Tuesday, August 23, 2011

Pantun Enam Kerat Md. Ali Bachik (ILADAM)

Putik kelapa menjadi muda,
Kelapa muda jadi kemirau,
Sudah kemirau menjadi kotai;
Hati luka pura tiada,
Rasa pedih buat tak hirau,
Ibarat kaca jatuh ke lantai.

Ambil galah jolok kedondong,
Galah pendek buluh sumpitan,
Buluh bersiap tali jerami;
Bukan salah ibu mengandung,
Sudah takdir sudah suratan,
Sudah nasib jadi begini.

Sarat bermuat ikan cencaru,
Gelama tidak berumpan lagi,
Kail tersangkut di tepi batang;
Sudah dapat orang yang baru,
Yang lama tidak berkenan lagi,
Ibarat melukut di tepi gantang.

Antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dn Pustaka, 2010

Soalan ramalan BM SPM 2011

Soalan
i. Mengapakah kita tidak harus menyalahkan orang lain untuk kesusahan yang kita hadapi? [3 markah]

Jawapan
i. Kita tidak harus menyalahkan orang lain untuk kesusahan yang kita hadapi kerana ia merupakan sebahagian daripada takdir yang telah ditentukan oleh Tuhan.


ii. Pada pendapat anda, apakah tindakan yang harus diambil oleh seserang yang menghadapi musibah dalam hidupnya? [3 markah]

Jawapan
ii. Pada pendapat saya orang seperti ini haruslah sentiasa berdoa kepada Tuhan agar dibebaskan dirinya daripada musibah tersebut. Selain itu dia harus mencari punca permasalahan tersebut dan cuba meyelesaikannya. Di samping itu dia juga harus mendapatkan bantuan, pandangan dan nasihat mereka yang lebih arif dalam soal tersebut bagi menyelesaikan masalah tersebut.

iii. Nyatakan tiga persoalan yang terkandung dalam puisi ini. [3 markah]

Jawapan
iii. Salah satu persoalan dalam puisi ini ialah sikap sesetengah individu yang tidak mempedulikan penderitaan hatinya sebaliknya menjalani kehidupannya seperti biasa. Selain itu terdapat juga persoalan akur akan ketetapan takdir. Satu lagi persoalan dalam puisi ini ialah sikap sesetengah individu yang tergamak untuk meninggalkan kekasih semata-mata kerana telah menemui teman yang baru.

http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment