Monday, August 08, 2011

TEKNIK MENGEMBANGKAN ISI JENIS PUNCA

PENGENALAN
1. Karangan jenis punca merujuk kepada tajuk-tajuk karangan yang menghendaki anda memberikan punca atau sebab untuk sesuatu kejadian.

2. Namun begitu, terdapat pelbagai istilah dan frasa lain yang mungkin digunakan dalam tajuk-tajuk ini. Antaranya ialah :

Istilah/Frasa yang menghendaki isi jenis PUNCA
-Alasan
-Sebab
-Mengapa
-Faktor
-Apakah yang mendorong

TEKNIK PENGEMBANGAN ISI

Apabila berhadapan dengan tajuk-tajuk yang menghendaki isi jenis punca, pastikan isi anda benar-benar merupakan punca atau sebab dan bukannya kesan. Selepas itu, kembangkan isi tersebut dengan teknik seperti berikut:

SATU PERENGGAN ISI

ISI
(PUNCA)

*ALASAN UNTUK ISI

KESAN UNTUK ALASAN

**KESAN KESELURUHAN

* Fokus utama isi ini ialah ALASAN UNTUK ISI. Oleh itu pastikan anda memberikan lebih banyak hujah untuk komponen ini berbanding dengan komponen-komponen lain.

** Pada bahagian KESAN KESELURUHAN anda hanya perlu mengukuhkan pernyataan atau masalah yang dinyatakan pada tajuk

Seterusnya perhatikan tajuk ini:

Masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kita hari ini sudah sampai ke tahap yang amat membimbangkan. Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan hal ini terjadi.

Salah satu isi yang sesuai dan tepat untuk tajuk ini ialah “Ibu bapa kurang memberikan didikan agama kepada anakanak”.

Seterusnya perhatikan bagaimana kita mengembangkan isi tersebut dengan menggunakan kaedah di atas:

ISI(PUNCA)
Ibu bapa kurang memberikan didikan agama kepada anak-anak

ALASAN UTK ISI
- sibuk dengan pekerjaan
- ghairah memastikan kejayaan akademik anak-anak
- anggap didikan agama tidak penting untuk masa depan
- ibu bapa sendiri kurang arif tentang soal agama

KESAN UTK ALASAN
- anak-anak membesar tanpa nilai murni
- tiada sebarang pendirian/pegangan
- tidak tahu membezakan perkara baik dan buruk

KESAN KESELURUHAN
- mudah terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial
- keruntuhan akhlak menjadi-jadi

Sekiranya anda membina ayat-ayat lengkap dengan menggunakan rangka di atas, anda pasti akan memperoleh satu perenggan isi yang mantap. Perhatikan contoh perenggan lengkap yang dikarang berdasarkan rangka tersebut:

Salah satu faktor yang menyebabkan masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kita semakin menjadijadi sejak kebelakangan ini adalah kerana ibu bapa kurang menitikberatkan didikan agama. Sebahagian besar ibu bapa moden hari ini amat sibuk dengan urusan kerja dan mengabaikan aspek kerohanian dalam kehidupan mereka.
Selain itu kebanyakan ibu bapa juga terlalu ghairah memastikan kecemerlangan akademik anak-anak dan menganggap didikan agama tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap masa hadapan anak-anak.Tambahan pula terdapat sesetengah ibu bapa sendiri yang kurang arif tentang suruhan serta pantang larang agama mereka dan tidak mampu mendidik anak-anak dalam hal tersebut. Kesudahannya, anak-anak yang berasal daripada keluarga sedemikian akan membesar tanpa sebarang nilai murni. Mereka juga tidak akan mempunyai sebarang prinsip atau pegangan hidup yang kukuh serta tidak mampu membezakan antara intan dan kaca. Akibatnya golongan ini mudah terjebak dalam pelbagai gejala sosial. Maka tidaklah menghairankan sekiranya masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja di negara kita terus meningkat dari setahun ke setahun.

Ditulis oleh : Dr Kathiresan PhD
(Pengarang lebih 60 buku Revisi Bahasa Melayu dan Kesusasteraan)
http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment