Wednesday, August 10, 2011

TEKNIK MENGEMBANGKAN ISI JENIS KESAN

Terdapat sesetengah pelajar kita hari ini yang langsung tidak melibatkan diri dengan sebarang aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah mereka. Jelaskan kesan perbuatan tersebut terhadap diri pelajar-pelajar berkenaan.

Salah satu isi yang sesuai untuk tajuk ini ialah “Pelajar tidak akan mempunyai kemahiran berkomunikasi”. Seterusnya perhatikan bagaimana kita mengembangkan isi tersebut.

ISI (KESAN)
Pelajar tidak akan mempunyai kemahiran berkomunikasi

ALASAN UNTUK ISI
- tidak berpeluang menyertai pelbagai aktiviti di luar bilik darjah
- kurang peluang bergaul dengan pelajar lain

KESAN UNTUK ALASAN
- menjadi kekok semasa bergaul dengan orang lain
- tidak memahami perasaan dan fikiran orang lain
- tidak tahu cara mengambil hati orang
- tidak mampu mengetuai sesuatu kumpulan
- tidak mampu meraih kerjasama orang lain

KESAN KESELURUHAN
- akan menghadapi masalah dalam dunia pekerjaan
- tidak akan menjadi ahli yang produktif dalam sesuatu pasukan

Seterusnya perhatikan contoh perenggan lengkap berdasarkan rangka tersebut.

Satu masalah yang terpaksa dihadapi oleh pelajar-pelajar ini ialah mereka tidak akan mempunyai kemahiran berkomunikasi yang sempurna. Tanpa kegiatan kokurikulum, pelajar-pelajar ini tidak berkesempatan untuk menyertai pelbagai aktiviti di luar bilik
darjah. Oleh itu mereka kurang berpeluang untuk bergaul dengan rakan-rakan sebaya mereka yang lain. Hal ini akan menyebabkan mereka menjadi manusia yang kekok dalam pergaulan. Selain itu, mereka juga akan menghadapi masalah untuk memahami
perasaan dan pemikiran orang lain. Bukan itu sahaja, pelajar-pelajar ini juga tidak tahu cara untuk mengambil hati atau mendapatkan kerjasama orang lain bagi melaksanakan sesuatu tugasan. Pendek kata, mereka tidak mungkin berupaya mengetuai sesuatu
pasukan dengan sempurna. Anak-anak ini pasti akan menghadapi masalah besar apabila melangkahkan kaki ke dunia pekerjaan. Ketiadaan kemahiran berkomunikasi akan menyebabkan mereka tidak dapat memainkan peranan sebagai seorang anggota yang
produktif dalam pasukan mereka.

http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment