Sunday, August 07, 2011

PENDAHULUAN KARANGAN

PENGENALAN

1. Pendahuluan merupakan komponen terpenting dalam sesebuah karangan.
2. Hal ini disebabkan perenggan inilah yang akan mula-mula diperhatikan oleh seseorang pembaca karangan atau pemeriksa.
3. Pendek kata, tanggapan pemeriksa terhadap karangan calon banyak dipengaruhi oleh perenggan pendahuluan.
4. Oleh itu, anda harus memberikan perhatian yang istimewa dalam menghasilkan perenggan pendahuluan.

TEKNIK MEMBINA PENDAHULUAN

Dalam pelajaran ini anda akan dipandu untuk membina perenggan pendahuluan yang menarik dan berkesan. Terdapat DUA jenis pendahuluan yang perlu anda ketahui untuk menghadapi karangan SPM dengan yakin.

JENIS 1 (Untuk Isu Biasa)
Sebuah perenggan pendahuluan harus mempunyai tiga komponen penting di dalamnya iaitu SKOP, ISU dan KEHENDAK. Ketiga-tiga komponen tersebut harus disusun seperti berikut:

SKOP
...................................................................
ISU
....................................................................
KEHENDAK

Seterusnya perhatikan maksud ketiga-tiga komponen tersebut:

SKOP -
Merujuk kepada bidang yang terkandung di dalam tajuk yang diberikan. Contoh skop ialah sukan, permainan tradisional, pertanian, perpaduan dll.

ISU -
Merujuk kepada hal yang disentuh tentang bidang tersebut.
Sebagai contoh, sekiranya skop tersebut ialah sukan, maka isu yang diperkatakan mungkin “kemerosotan mutu sukan negara”. Begitu juga, sekiranya skop ialah pertanian, maka isunya boleh jadi “kemiskinan para petani”.

KEHENDAK -
Merujuk kepada kehendak soalan. Soalan yang dikemukakan boleh jadi punca, kesan atau langkah

------------------------------------------------------------------------------------

Perhatikan tajuk ini:

Permainan tradisional di negara kita jelas semakin disisihkan oleh masyarakat hari ini. Pada pendapat anda apakah tindakan yang boleh dilakukan oleh kerajaan bagi membaiki keadan tersebut?

Analisis Tajuk:

SKOP - Permainan Tradisional
ISU - Semakin disisihkan
KEHENDAK - Usaha/lLangkah

Oleh itu susunan idea untuk pendahuluan anda seharusnya berbentuk seperti berikut:

Skop = Permainan Tradisional
Isu = Semakin disisihkan
Kehendak = Langkah

Seterusnya berikan idea-idea untuk mengembangkan rangka tersebut. Perhatikan contoh di bawah:

Skop = Permainan Tradisional
Koleksi permainan lama
Warisan budaya bangsa
Contoh – wau /gasing /congkak

Isu = Semakin disisihkan
Semakin disisihkan
Oleh generasi muda/masyarakat kota
Anggap ketinggalan zaman

Kehendak = Langkah
Tidak harus dibiarkan
Harus ambil langkah segera

Seterusnya anda hanya perlu membina ayat-ayat lengkap berdasarkan huraian di atas bagi menghasilkan sebuah perenggan pendahuluan yang menarik. Perhatikan contoh pendahuluan lengkap yang terhasil…

Jawapan lengkap

Permainan tradisional merupakan sebahagian daripada koleksi permainan lama yang diwarisi daripada nenek-moyang kita. Sesungguhnya permainan-permaian ini merupakan sebahagian daripada warisan budaya bangsa yang tidak terkira nilainya. Antara
contoh permainan tradisional yang masih wujud dalam kalangan masyarakat kita sehingga ke hari ini ialah wau, gasing, congkah, batu seremban dan sepak raga. Malangnya permainan-permainan ini jelas semakin disisihkan oleh masyarakat hari ini. Gejala
ini dapat diperhatikan dengan ketara terutama sekali dalam kalangan generasi muda dan masyarakat kota. Rata-rata anggota masyarakat hari ini menganggap permainan-permainan ini hanya merupakan satu koleksi usang dan ketinggalan zaman. Sudah tentu keadaan ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Masanya sudah tiba untuk kerajaan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi menghidupkan semula permainan-permainan tersebut.

Ditulis oleh : Dr Kathiresan PhD
(Pengarang lebih 60 buku Revisi Bahasa Melayu dan Kesusasteraan)
http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment