Monday, August 08, 2011

TEKNIK MENGEMBANGKAN ISI JENIS LANGKAH

TEKNIK MENGEMBANGKAN ISI JENIS LANGKAH

Satu perenggan isi langkah harus mempunyai empat komponen iaitu:

a. Isi
- Pastikan isi anda merupakan satu langkah atau tindakan

b. Masalah
- Hal ini merujuk kepada situasi atau keadaan semasa yang menyebabkan tindakan di atas
terpaksa dilakukan

c. Cara
- Di sini anda perlu memberikan cara-cara langkah yang yang anda berikan di atas boleh dilaksanakan

d. Hasil
- Nyatakan kesan yang dijangka dengan melaksanakan langkah di atas.

Seterusnya keempat-empat komponen tersebut harus ditempatkan dengan urutan seperti berikut di dalam SATU PERENGGAN. Susunannya adalah seperti berikut:

ISI
(Langkah)

MASALAH

* CARA
(Huraian)

HASIL

* Fokus utama rangka ini ialah CARA. Oleh itu anda perlu memberikan tumpuan lebih terhadap komponen ini dan bukannya terhadap komponen “masalah” dan “hasil”.

Perhatikan tajuk di bawah:

Keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja semakin menjadi-jadi di negara kita dewasa ini. Jelaskan usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi membendung gejala ini.

Salah satu isi yang sesuai untuk karangan ini ialah “Ibu bapa harus memberikan didikan agama kepada anak-anak mereka”.

Seterusnya perhatikan bagaimana kita boleh mengaplikasikan kaedah tersebut untuk isi ini:

ISI (Langkah)

-IBU BAPA HARUS MEMBERIKAN DIDIKAN AGAMA

MASALAH
- ibu bapa abaikan pendidikan agama
- sibuk/anggap tidak penting
- anak-anak membesar tanpa nilai murni

CARA
- ibu bapa harus menekankan aspek kerohanian
- harus hantar ke kelas agama
- harus belikan buku-buku agama
- bawa ke tempat beribadat
- ajar pantang-larang agama

HASIL
- membesar dengan nilai murni
- tahu membezakan baik buruk
- menghindari gejala negatif

Seterusnya anda hanya perlu membina ayat-ayat lengkap berdasarkan rangka di atas untuk menghasilkan sebuah perenggan yang lengkap. Perhatikan contoh di bawah:

Salah satu usaha yang harus dilakukan oleh ibu bapa bagi membendung masalah ini adalah dengan memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi. Satu hakikat yang amat menyedihkan ialah sebahagian besar ibu bapa moden hari ini mengabaikan didikan agama dalam proses membesarkan anak-anak. Hal ini disebabkan kebanyakan mereka terlalu sibuk dengan urusan harian atau beranggapan bahawa bidang agama tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap masa hadapan anak-anak mereka. Kesudahannya anak-anak ini membesar tanpa sebarang nilai murni dan terjebak dalam pelbagai masalah sosial. Oleh itu amatlah penting untuk ibu bapa mengubah sikap dan memberikan perhatian terhadap aspek kerohanian dalam kehidupan anak-anak. Sebagai usaha permulaan mereka harus menghantar anak-anak ke kelas agama sejak kecil lagi. Selain itu mereka juga harus membelikan buku-buku agama yang bersesuaian dengan tahap usia dan pemikiran anak-anak. Mereka juga harus meluangkan masa untuk membawa anak-anak ini ke tempat beribadat. Perkara yang lebih penting ialah ibu bapa harus
mencari jalan untuk menerangkan segala falsafah dan pantang-larang agama kepada anak-anak mereka secara berterusan dan tidak formal. Anak-anak yang berasal daripada keluarga sedemikian akan membesar dengan menjunjung tinggi nilai-nilai murni dalam
hidup mereka. Mereka juga akan berupaya untuk membezakan antara intan dengan kaca dan seterusnya menjauhi gejala-gejala sosial.

Ditulis oleh : Dr Kathiresan PhD
(Pengarang lebih 60 buku Revisi Bahasa Melayu dan Kesusasteraan)
http://adf.ly/1okqV

1 comment: