Saturday, August 06, 2011

PENAKRIFAN TAJUK

Perkara ini merujuk kepada sejauh mana pelajar telah menakrifkan tajuk sesebuah karangan. Tidak ada karangan yang boleh bermula daripada vakum. Dengan kata lain semua hasilan bertulis mesti bersandar kepada satu tema atau fokus khusus.

Bagi karangan SPM, tema dan fokus ini ditentukan oleh tajuk yang diberikan. Suatu hasil penulisan yang terkeluar daripada landasan yang ditetapkan atau gagal menjawap soalan yang dikemukakan dalam tajuk dikatakan karangan terpesong. Dalam suatu ujian
penulisan, kesilapan menak¬rifkan tajuk bolehlah dikatakan kesalahan terbesar dan akan menyebabkan kehilangan markah yang amat berat. Terdapat DUA perkara utama yang harus diberikan perhatian dalam aspek ini iaitu:

a.MENGENAL PASTI FORMAT KARANGAN

Usaha menulis karangan seharusnya bermula daripada proses mengenal pasti bentuk karangan yang dikehendaki. Karangan harus ditulis dengan menggunakan format yang tepat sebagaimana yang ditetapkan dalam tajuk. Secara kasar jenis karangan boleh diba¬hagikan kepada dua kumpulan yakni:

1. JENIS BERFORMAT

i. Ucapan
- Ucapan Pertandingan
- Ucapan Bukan Pertandingan

ii. Surat Kiriman
- Surat Kiriman Rasmi
- Surat Kiriman Tak Rasmi

iii. Laporan
- Laporan Peristiwa
- Laporan Tahunan

iv. Perbahasan
- Perbahasan Pertandingan
- Bahaskan Tajuk

v. Forum
vi. Rencana
vii. Wawancara

2. JENIS TIDAK BERFORMAT

i. Huraian
ii. Perbincangan
iii. Ulasan
iv. Peribahasa
v. Gambaran
vi. Keperihalan

Biasanya seseorang pelajar tidak akan menghadapi sebarang masalah besar dalam mengenal pasti bentuk karangan. Hal ini disebabkan bentuk karangan tersebut akan dinyatakan secara jelas dan eksplisit dalam tajuk berkenaan. Misalnya:

Contoh:
Seorang sahabat anda yang berada di luar negara ingin mengetahui sejauh mana kerajaan anda telah berjaya mengatasi masalah kemasukan warganegara asing ke negara anda. Jawab surat sahabat anda itu dengan selengkapnya. Sekali pandang anda pasti sedar bahawa karangan ini perlu ditulis dalam bentuk surat kiriman tidak rasmi. Begitu juga dengan contoh ini:

Contoh:
Mutu filem-filem tempatan dikatakan masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan filem-filem antarabangsa. Pada pendapat anda mengapakah perkara ini terjadi?
Bentuk karangan ini juga agak mudah ditentukan. Karangan ini memerlukan anda memberikan pandangan. Oleh itu karangan ini perlu ditulis dengan menggunakan bentuk huraian. Namun begitu ini bukanlah bermakna format karangan boleh dikenali dengan sedemikian mudah untuk semua tajuk yang diberi¬kan. Ada juga tajuk-tajuk yang tidak menyatakan bentuk yang dikehendaki dengan eksplisit. Perhatikan contoh-contoh ini:

Contoh:
Anda mempunyai seorang anak yang bersekolah di sebuah sekolah rendah. Anda tidak berpuas hati dengan mutu makanan yang disediakan oleh pihak kantin sekolah anak anda itu. Maklumkan perkara tersebut kepada pengetua sekolah berkenaan. Perhatikan bahawa tajuk ini menyatakan dengan jelas kehendak soalan yakni “maklumkan ketidakpuasan anda” tetapi tidak pula menyatakan bentuk anda harus menyampaikan aduan itu. Namun begitu sekiranya anda merenungkan tajuk ini dengan teliti, anda akan sedar bahawa sebagai seorang ibu bapa, anda dikehendaki membuat aduan rasmi kepada seorang guru besar.
Oleh yang demikian cara yang paling bernas untuk membuat aduan tersebut adalah dengan menggunakan surat kiriman rasmi. Seterusnya perhatikan satu lagi contoh:

Contoh:
Anda merupakan editor sebuah surat khabar. Anda ingin menyampaikan pandangan anda tentang masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan muda-mudi kota untuk bacaan umum. Tuliskan pandangan anda itu. Ini merupakan sebuah tajuk yang kabur. Anda dikehendaki memberikan pandangan tentang satu isu yang besar yakni “masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan muda-mudi di kota”. Selain itu, tajuk ini juga tidak menyatakan batasan untuk pembicaraan anda. Oleh yang demikian, sebaik-baiknya karangan ini ditulis dengan menggunakan format rencana. Hal ini kerana seseorang editor surat khabar biasanya menyampaikan pandangannya dengan menggunakan format tersebut. Selain itu, hanya karangan berbentuk rencana sahaja yang memungkinkan pembicaraan luas dan tanpa batasan skop.

Dengan menggunakan format rencana, anda boleh membicarakan punca masalah ini, kesan-kesan yang akan timbul daripadanya malah memberikan pandangan tentang cara-cara masalah ini boleh ditangani.

b. MENGENAL PASTI KEHENDAK SOALAN
Karangan perlu menepati kehendak soalan. Perkara ini merupakan syarat terpenting dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah hasilan bertulis, terutamanya ditinjau dari sudut peperiksaan. Oleh itu anda perlu meneliti tajuk yang dikemukakan dan seterusnya mengenali soalan yang dikemukakan. Sebagai contoh perhatikan tajuk-tajuk ini:

Contoh:
1. Permainan tradisional di negara kita semakin dilupakan. Jelaskan mengapa perkara ini terjadi.

2. Permainan tradisional di negara kita semakin dilupakan. Berikan cadangan anda untuk menghidupkan semula minat masyarakat terhadap permainan-permainan ini.

3. Pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan untuk meng¬hidupkan semula minat masyarakat terhadap permainan tradisional di negara kita. Pada pendapat anda apakah kepentingan permainan-permainan ini? Sebenarnya kesemua tiga tajuk di atas berlegar di sekitar isu yang sama yakni “permainan tradisional”. Namun begitu ketigatiganya
memerlukan hasil karangan yang berbeza. Soalan pertama menghendaki pelajar menjelaskan sebab/punca/faktor yang menyebab¬kan permainan tradisional semakin pupus. Sementara itu, soalan kedua pula menghendaki pelajar menyumbangkan
idea atau mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengekalkan permainan-permainan ini. Soalan ketiga pula menghendaki pelajar menerangkan kebaikan/manfaat/faedah/kesan positif permainan-permainan ini terhadap masyarakat, negara dan generasi akan datang. Sebarang kesilapan dalam menakrifkan kehendak soalan ini akan menyebabkan pelajar mengemukakan isi yang tidak relevan dan seterusnya menjejaskan markah.

Ditulis oleh : Dr Kathiresan PhD
(Pengarang lebih 60 buku Revisi Bahasa Melayu dan Kesusasteraan)
http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment