Friday, April 22, 2011

UNSUR MOTIVASI dalam NOVEL MELUNAS RINDU

Motivasi merupakan satu daripada unsur yang terkandung dalam Melunas Rindu. Unsur itu telah mewarnai kehidupan watak yang ditonjolkan dalam novel tersebut. Murid pula sememangnya wajar mendapat input unsur motivasi itu demi memperkaya pengetahuan yang berguna, khususnya ketika menghadapi peperiksaan, di samping menambah kekuatan jiwa agar menjadi murid yang lebih mandiri.

Pengorbanan ialah unsur motivasi yang amat berkaitan dengan tugas dan perjuangan guru. Dia perlu bersabar ketika menghadapi kerenah murid dan cara untuk mengatasi masalah itu. Guru harus bersabar apabila berkorban masa dan waktu rehat demi menyampaikan ilmu pengetahuan untuk kemajuan murid. Hal tersebut bertepatan dengan kata hikmat bahawa guru ibarat lilin yang membakar dirinya demi menerangi keadaan sekeliling.

Sebagai contohnya, Cikgu Fuad mempunyai kesabaran dan semangat yang kental dengan mengorbankan masa senggangnya untuk melayan, memberikan bimbingan dan mengajar murid di luar waktu persekolahan di kantin. Dia sanggup mengorbankan masa berjam-jam lamanya tanpa mengira bilangan murid yang diajarnya. Fuad dengan ikhlasnya berkorban untuk masa hadapan murid ibarat lilin yang berjasa tersebut, seperti yang dinyatakan pada halaman 98.

"Hinggalah Fuad datang memberikannya cahaya. Berbanding dengan dirinya, Fuad lebih sabar melayan kerenah anak-anak murid. Dia boleh tahan duduk di kantin dua tiga jam lamanya untuk mengajar hanya sekumpulan kecil pelajar."

Antara unsur motivasi yang penting termasuklah memberikan nasihat kepada orang yang menghadapi masalah. Nasihat itu mampu mengubah pemikiran dan merawat jiwa individu. Misalnya; Cikgu Zamani memberikan nasihat kepada Fuad agar jangan suka menyendiri kerana tindakan begitu dapat melemahkan individu, menjadikannya murung, mullah dijangkiti rasa rendah diri dan mullah kehabisan idea. Sebaliknya, Fuad dinasihati supaya menyertai masyarakat agar selalu riang, sentiasa mendapat kekuatan diri dan mullah mengatasi cabaran. Perkara itu dinyatakan pada halaman 144.

"Apa-apa pun yang kita buat Fuad, kita perlukan jemaah. Kita tidak boleh bertindak bersendirian. Jemaah yang besar akan menjadikan kita kuat dan mampu mengubah apa yang kita rasa salah selama ini." Cikgu Zamani menyambung lagi.

Pakar motivasi Barat, Louis Paster, menekankan bahawa yang membolehkan seseorang mencapai matlamat dan memberikan kekuatan dalam kehidupannya ialah pergantungan pada ketabahan hatinya. Fuad mempunyai hati yang tabah untuk mencapai matlamatnya. Contohnya, dia sentiasa tabah untuk mencari ibu kandungnya yang dikhabarkan telah meninggal dunia. Fuad tidak pernah berputus asa untuk mencari ibunya itu walaupun dengan mengambil masa yang begitu lama dan menghadapi berbagai-bagai kesukaran. Akhirnya, dia berjaya menemukan ibu kandungnya yang tersayang itu.

Kerajinan merupakan unsur motivasi yang mampu memugar potensi individu, khususnya murid, untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran. Misalnya, Fuad sangat rajin ketika melaksanakan tugasnya walaupun dia hanya guru sementara. Sifatnya yang rajin itu telah mendapat pujian dan mengagumkan pentadbir dan guru di sekolahnya. Hal itu dinyatakan pada halaman 119.

"Hatinya senang melihat guru yang seorang itu. Betapa pun cuma seorang guru sementara, kerajinannya mengagumkan. Memang dia tidak silap pertaruhan waktu melobi pengetua untuk meletakkan Fuad sebagai guru Bahasa Inggeris tingkatan lima."

Tidak dapat dinafikan bahawa ketenangan dan keriangan dalam jiwa amat diperlukan oleh seseorang untuk melakukan sesuatu aktiviti, seterusnya meraih kejayaan. Kemurungan, kesedihan dan kerunsingan akan menyebabkan seseorang kehilangan kewarasan pemikiran serta membantutkan sebarang aktiviti dalam kehidupan yang membawa kegagalan. Ketenangan dan keriangan dapat dirangsang serta dinikmati daripada kesan wujudnya slam semula jadi. Tidak secara langsung, anugerah Allah itu mampu memberikan semangat baharu dan memotivasikan jiwa seseorang ke arah medan yang lebih murni lagi positif.

Misalnya, Mariana (ibu Farhana) terkenang akan peristiwa anaknya yang baru pulang daripada belajar di luar negara. Farhana sedih dan hampa kerana tidak dapat bertemu dengan ayahnya yang telah meninggal dunia. Bagi Mariana, suaminya insan yang baik dan prihatin terhadap keluarganya amat terkilan untuk menatap wajah Farhana sebelum meninggal dunia. Mariana dilanda kesedihan dan mengalir air matanya apabila diasak dengan kenangan tersebut. Namun begitu, jiwanya kembali tenang dan riang apabila dia menikmati keindahan jambangan pokok bunga orkid dan sekitarnya. Pengarang menyatakan perkara itu pada halaman 102.

"Farhana ketawa kecil sambil berlalu, menjadikan ibunya terus tergeleng-geleng. Dia ingin melamun lagi, tetapi kesedihan yang bertamu membuatkannya bingkas. Langsung dia ke halaman rumah. Lamunannya mati setelah pandangannya diganti oleh jambangan orkidnya, berwarna-warni sehingga mampu meriangkan kembali perasaannya."

Keyakinan yang tinggi merupakan unsur motivasi yang penting untuk seseorang mencapai sesuatu matlamat dalam kehidupannya. Seseorang tidak akan mencapai matlamat hidup jika tidak mempunyai keyakinan yang jitu. Pakar motivasi sering menyuntik semangat yang jitu kepada insan yang kehilangan keyakinan kerana kelemahan diri dan kehilangan semangat apabila menghadapi pelbagai cabaran untuk mencapai sesuatu matlamat dalam kehidupan. Apabila keyakinan sudah wujud dalam jiwa, orang itu akan mullah untuk menyelesaikan sesuatu masalah, apatah mencapai matlamat yang diimpikan.

Sebagai contohnya, ketika berusaha untuk mencari ibunya, Fuad menghadapi cabaran. Keluarganya pula berpecah belah kerana berlainan agama. Maklumat tentang ibunya masih kabur dan memerlukan pencarian yang seolah-olah tiada berkesudahan. Namun begitu, dengan berbekalkan keyakinan yang tinggi dan kepercayaan bahawa ibunya masih hidup, akhirnya Fuad dapat merealisasikan usahanya itu.

Oleh hal yang demikian, unsur motivasi menjadikan Melunas Rindu lebih menarik untuk dibaca dan dihayati oleh murid.

"Ketenangan dan keriangan dalam jiwa amat diperlukan oleh seseorang untuk melakukan aktiviti, seterusnya meraih kejayaan. Kemurungan, kesedihan dan kerunsingan akan menyebabkan seseorang kehilangan kewarasan pemikiran serta membantutkan sebarang kehidupan yang membawa kegagalan"(Ismail Mis)

Sumber
Sastera dalam Bahasa (keluaran PELITA BAHASA MAC 2011)
Unsur Motivasi dalam Novel Melunas Rindu
Oleh ISMAIL MIS

No comments:

Post a Comment