RUANG SEMBANG

Latihan interatif

Panduan Penulisan Rumusan Bahasa Melayu SPM

Thursday, October 27, 2011

HUKUM-HUKUM TATABAHASA POPULAR

Bagi menjawab soalan pada bahagian ini, anda perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang pelbagai hukum tatabahasa. Sebenarnya hukum-hukum ini bukan sahaja penting bagi menjawab soalan tatabahasa tetapi juga bagi menjawab kesemua soalan lain dalam subjek Bahasa Melayu.

Berikut merupakan beberapa hukum tatabahasa yang sering diuji dalam bahagian ini.

---------------------------------------------------------------------------

1. Dua unsur jamak (plural) tidak boleh hadir dalam frasa yang sama.

Contoh
Semua guru-guru dijemput ………. (Salah)
Semua guru dijemput ………. (Betul)
Sebahagian pelajar-pelajar di sekolah itu …. (Salah)
Sebahagian pelajar di sekolah itu …. (Betul)

------------------------------------------------------------------------------

2. Penggunaan kata pemeri (ialah/adalah)

“Ialah” hanya boleh mendahului kata nama atau objek

Contoh
…….. ialah guru (Betul)
…...... ialah rumah (Betul)
…….. ialah masalah (Betul)
…….. adalah guru (Salah)
…...... adalah rumah (Salah)
…….. adalah masalah (Salah)

“Adalah” pula digunakan dalam dua situasi iaitu

----------------------------------------------------------------------------

i. di hadapan kata hubung/sendi

Contoh
….. adalah untuk
….. adalah kerana
….. adalah seperti

ii. di hadapan kata adjektif

Contoh
…… adalah cantik
…… adalah besar
…… adalah pandai

----------------------------------------------------------------------------

3. Penggunaan antara / di antara

“Antara” digunakan bagi menunjukkan hubungan manakala “di antara” digunakan bagi menunjukkan lokasi.

Contoh - Hubungan

Kasih sayang di antara ibu dengan anak itu mengharukan kami. (Salah)
Kasih sayang antara ibu dengan anak itu mengharukan kami. (Betul)
Permusuhan di antara kedua-dua buah negara itu berakhir dengan perjanjian tersebut. (Salah)
Permusuhan antara kedua-dua buah negara itu berakhir dengan perjanjian tersebut.(Betul)

Contoh – Lokasi
Ipoh terletak antara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. (Salah)
Ipoh terletak di antara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (Betul)
Ismail duduk antara Kumar dan Swee Lan. (Salah)
Ismail duduk di antara Kumar dan SweeLan. (Betul)

----------------------------------------------------------------------

4. Penggunaan Sendi Nama (Dari/Daripada)

“Dari” digunakan untuk tiga situasi:

a. Masa
Contoh
Dia menebang pokok itu dari pagi hingga tengah hari.

b. Tempat
Contoh
Pemuda itu datang dari Johor.

c. Arah
Contoh
Batu itu jatuh dari atas bumbung.

----------------------------------------------------------------------

Sementara itu, “daripada” pula digunakan untuk dua situasi:

a. Perbandingan
Contoh
Meja ini lebih besar daripada meja itu.

b. Sumber
Kerusi ini diperbuat daripada kayu jati.

---------------------------------------------------------------------

5. Penggunaan Sendi Nama (di / pada)

“Di” menunjukkan tempat/lokasi manakala “pada” menunjukkan masa atau pemilikan.

Contoh
Di pagi yang mulia ini…. (Salah)
Pada pagi yang mulia ini … (Betul)
Mereka berhenti pada tempat itu. (Salah)
Mereka berhenti di tempat itu. (Betul)
Buku itu ada di guru. (Salah)
Buku itu ada pada guru. (Betul)

----------------------------------------------------------------------

6. Penggunaan Kata Penguat (sungguh, amat, sangat, paling, ter-, sekali dll)

Dua kata penguat boleh hadir dalam ayat yang sama:

Contoh
Buku itu sungguh cantik sekali. (Betul)
Budak itu amat pandai sekali, (Betul)

Namun begitu, hal yang sama tidak boleh dilakukan untuk kata penguat “Paling” dan “Ter-“. Hal ini disebabkan paling dan termerupakan kata penguat darjah penghabisan. Oleh itu kedua-dua kata penguat ini tidak boleh diikuti dengan kata penguat belakang.

Contoh
Baju itu paling cantik sekali. (Salah)
Baju itu paling cantik. (Betul)
Budak itu terpandai sekali. (Salah)
Budak itu terpandai. Betul)

-------------------------------------------------------------------------------

7. Dua kata sendi nama atau dua kata hubung tidak boleh hadir dalam frasa yang sama

Contoh
Demi untuk mencapai hasratnya , dia telah …….. (Salah)
Demi mencapai hasratnya, dia telah ………… (Betul)
Selain daripada belajar muzik, dia juga ….. (Salah)
Selain belajar muzik, dia juga ………… (Betul)

-------------------------------------------------------------------------------

8. Penggunaan Kata Sengkang (-)

Terdapat lima situasi yang melibatkan penggunaan kata sengkang

a. Kata ganda

Contoh
Kanak-kanak
Gula-gula
Huru-hara

b. Tahun yang ditulis dengan angka

Contoh
Lagu-lagu P. Ramlee amat terkenal pada ahun 60-an.

c. Kedudukan yang ditulis dengan angka

Contoh
Dia mendapat tempat ke-2 dalam pertandingan itu.

d. “Tuhan” yang ditulis dengan kata ganti nama “Nya”

Contoh
Ayah berdoa kepada-Nya agar mengampunkan segala dosanya

e. Imbuhan pinjaman (pro-, anti-,uni-, pra-, ko-, sub- dll) yang diikuti dengan kata nama khas.

Contoh
Pro-Amerika
Anti-Israel

-----------------------------------------------------------------------------

9. Kata sendi “akan” mesti diletakkan di antara kata adjektif yang menunjukkan perasaan dan objek.

Contoh
Dia suka durian . (Salah)
Dia suka akan durian. (Betul)
Ayah amat sayang anak-anaknya. (Salah)
Ayah amat sayang akan anak-anaknya. (Betul)

----------------------------------------------------------------------------

10. Sekiranya kata adjektif dalam ayat telah digandakan, maka kata nama yang diterangkan tidak perlu digandakan.

Contoh
Buku-buku di perpustakaan itu tebal-tebal. (Salah)
Buku di perpustakaan itu tebal-tebal (Betul)
Pelajar-pelajar di kelas itu pandai-pandai semuanya. (Salah)
Pelajar di kelas itu pandai-pandai semuanya. (Betul)

----------------------------------------------------------------------------

11. Kata adjektif tidak boleh menerima imbuhan 2+1 (memper – kan atau diper –kan).

Contoh
Mempercantikkan (Salah)
Diperluaskan (Salah)
Memperindahkan (Salah)
Memperluaskan (Salah)

Kata adjektif hanya boleh menerima imbuhan apitan biasa (me-kan, di-kan dll), imbuhan gabungan di hadapan (memper-, diper-) atau imbuhan hadapan atau imbuhan belakang.

Contoh:
Memperluas (Betul)
Meluas (Betul)
Luaskan (Betul)
Meluaskan (Betul)
Diluaskan (Betul)

-----------------------------------------------------------------------------

12. Ayat dengan kata ganti nama diri pertama (saya, aku, hamba, beta, kami dll) tidak boleh dipasifkan dengan menukarkan imbuhan pada kata kerjanya menjadi imbuhan di-kan

Contoh.
Saya menyiram pokok. – Ayat Aktif
Sekiranya dipasifkan, ayat ini harus ditulis seperti ini:
Pokok saya siram. – Ayat Pasif
dan bukannya:
Pokok disiram oleh saya. (Salah)

Perhatikan satu lagi contoh
Kami menebang pokok kelapa di hadapan rumah. - Ayat aktif
Jika dipasifkan, ayat itu harus ditulis seperti ini:
Pokok kelapa di hadapan rumah kami tebang - Ayat Pasif
dan bukannya
Pokok kelapa di hadapan rumah ditebang oleh kami. (Salah)

---------------------------------------------------------------------------

13. Semua kata majmuk atau frasa yang ditulis terpisah akan menjadi satu perkataan apabila diberikan imbuhan apitan.

Contoh
Putar belit + imbuhan apitan (me-kan) memutarbelitkan
Salah tafsir + imbuhan apitan (di-kan) disalahtafsirkan
Surat khabar + imbuhan apitan (per-an) persuratkhabaran

---------------------------------------------------------------------------

14. Kata nama yang mengikuti kata bilangan pisahan (setiap, tiap-tiap) tidak perlu diberikan penjodoh bilangan.

Contoh
Tiap-tiap buah rumah. (Salah)
Tiap-tiap rumah. (Betul)
Setiap orang pelajar. (Salah)
Setiap pelajar. (Betul)

---------------------------------------------------------------------------

15. Penggunaan Imbuhan

Kata kerja dengan imbuhan apitan me-kan harus diikuti objek dan bukannya manusia.

Contoh
Ayah menghadiahkan adik sebuah basikal. (Salah)
Ayah menghadiahkan basikal kepada adik. (Betul)
Hakim menjatuhkan pesalah itu hukuman gantung. (Salah)
Hakim menjatuhkan hukuman gantung kepada pesalah itu. (Betul)

Kata kerja dengan imbuhan apitan me – i harus diikuti orang dan bukannya objek.

Contoh
Ayah menghadiahi basikal kepada adik. (Salah)
Ayah menghadiahi adik basikal. (Betul)
Hakim menjatuhi hukuman gantung kepada pesalah itu. (Salah)
Hakim menjatuhi pesalah itu hukuman gantung. (Betul)

Ditulis oleh : Dr Kathiresan PhD
http://adf.ly/1okqV

1 comment:

  1. Jutaan terima kasih atas kesudian untuk berkongsi makrifah soal tatabahasa.

    ReplyDelete