Saturday, August 06, 2011

MENTAFSIR DAN MEMENUHI KEHENDAK TAJUK & LATIHAN

PENGENALAN

Cuba kita renungkan kembali apa yang dimaksudkan dengan karangan. Karangan ialah sebuah wacana atau bahan bertulis dengan kepanjangan tertentu. Sekarang cuba kita fikirkan apakah kandungan sesebuah karangan. Karangan akan memuatkan isi, pemikiran, perasaan atau idea seseorang penulis. Walau bagaimanapun setiap karangan harus mempunyai tujuan yang pasti. Dengan kata lain isi-isi yang dimuatkan dalam sesebuah karangan tidak boleh dan tidak harus wujud dalam vakum. Isi-isi tersebut harus berfungsi untuk menghuraikan sesuatu permasalahan yang pasti. Permasalahan tersebut biasanya akan dinyatakan pada tajuk dan seseorang penulis haruslah menggunakan karangannya sebagai medan untuk menghuraikan permasalahan tersebut. Karangan yang memperkatakan suatu perkara yang berlainan daripada permasalahan yang disebut pada tajuk dikatakan karangan terpesong. Bagi tujuan peperiksaan, karangan yang terpesong merupakan antara kesilapan yang amat serius dan akan mengakibatkan kehilangan markah yang amat banyak. Oleh itu dalam pelajaran ini kita akan perhatikan bagaimana mentafsirkan dan seterusnya memenuhi kehendak sesebuah tajuk karangan.

KOMPONEN DALAM TAJUK KARANGAN

Sebagai permulaan mari kita perhatikan tajuk ini.

Contoh :
Permainan tradisional di negara kita semakin dilupakan. Malah ada sesetengah penduduk negara ini, terutamanya mereka yang tinggal di kota-kota tidak lagi mengenali permainan-permainan tersebut. Jelaskan usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi menghidupkan semula permainan tradisional di negara ini.

Semua tajuk karangan boleh dibahagikan kepada DUA komponen iaitu:
a. ISU
b. KEHENDAK

Bahagian awal tajuk tersebut ialah ISU.
Bahagian ini bertujuan untuk memberikan satu gambaran umum kepada calon tentang sesuatu perkara yang diperkatakan. Sebagai contoh, perhatikan isu pada tajuk di atas …

Contoh :
Permainan tradisional di negara kita semakin dilupakan. Malah ada sesetengah penduduk negara ini, terutamanya mereka yang tinggal di kota-kota yang tidak lagi mengenali permainan-permainan tersebut.

Di sini anda dimaklumkan tentang kedudukan permainan tradi¬sional di negara kita pada masa sekarang. Maklumat-maklumat ini mempunyai dua tujuan. Pertama untuk memberikan sedikit sebanyak pengetahuan asas tentang sesuatu perkara. Misalnya dengan membaca pernyataan di atas kini anda akan mendapat satu gambaran tentang¬nasib permainan tradisional di negara kita. Kini (setelah menel¬iti pernyataan yang diberikan itu) anda faham bahawa masyarakat tidak lagi begitu meminati permainan tradisional dan telah menyi¬sihkannya. Selain itu anda juga mengetahui bahawa permainan-permainan ini hampirhampir pupus dalam kalangan penduduk bandar. Malah ada sesetengah penduduk bandar yang tidak tahu apa itu wau, gasing dan congkah.

Tujuan kedua maklumat-maklumat tersebut adalah untuk ber¬fungsi sebagai set induksi bagi merangsang minda anda. Amat sukar untuk seseorang manusia mula berfikir daripada vakum. Dia melihat, mendengar atau membaca sesuatu bagi menjuruskan
pemikiran¬nya. Sebagai contoh seseorang penyajak akan hanya mampu mengha¬silkan sebuah sajak yang berkesan tentang kemiskinan dengan melihat seorang nelayan yang pulang dari laut atau seorang penge¬mis yang terbaring di tepi jalan. Jadi maklumat-maklumat yang diberikan pada bahagian ini diharap akan mendorong seseorang calon untuk berfikir ke arah yang dikehendaki.

Komponen kedua dalam sesebuah tajuk ialah KEHENDAK. Hal ini biasanya dapat diperhatikan pada bahagian bawah tajuk tersebut. Dalam tajuk di atas bahagian kehendak ialah ....

Jelaskan usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi menghidupkan semula permainan tradisional di negara ini.

Inilah bahagian yang harus diberikan perhatian berat oleh semua calon. Perkara ini disebabkan walaupun “Isu” pada tajuk membantu mendorong pemikiran tetapi tidak pula memberikan maklumat tentang arah dan tujuan sesebuah karangan. Oleh yang demikian calon tidak mungkin mula mengarang atau menghasilkan sesebuah karangan hanya dengan menggunakan isu sematamata.

“Kehendak”
merupakan bahagian di mana kita diberikan ARAHAN tentang perkara yang harus dikarang. Terdapat dua perkara penting yang harus diberi perhatian pada kehendak iaitu:
i. Bentuk karangan yang perlu ditulis
ii. Soalan yang perlu dijawab

Kita perhatikan setiap satu perkara ini dengan terperinci:

I. Bentuk
Ini merujuk kepada bentuk-bentuk karangan yang terdapat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu SPM. Antara bentuk tersebut ialah:

a. Huraian g. Laporan
b. Perbincangan h. Perbahasan
c. Ulasan i. Surat kiriman
d. Gambaran j. Rencana
e. Syarahan k. Wawancara
f. Ceramah

Sebenarnya setiap bentuk karangan ini mempunyai ciri-ciri unik yang membezakannya daripada bentuk yang lain. Sebagai contoh karangan berbentuk rencana sudah tentu tidak sama dengan karangan berbentuk surat kiriman walaupun kedua-duanya
berlegar di sekitar isu yang sama.

II. Soalan
Inilah bahagian paling penting pada sesebuah tajuk. Tidak ada tajuk yang akan dikemukakan (bagi tujuan peperiksaan) tanpa soalan. Hal ini disebabkan semua tajuk karangan bagi peperiksaan merupakan satu tugasan. Pada setiap tugasan tersebut
calon tentu diberikan arahan tentang apa yang perlu ditulis. Bahagian “soalan” ini bolehlah dianggap sebagai arahan tersebut. “Soalan” menentukan apakah jenis isi yang perlu anda kemukakan pada karangan anda. Antara contoh “soalan” pada sesebuah
tajuk karangan ialah....

a. tuliskan KESAN .....
b. huraikan KEPENTINGAN .......
c. jelaskan MASALAH ........
d. pada pendapat anda apakah PERANAN .......
e. berikan LANGKAH ..........
h. huraikan BAGAIMANA .......
i. terangkan FAKTOR-FAKTOR ......
j. jelaskan AKIBAT ........
k. berikan pendapat anda tentang BAGAIMANA .....

“Soalan” pada tajuk boleh difahami dengan meneliti kata-kata kunci yang diberikan pada bahagian KEHENDAK. Sekiranya tajuk meminta anda “huraikan KESAN yang timbul akibat penebangan hutan secara berleluasa” maka anda perlu menjuruskan karangan anda kepada kesan sahaja. Antara isi yang sesuai dalam konteks ini ialah mengakibatkan bencana
alam seperti tanah runtuh dan banjir. Perkara ini jelas merupakan kesan untuk pembalakan yang berleluasa dan menepati kehendak soalan.

Sebaliknya, jika calon memberikan isi kerajaan harus mengetatkan undang-undang maka isi tersebut dianggap salah dan terpesong kerana tidak menepati kehendak soalan. Dengan kata lain kesemua isi karangan anda harus tunduk kepada arahan pada “soalan”. Sebarang isi yang tidak menepati “soalan” akan dianggap sebagai isi terpesong dan mencacatkan markah.

Seterusnya kita perhatikan semula bahagian KEHENDAK pada tajuk kita......

Jelaskan usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi menghidupkan semula permainan tradisional di negara ini.

Kini bolehkah anda memutuskan apakah bentuk dan soalannya? Karangan ini harus ditulis dalam bentuk huraian biasa. Sementara itu soalannya pula “usaha-usaha” yang boleh dilakukan bagi mempertahankan atau menghidupkan semula permainan tradisional di negara kita. Oleh itu kesemua isi karangan ini harus merupakan langkah atau tindakan yang boleh dilakukan bagi memajukan, mempro¬mosikan, menghidupkan atau memperkenalkan semula permainan-permainan tradisional kepada masyarakat kita.

Ditulis oleh : Dr Kathiresan PhD
(Pengarang lebih 60 buku Revisi Bahasa Melayu dan Kesusasteraan)
http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment