Saturday, August 06, 2011

BAHASA

Dalam keghairahan untuk menghasilkan karangan ada masanya sesetengah pelajar melupakan hakikat mereka sebenarnya sedang menghadapi kertas peperiksaan MATA PELAJARAN BAHASA MALAYSIA. Hal ini menyebabkan pelajar-pelajar ini melihat karangan sebagai suatu ujian untuk menilai sejauh mana mereka mampu mengemukakan idea, pandangan atau menepukan
karangan mereka dengan isi semata-mata. Anggapan ini jauh terpesong daripada matlamat ujian karangan. Sebenarnya soalan karangan bukanlah satu ujian untuk melihat hujah-hujah seseorang penulis semata-mata. Lebih daripada itu, karangan
juga merupakan satu ujian untuk meninjau sejauh mana seorang pelajar mampu melahirkan idea, perasaan dan pemikirannya dengan menggunakan bahasa yang kemas, bermutu, lancar, indah, tepat dan gramatis. Oleh yang demikian adalah wajib bagi seseorang pelajar untuk memastikan mutu bahasanya mencerminkan pengua¬saan bahasa yang sewajarnya dimiliki oleh seorang pelajar tingkatan lima. Antara aspek bahasa yang perlu diberi penekanan ialah:

a. Ayat
Pelajar harus memastikan ayat-ayat yang digunakan dalam karangan gramatis dan tunduk kepada hukum tatabahasa mutak¬hir. Dengan kata lain, ayat-ayat tersebut perlu mempunyai subjek dan predikat, kata-kata hubung yang sesuai dan sebagainya. Selain itu, pelajar juga seharusnya menunjukkan keragaman dalam ayat-ayat yang digunakannya. Antara variasi yang boleh dipertimbangkan ialah ayat tunggal, ayat majmuk, ayat tanya, ayat seruan, ayat aktif, ayat pasif dan sebagainya.

b. Perbendaharaan Kata
Kekuatan bahasa banyak terpancar daripada pilihan kata seseorang penulis. Hal ini disebabkan perbandaharaan katalah yang benar-benar menyerlahkan penguasaan bahasa seseorang individu. Oleh itu pelajar perlu menunjukkan pemilihan kata yang tepat, indah dan luas dalam karangannya. Kekayaan pemilihan kata bukan sahaja akan memperindah sesebuah karangan tetapi juga meniupkan nyawa kepada idea yang ingin diutarakan. Satu perkara yang perlu diingati dalam soal ini ialah kata-kata tersebut tidak harus kelihatan seperti dipaksakan di dalam karangan tetapi seharusnya terbit berda¬sarkan keperluan dan suasana.

c. Tanda Baca
Penggunaan tanda baca juga perlu diberikan perhatian yang sewajarnya dalam sesebuah karangan. Antara tanda baca yang biasa ialah titik (.), koma (,), titik bertindih (:), koma bertitik (;), tanda tanya (?), tanda seruan (!) sebagainya. Kesalahan dalam penggunaan tanda-tanda ini akan mendedahkan kelemahan bahasa dan ketidaktelitian pelajar. Malah ada masanya kesilapan tanda baca juga boleh mengubah maksud sesuatu pernyataan.

d. Ejaan
Ini merupakan satu aspek yang sering dipandang enteng oleh para pelajar. Setiap kesalahan ejaan, walau betapa kecil sekalipun, tetap meninggalkan kesan negatif terhadap sesebuah karangan dan mengakibatkan kehilangan markah. Oleh itu pelajar harus teliti dan menunjukkan keprihatinan terhadap sistem ejaan yang wujud dan sebarang perubahan yang terjadi dalam sistem tersebut. Antara kesilapan yang kerap dilakukan oleh pelajar ialah:

i. Imbuhan
1. Semasa menggunakan imbuhan amalan “meng-” atau “peng-”
Kesilapan yang sering terjadi ialah semasa imbuhan ini digunakan pada kata-kata dasar yang bermula dengan abjad g, pelajar sering menggugurkan salah satu abjad tersebut. Misalnya menggunung ditulis sebagai mengu¬nung, menggali ditu
lis sebagai mengali, penggalak ditulis sebagai pengalak, pengganas ditulis sebagai penganas dan sebagainya.

2. Semasa menggunakan imbuhan akhiran “-kan” dan “-an”
Hukum tatabahasa telah menetapkan bahawa imbuhan “-an” hanya digunakan untuk kata nama dan “-kan” pula digunakan untuk kata kerja. Masalahnya ialah ada pelajar tidak tahu membezakan kegunaan imbuhan-imbuhan ini. Kesudahannya kedua-dua imbuhan ini sering dicampuradukkan. Oleh itu menggalakkan (kata kerja) ditulis sebagai menggalakan, men
egakkan (kata kerja) ditulis sebagai menegakan, memperuntukkan (kata kerja) ditulis sebagai memperuntukan dan sebagainya. Sementara itu kata-kata nama seperti tembakan (kata nama) ditulis sebagai tembakkan, tolakan (kata nama) ditulis sebagai tolakkan, tumbukan (kata nama) ditulis sebagai tumbukkan dan sebagainya.

ii. Semasa menggunakan kata-kata yang tidak tunduk kepada sistem ejaan baru.
Pelajar harus faham bahawa bukan semua kata dalam bahasa Melayu mengalami perubahan dengan pengenalan Sistem Ejaan Baru (1972). Kesilapan yang sering dilaku-kan oleh pelajar ialah menulis calun untuk calon, tulin untuk tulen, anih untuk aneh, stem untuk setem, pensil untuk pensel, pamir untuk pamer, lancung untuk lancong dan sebagainya.

iii.Semasa menggunakan kata-kata pinjaman yang berasal dari Bahasa Inggeris. Ejaan kata-kata ini biasanya agak rumit dan sering menimbulkan pelbagai kesilapan. Contoh kata-kata yang dimaksudkan ialah kompleks, stimuli, strategi, transkripsi, interpretasi, fenomena dan sebagainya.

Ditulis oleh : Dr Kathiresan PhD
(Pengarang lebih 60 buku Revisi Bahasa Melayu dan Kesusasteraan)
http://adf.ly/1okqV

No comments:

Post a Comment