Monday, August 15, 2011

KAEDAH MENGANALISIS PUISI

Sebelum menganalisis sesebuha puisi anda harus terlebih dahulu faham aspek-aspek yang perlu diperhatikan dan juga istilah yang terlibat. Berikut merupakan aspek-aspek yang perlu dikaji dalam sesebuah puisi.

1. MAKSUD

Huraian maksud puisi dalam bentuk prosa. Maksud harus diberikan untuk setiap perenggan berdasarkan urutan asal.

2. TEMA dan PERSOALAN

Tema bermaksud pokok persoalan utama dalam sesebuah puisi. Biasanya tema boleh digarap dalam satu ayat sahaja. Selain daripada pokok persoalan utama itu, puisi juga akan membawakan pelbagai persoalan lain. Persoalan-persoalan ini merupakan isu-isu
sampingan yang mengukuhkan tema.

3. BENTUK

Merujuk kepada ciri-ciri fizikal puisi. Pada bahagian ini anda harus perhatikan bilangan rangkap, bilangan baris dalam setiap rangkap, bilangan perkataan dalam setiap baris dan rima hujungnya. Sekiranya sesebuah puisi menunjukkan keseragaman dari
aspek-aspek di atas, maka puisi tersebut dikatan berbentuk terikat. Pantun dan syair, sebagai contoh merupakan puisi berbentuk terikat. Sementara itu kebanyakan sajak pula tidak akan menunjukkan sebarang keseragaman dari segi bilangan ayat dalam setiap
baris, bilangan perkataan dalam setiap ayat dan rimanya. Oleh itu puisi tersebut dikatakan berbentuk bebas.

4. GAYA BAHASA

Gaya bahasa merujuk kepada penerapan pelbagai unsur bahasa dalam sesebuah hasilan sastera. Tujuan penggunaan gaya bahasa adalah untuk menambahkan keindahannya. Antara aspek yang boleh diperhatikan pada gaya bahasa ialah:

a. Diksi
Pilihan kata. Penilaian harus dilakukan terhadap jenis-jenis kata yang digunakan dan kesesuaiannya dengan nada serta tema puisi tersebut.

b. Rima
Merujuk kepada bunyi. Rima yang biasanya diperkatakan ialah rima hujung. Rima hujung yang seragam pasti akan menambahkan keindahan ujaran sesebuah puisi.

c. Perlambangan
Simbol. Sebagi contoh, hijau melambangkan kesuburan, gunung melambangkan harapan, lautan melambangkan kehidupan, duri melambangkan cabaran dan sebagainya.

d. Personifikasi
Memberikan sifat manusia kepada haiwan atau benda tidak bernyawa. Sebagai contoh:

Daun melambai-lambai
Sungai mengalir garang
Malam luka
Mentari tersenyum

e. Simile
Perbandingan dengan menggunakan kata hubung. Kata hubung yang sering digunakan ialah seperti, bagai, umpama dll. Contoh:

Berdiri seperti pahlawan
Terbang seperti burung
Hilai bagai hantu
Tunduk umpama soldadu tewas

f. Metafora
Rangkai kata yang terdiri daripada satu kata konkrit dan satu kata abstrak. Contoh:

Rumah kasih (merujuk kepada rumah anak-anak yatim)
Rumah - kata konkrit
Kasih - kata abstrak
Perahu hidup (merujuk kepada perjalanan hidup)
Perahu - kata konkrit
Hidup - kata abstrak

g. Hiperbola
Pernyataan yang berlebih-lebihan atau keterlaluan untuk menggambarkan sesuatu. Tujuan penggunaan hiperbola adalah untuk mengukuhkan sesuatu gambaran. Contoh:

Air matanya menitis membentuk sungai
Kemarahannya membelah gunung

h. Pengulangan
Pengulangan meujuk kepada gaya mengulang kata dalam baris puisi. Terdapat istilah yang berbeza untuk pengulangan yang berbeza. Contohnya:

i. Anafora - Pengulangan kata pada awal baris-baris puisi. Contoh:

Ketika suara bergegar menempik semua
Ketika mata leka menggamit yang lalu
Mara pemuda enggan berputih mata
Menggenggam bara menghembus nafas merah

ii. Responsi - Pengulangan kata di tengah baris. Contoh:

Ditunggu anaknya dengan harapan yang satu
Mungkin pulang kini mungkin esok
Membawa pulang bingkisan molek
Mengingati ayah yang kedut mukanya

iii. Epifora - Pengulangan kata pada hujung baris. Contoh:

Tugu diselubungi embun pagi
Melagu indah senandung sedih
Menempik khabar pertiwi sedih
Untuk apa darah ditumpah?

iv. Repetisi - Pengulangan kata pada baris yang sama. Contoh:

Ditunggu anaknya dengan harapan yang satu
Mungkin pulang kini mungkin esok
Membawa pulang bingkisan molek
Mengingati ayah yang kedut mukanya

i. Asonansi
Pengulangan bunyi vokal (a,e,i,o,u) dalam baris puisi. Tujuannya adalah untuk mewujudkan irama yang merdu semasa membaca puisi tersebut.

Contoh:
Gelung selindung luruh di seluruh tubuh
(Pengulangan bunyi u)

j. Aliterasi
Pengulangan bunyi konsonan (Selain daripada a,e,i,o.u)

Contoh:
Tatkala tebing tekun terkam
(Pengulangan bunyi t)

5. NILAI

Nilai-nilai murni yang tekandung di dalam puisi. Nilai ini mungkin dinyatakan secara langsung atau terkandung secara tersirat.

6. PENGAJARAN

Mesej, seruan atau peringatan yang cuba disampaikan oleh penyair kepada masyarakat. Ada masanya pengajaran ini disampaikan secara langsung dalam bentuk ayat seruan atau ayat perintah dan ada masanya kita perlu merumuskan sendiri dengan menggunakan
penghayatan kita.

Ditulis oleh : Dr Kathiresan PhD
(Pengarang lebih 60 buku Revisi Bahasa Melayu dan Kesusasteraan)
http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment