Monday, August 08, 2011

TEKNIK MENGEMBANGKAN ISI JENIS LANGKAH

Perhatikan tajuk karangan di bawah dengan teliti.

Sebahagian petani di negara kita dikatakan masih hidup di bawah paras kemiskinan. Pada pendapat anda bagaimanakah kerajaan boleh membaiki keadaan ini?

Salah satu isi yang sesuai untuk tajuk ini ialah:

“Kerajan harus menggalakkan petani menggunakan kaedah pertanian moden”

Seterusnya perhatikan bagaimana kita kembangkan isi tersebut dengan kaedah di atas

ISI (LANGKAH)
Kerajan harus menggalakkan petani menggunakan kaedah pertanian moden

MASALAH
Kebanyakan petani masih menggunakan kaedah tradisional
- tidak terdedah kepada kaedah moden
- enggan berubah; sudah bersebati dengan kaedah amalan turun-temurun
- jadi hasil keluaran tetap rendah

CARA
- dedahkan petani kepada teknologi baru
- jelaskan kelebihannya
- berikan bantuan modal untuk memiliki peralatan moden
- berikan tunjuk ajar cara menggunakan

HASIL
- pengeluaran meningkat
- pendapatan bertambah
- dapat keluar daripada kemiskinan

Sekiranya rangka tersebut dikarang, anda akan memperoleh satu perenggan isi yang lengkap, kukuh dan menarik. Perhatikan contoh perenggan lengkap tersebut:

SATU PERENGGAN ISI LENGKAP

Salah satu usaha yang boleh dilakukan oleh kerajaan bagi mengurangkan masalah kemiskinan dalam kalangan petani adalah dengan menggalakkan mereka menggunakan kaedah pertanian moden. Sebenarnya kebanyakan petani kita, terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman masih terus berpegang kepada kaedah pertanian tradisional. Hal ini disebabkan mereka kurang terdedah kepada pelbagai perkembangan baru dalam dunia pertanian hari ini. Lagipun sesetengah daripada petani ini sudah bersebati dengan kaedah pertanian lama yang telah diwarisi daripada nenek-moyang mereka dan enggan beralih kepada kaedah baru. Kesudahannya hasil pengeluarkan mereka terus berada pada paras yang amat rendah. Oleh itu adalah penting untuk kerajaan mendedahkan golongan ini kepada pelbagai kaedah baru dalam dunia pertanian hari ini. Hal ini termasuklah pengenalan benih baka, baja-baja kimia dan kawalan penyakit moden. Selain itu mereka juga seharusnya diberikan penjelasan tentang kelebihan kaedah pertanian moden ini berbanding dengan kaedah amalan mereka. Di samping itu kerajaan juga seharusnya memberikan bantuan modal kepada para petani yang tidak mampu memiliki peralatan pertanian moden yang sememangnya agak mahal itu. Bukan itu sahaja, kerajaan juga seharusnya menghantar pegawai-pegawai pertanian bagi memberikan tunjuk ajar kepada para
petani ini tentang kaedah moden yang boleh diterapkan dalam pertanian moden. Segala usaha ini pasti akan meningkatkan produktiviti dan pendapatan para petani. Hasilnya masalah kemiskinan yang membelenggu golongan ini pasti dapat dikurangkan.

Ditulis oleh : Dr Kathiresan PhD
(Pengarang lebih 60 buku Revisi Bahasa Melayu dan Kesusasteraan)
http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment