cara-cara masalah terse¬but boleh diatasi? Sebenarnya kehendak tajuk di atas ialah penerangan tentang apakah kesan gejala melepak dalam kalangan anak muda kita.

Seterusnya perhatikan satu lagi tajuk.

Kealpaan ibu bapa merupakan faktor utama keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kita. Berikan pandangan anda dalam hal ini.

Apakah yang anda faham tentang tajuk ini? Perlukah anda memberikan punca-punca keruntuhan akhlak dalam kalan¬gan remaja kita? Bagaimana anda akan kaitkan “ibu bapa” dalam karangan anda? Perkara-perkara inilah yang harus anda putuskan
terlebih dahulu sebelum memulakan karangan anda. Sebenarnya tajuk ini menghendaki anda menjelaskan kesilapan/kepincangan/ kekurangan ibu bapa yang menjadikan anak-anak berkelakuan negatif. Seterus¬nya anda juga boleh memberikan faktorfaktor
lain (selain daripada kesilapan ibu bapa) yang menjadi punca keruntuhan akhlak dalam kalangan anak-anak.

Ada masanya sesuatu tajuk dan kehendak tajuk itu amat jelas. Walau bagaimanapun ini tidaklah bermakna tajuk tersebut sesuaiuntuk anda. Anda perlu yakin dengan pengetahuan anda tentang isu tersebut. Sekiranya tidak, anda mungkin akan mengutarakan isi-isi yang dangkal dan dianggap remeh oleh pemeriksa. Sebagai contoh perhati¬kan tajuk ini:

Contoh :
Banyak pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan untuk menukarkan sistem persekolahan kita menjadi sistem persekolahan satu sesi. Pada pendapat anda apakah faktor-faktor yang menyebabkan sistem persekolahan satu sesi tidak digemari ramai?
Kehendak tajuk ini amat jelas. Anda dikehendaki member¬ikan FAKTOR/PUNCA/SEBAB/MENGAPA masyarakat tidak berse¬tuju dengan sistem persekolahan satu sesi. Masalahnya kini ialah sejauh manakah anda faham maksud atau konsep sistem
persekolahan satu sesi yang dicadangkan itu. Apakah ciri-ciri sistem persekolahan satu sesi? Apakah perbezaan sistem persekolahan satu sesi dengan sistem yang wujud kini? Sekiranya anda tidak mempunyai penge¬tahuan tentang semua aspek
tersebut, anda seharusnya tidak mendekati tajuk ini.


http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment