Monday, August 08, 2011

TEKNIK MEMBINA PENDAHULUAN

JENIS 2 (Untuk Isu Kenegaraan)

Sebenarnya tidak ada sebarang perbezaan besar di antara jenis ini dengan kaedah yang telah anda pelajari di atas. Kita masih lagi akan menggunakan komposisi seperti berikut:

SKOP
..............................
ISU
..............................
KEHENDAK

Perbezaannnya ialah, sekiranya tajuk tersebut membawakan sesuatu isu yang mempunyai kepentingan terhadap negara ( isu-isu seperti ini dikenali sebagai isu kenegaraan ), maka skop secara automatik akan menjadi MALAYSIA.

Contoh Isu Kenegaraan
-Perpaduan
-Sektor Pertanian
-Pendidikan
-Sektor Perindustrian
-Perumahan
-Kemiskinan
-Kemasukan Warga Asing
-Penganguran

Isu-isu di atas dikenali sebagai isu kenegaraan kerana meninggalkan kesan secara langsung terhadap keadaan sosial, ekonomi dan politik negara kita. Apabila anda berhadapan dengan tajuk-tajuk sedemikian, jangan berfikir panjang. Jadikan SKOP pendahuluan anda sebagai MALAYSIA. Perhatikan contoh pendahuluan untuk tajuk di bawah:

Kajian menunjukkan bahawa sebahagian besar petani di negara kita masih hidup di bawah paras kemiskinan. Berikan cadangan anda untuk membaiki keadaan tersebut.

Analisis Tajuk

SKOP : Malaysia
ISU : Kemiskinan petani
KEHENDAK : Langkah

Perhatikan rangka lengkap untuk pendahuluan ini:

SKOP
Malaysia
- pesat membangun
- taraf hidup rakyat semakin meningkat
- menjadi model pembangunan untuk negara-negara lain

ISU
Kemiskinan
- namun masih ada Petani kemiskinan
- jelas dalam kalangan petani
- pembangunan negara tidak sampai kepada mereka

Kehendak
Langkah
- tidak harus dibiarkan
- harus ambil langkah segera

Sekiranya dikarang, anda akan memperoleh sebuah perenggan pendahuluan seperti berikut:

Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun. Taraf hidup rakyat kita juga semakin meningkat dari setahun ke setahun. Maka tidaklah menghairankan sekiranya negara kita sering dijadikan sebagai model pembangunan oleh sesetengah negara lain di rantau ini. Namun begitu, satu hakikat yang menyedihkan ialah negara kita sendiri nampaknya masih belum berjaya membebaskan diri daripada masalah kemiskinan. Hal ini dapat diperhatikan dengan ketara dalam kalangan sesetengah masyarakat tani yang menghuni kawasan terpencil negara ini. Nampaknya arus pembangunan yang melanda negara kita seolah-olah tidak sampai kepada golongan ini. Hal ini tidak wajar dibiarkan begitu sahaja. Oleh itu kerajaan perlulah menyusun langkah yang sewajarnya bagi membaiki nasib golongan ini.

Ditulis oleh : Dr Kathiresan PhD
(Pengarang lebih 60 buku Revisi Bahasa Melayu dan Kesusasteraan)
http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment