Wednesday, August 10, 2011

TEKNIK MENGEMBANGKAN ISI JENIS PUNCA

Seterusnya perhatikan satu lagi tajuk karangan:

Masalah kesesakan lalu lintas di negara kita, terutamanya di bandar-bandar sudah sampai ke tahap yang boleh dikatakan tenat. Pada pendapat anda mengapakah hal ini terjadi?
Salah satu isi yang sesuai untuk tajuk ini ialah “Pertambahan bilangan kenderaan”.

Seterusnya perhatikan bagaimana kita mengembangkan isi tersebut.

ISI (PUNCA)
Pertambahan bilangan kenderaan

ALASAN UTK ISI
- kedudukan ekonomi negara semakin kukuh
- peluang pendapatan rakyat terus meningkat
- taraf hidup semakin tinggi
- lebih ramai orang mampu memiliki kenderaan peribadi
- tidak bergantung kepada pengangkutan awam

KESAN UTK ALASAN
- sistem jalan raya tidak berkembang sepesat pertambahan kenderaan
- jalan-jalan yang ada tidak dapat menampung pertambahan kenderaan ini

KESAN KESELURUHAN
- pergerakan kenderaan tidak lancar
- mengakibatkan kesesakan

Seterusnya perhatikan contoh perenggan lengkap berdasarkan rangka tersebut.
Salah satu faktor yang menyebabkan masalah kesesakan di bandar-bandar kita terus menjadi-jadi sejak kebelakangan ini adalah kerana pertambahan bilangan kenderaan yang amat pesat. Kedudukan ekonomi negara kita yang mantap menyebabkan Malaysia kaya dengan peluang pekerjaan. Hal ini seterusnya meningkatkan pendapatan dan taraf hidup
rakyat kita. Kesudahannya lebih ramai rakyat Malaysia hari ini mampu memiliki kenderaan peribadi dan tidak lagi terlalu bergantung kepada sistem pengangkutan awam. Malangnya sistem jalan raya yang ada di bandar-bandar kita tidak berkembang selaras dengan peningkatan bilangan kenderaan. Akibatnya jalan-jalan tersebut tidak dapat menampung pertambahan kenderaan yang amat mendadak ini. Oleh itu pergerakan kenderaan di bandar-bandar menjadi kurang lancar dan berakhir dengan kesesakan yang serius.

Ditulis oleh : Dr Kathiresan PhD
(Pengarang lebih 60 buku Revisi Bahasa Melayu dan Kesusasteraan)
http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment