Sunday, May 01, 2011

SINTAKSIS ( BAHASA MALAYSIA )

Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Hal ini bermakna, bidang sintaksis ialah mengkaji tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat.

Aspek sintaksis yang perlu diberikan tumpuan ialah :

a) Unsur utama ayat yang terdiri daripada kata frasa,klausa dan aspek pembinaannya, serta pembahagian sunjek dan predikat.

b) Jenis ayat, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan.

c) Ragam ayat iaitu ayat aktif dan ayat pasif.

d) Susunan ayat iaitu susunan biasa dan songsang.

e) Binaan ayat : i. ayat dasar, ii. ayat tunggal, iii. ayat terbitan atau ayat majmuk.

f) Proses penerbitan ayat :

i. konsep ayat terbitan
ii. proses pengguguran
iii. proses penyusunan semula
iv. proses peluasan

g) Aspek tanda bacaan.

Bentuk soalan sintaksis peringkat SPM (Bahasa Malaysia)

Tahun 2004

SPMU : Kenal pasti jenis-jenis ayat
SPMN : Menukar cakap ajuk kepada cakap pindah

Tahun 2005

SPMU : Menukar ayat bersusun songsang kepada ayat bersusunan biasa
SPMN : Menukar ayat pasif kepada ayat aktif / cerakinkan ayat

Tahun 2006

SPMU : Cerakinkan ayat majmuk kepada ayat tunggal
SPMN : Majmuk kepada dua ayat tunggal

Tahun 2007

SPMU : Bina satu ayat bagi setiap ayat Perintah, ayat Seruan, ayat Silaan & ayat Permintaan.
SPMN : Menukar ayat aktif kepada ayat pasif

Tahun 2008

SPMU : Menukar ayat bersusunan biasa kpd ayat bersusunan songsang
SPMU : Gabungkan dua ayat tunggal menjadi satu
SPMN : Pola ayat / Kenal pasti subjek dan predikat

Tahun 2009

SPMU : Ayat majmuk dgn menggunakan kata hubungan yg sesuai.

Tahun 2010

SPMU : Menukar cakap ajuk kepada cakap pindah
SPMN : Binaan ayat tanya dgn menggunakan kata tanya yang betul

Soalan SPM 2010

1. Berdasarkan ayat-ayat di bawah, bina ayat tanya dengan menggunakan kata tanya yang betul. Kata tanya yang digunakan hendaklah bersesuai dengan rangkai kata yang berhuruf condong dalam ayat-ayat yang diberi.

i) Mereka bersenam petang tadi.
ii) Encik Samad pengurus besar syarikat itu.
iii) Murid itu mendapat pujian kerana kecemerlangannya dalam pelajaran.
iv) Pertandingan akhir Piala Malaysia akan diadakan di Stadium Bukit Jalil.
v) Kren digunakan dalam pembinaan bangunan 21 tingkat itu.
vi) Negara kita mencapai kemerdekaan melalui rundingan meja bulat.

Soalam SPM 2009

2. Kenal pasti dan tulis subjek dan predikat yang lengkap bagi setiap ayat seperti yang berikut:

i) Kami dilayan dengan mesra oleh pekerja restoran tersebut.
ii) Ketinggian Gunung Kinabalu 4104 meter.
iii) Pada setiap petang Sabtu, kami sekeluarga ke perpustakaan.
iv) Taman Tasik Perdana terkenal oleh landskapnya yang menarik.
v) Murid yang pintar itu bercita-cita untuk menjadi angkasawan.
vi) Demi membiayai kos pelajaran anak-anak, ibu bapa sanggup bergolak-bergadai.

Secara tuntas, bentuk soalan pengetahuan dan kemahiran bahasa memang kelihatan mudah, tetapi tidak semua murid berupaya memperoleh markah maksimum yang diperuntukkan. Hal ini demikian kerana pasti ada sahaja kesilapan dari segi tatabahasa yang dilakukan oleh murid atau langsung mereka tidak tahu sama sekali jawapan yang tepat terhadap satu-satu soalan yang diajukan. Oleh itu, bagi membolehkan murid menguasai bentuk soalan sintaksis yang dibincangkan dalam ruangan ini, murid perlu meningkatkan latih tubi dari semasa ke semasa. Amalan membaca bahan bahan bermutu perlu dilakukan bagi memantapkan penguasaan aspek pengetahuan dan kemahiran bahasa. Dengan berbuat demikian, murid akan dapat menguasai soalan jenis ini sekali gus meningkatkan keyakinan diri.

Sumber : Guru Cemerlang Bahasa Malaysia

No comments:

Post a Comment