Tuesday, October 04, 2011

Melakukan Kesalahan Tatabahasa

Kesalahan serius yang kerap dilakukan pelajar semasa menulis karangan.

1 Penggunaan kata hubung pada awal ayat sebagai penanda wacana seperti namun, tetapi, malah, manakala sepatutnya: akan tetapi, namun begitu, (penanda wacana) ...manakala..., ... malah... ditulis untuk menghubungkan dua ayat.

2 Ayat tergantung, iaitu bak kata pepatah... ditulis pada awal ayat. sepatutnya: ... bak kata pepatah... ditulis di dalam ayat.

3 Kesalahan ejaan bah kata peribahasa, sepatutnya 'bak kata peribahasa'. 'Bah' membawa maksud `banjir'.

4 Frasa memberi kasih sayang sepatutnya memberikan kasih sayang. Umumnya, kata kerja 'memberikan' perlu diikuti objek tidak bernyawa manakala `memberi' diikuti objek bernyawa.

5 Ayat tergantung kerana tiada subjek, contohnya ini menunjukkan sepatutnya hal atau perkara ini menunjukkan.

6 Ini kerana sepatutnya hal ini demikian kerana

7 justeru itu sepatutnya justeru, iaitu penanda wacana penghubung yang membawa maksud malahan atau bahkan.

8 Tidak menyelitkan objek selepas kata kerja transitif. Contohnya, mempunyai banyak pilihan. 'Banyak bukannya objek, 'banyak ialah kata bilangan tidak tentu. Objek mesti kata nama. Frasa yang betul ialah mempunyai pilihan yang banyak.

9 Kata pemeri 'ialah' dan 'adalah' digunakan sesuka hati. Kata pemeri 'ialah' perlu diikuti kata nama. Kata pemeri 'adalah' perlu diikuti kata adjektif atau kata sendi nama.

10 Kata kerja tidak menerima kata pemeri. Anda perlu tambah kata sendi nama pada kata pemeri 'adalah'. Contohnya: Langkah-langkah yang perlu diambil adalah menguatkuasakan undang-undang sepatutnya langkah-langkah yang perlu diambil adalah dengan menguatkuasakan undang-undang. Antara kata sendi nama yang dapat digunakan (adalah untuk/adalah dengan/ adalah seperti)

11 Bentuk lewah. Sebagai contoh, Antara faktor-faktor sepatutnya antara faktor, pelbagai langkah¬langkah sepatutnya pelbagai langkah.

12 Bentuk lewah bagi pengimbuhan kata adjektif. Hanya dua imbuhan sahaja digunakan. Contohnya, memperbaiki sepatutnya membaiki atau memperbaik.

13 Kesalahan Hukum D-M. Sebagai contoh, lain-lain aktiviti sepatutnya aktiviti-aktiviti lain (berdasarkan perkara yang dibincangkan).

14 Penggunaan kata ganti nama diri ketiga 'ia' untuk benda atau perkara. Sebagai contoh, salah satu langkah untuk mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar adalah dengan menjalankan kempen. Ia perlu diadakan secara besar-besaran. Kata 'ia' sepatutnya digantikan dengan subjek perbincangan, iaitu 'kempen', contoh Kempen ini perlu diadakan secara besar-besaran.

15 Terdapat murid yang masih menulis di kalangan sepatutnya dalam kalangan. Kata sendi 'di' berfungsi untuk menyatakan arah.

16 Pada masa kini ...sepatutnya Pada masa ini.., atau mulakan dengan Kini....

17 Kesalahan penanda wacana. Sebagai contoh, selain daripada itu atau selain dari itu, sepatutnya selain itu manakala sehubungan itu lebih sesuai mengguakan sehubungan dengan itu.

18 Oleh kerana sepatutnya oleh sebab.

19 Penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Contohnya, di mana, yang mana, bagaimana, siapa dan apa sepatutnya kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata lain yang sesuai. Sebagai contoh: apa – (perkara/hal), bagaimana – (cara/langkah), siapa – (orang/individu), di mana (tempat), yang mana perlu digantikan dengan kata hubung yang sesuai. Jika anda menulis ayat tanya, pastikan anda meletakkan tanda soal (?).

20 Kesalahan pengejaan kata majmuk. Contohnya, ibubapa sepatutnya ibu bapa, semulajadi sepatutnya semula jadi.

21 Penggunaan kata hubung "tambahan pula" pada pangkal perenggan. Kata "tambahan pula" tidak digunakan untuk isi baharu.

22 Kesalahan penggunaan kata hubung "walaubagaimanapun" yang tidak dijarakkan. Sepatutnya "walau bagaimanapun.

23 Kesalahan penggunaan tanda baca. Kesalahan yang biasa dilakukan oleh pelajar ialah pengunaan huruf kecil dan huruf besar pada awal ayat, tanda noktah dan tanda pengikat kata.

Tulisan
•Tidak mengambil kira aspek kekemasan tulisan. Ada tulisan yang sukar dibaca dan mengelirukan (tulisan sambung yang terlalu berbunga-bunga).

Panjang Karangan
•Panjang karangan tidak mencukupi.
•Terlalu panjang dan melebihi kehendak soalan bagi soalan Bahagian A.

Sumber : Yazif Sarman dan rakan ( contoh karangan BM SPM )
http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment