RUANG SEMBANG

Latihan interatif

Panduan Penulisan Rumusan Bahasa Melayu SPM

Tuesday, April 26, 2011

Contoh 3 Soalan SPM Bahasa Malaysia (NOVEL)

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i) Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah
(ii) PAPA…(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof
(iii) Renyah karya Gunawan Mahmood
(iv) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah

(a) Huraikan klimaks novel yang telah anda kaji.
(b) Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, jelaskan empat nilai murni yang terkandung dalam novel tersebut.

Contoh Jawapan:

(i) Novel Azfa Hanani

(a) Klimaks novel ini ialah:

Klimaks dalam novel ini bermula pada Hari Sumbangsih diadakan. Pada hari itu, Hanani berpeluang
bersemuka dengan Ekran dan mendengar penjelasan daripada Ekran tentang hubungannya dengan
Tengku Murni terputus atas sebab-sebab tertentu. Hanani juga diberitahu tentang dompet Tengku
Murni yang ada pada Ekran. Melalui diari Tengku Murni, Hanani mendapat tahu bahawa hubungan
Ekran dan Tengku Murni terputus disebabkan oleh Tengku Muzaffar yang menghalang hubungan
tersebut demi menjaga nama baik keluarga meraka. Hanani berasa terhina lalu terjadi pertengkaran antara mereka. Pertengkaran itu menyebabkan Datin Maziah mengetahui tentang penyamaran Hanani. Akibatnya Hanani ditampar dan dihalau oleh Datin Maziah.

(b) Nilai murni yang terkandung dalam novel ini ialah:

➥ Bertanggungjawab
Contohnya, sikap pak long dan mak long Hanani yang menjaga dan menyekolahkannya walaupun
mereka sendiri hidup dalam kesempitan.

➥ Prihatin
Contohnya, Tengku Mazran dan isterinya Safinaz yang membantu pak long Hanani dengan
membiayai kos perubatan Zurina.

➥ Merendah diri
Ekran bersikap merendah diri walaupun keluarganya berada.

➥ Berdikari
Ekran menjual burger.

(ii) Novel PAPA…(akhirnya kau tewas jua!)

(a) Klimaks novel ini ialah:

Klimaks cerita ini bermula semasa Julia mengajak papanya bersembahyang maghrib secara berjemaah. Selepas bersembahyang bersama, mereka menjenguk mama di biliknya. Setelah ditegur oleh suaminya, mama mula membuka mata dan mula bercakap. Pada masa itu, semua ahli keluarganya ada di sisi. Walau bagaimanapun, air muka mama berubah tatkala melihat Aisyah yang berada di sisi suaminya. Jeffri yang dalam keadaan serba salah itu akhirnya menjelaskan hal yang sebenar. Intan Maliana berasa kecewa dan akhirnya meninggal dunia.

(b) Nilai murni yang terkandung dalam novel ini ialah:

➥ Bertanggungjawab
Jefri bertanggungjawab membawa Mak Cik Noraini tinggal bersamanya setelah keluarganya meninggal dunia dalam kemalangan.

➥ Prihatin
Datuk Mustakim sanggup mengambil Rasylan dari rumah JKM menjadi anak angkatnya.

➥ Kasih sayang
Jefri sangat mengasihi keluarganya. Dia sanggup membawa isterinya balik dari hospital untuk membolehkannya menjaga isterinya.

➥ Berhati mulia
Julia tidak membenci Rasylan walaupun dia tahu bahawa Rasylan berasal dari JKM.

(iii) Novel Renyah

(a) Klimaks novel ini ialah:

Klimaks dalam novel ini bermula pada majlis pernikahan Amera. Di majlis ini, Datuk Dolhi bertemu dengan rakannya, Ustaz Wahab dan bercerita tetang Mukhlis. Mereka mencari Mukhlis tetapi gagal sehinggalah mendapat berita bahawa Mukhlis menjadi tidak siuman dan cuba menyerang tuk guru dan kini merayau-rayau sambil membawa pedang. Sementara itu, Hasnol didesak oleh Tengku Munir supaya meluluskan semua tendernya dan gesaan ini menyebabkan Hasnol berasa tertekan kerana dia tahu bahawa dia tidak dapat berbuat demikian. Walau bagaimanapun, Hasnol meneruskan percutian dengan keluarganya. Tengku Munir yang tidak berpuas hati melaporkan kepada Menteri Besar. Akhirnya Hasnol ditahan semasa pulang dari percutian. Dani pula ditahan oleh polis kerana terlibat dalam penagihan dadah. Berita penangkapannya disiarkan dalam akhbar yang menyebabkan imej Datuk Dolhi terjejas. Ilham dianggap pengkhianat negara kerana memburuk-burukkan negara berkaitan dengan isu pembalakan. Semua kejadian yang dialami oleh anak-anak Datuk Dolhi menaikkan kemarahan Albert Lee dan mahu merampas tampuk penguasaan dalam syarikat.

(b) Nilai murni yang terkandung dalam novel ini ialah:

➥ Kasih sayang
Albert Lee tetap meluangkan amsa bersama-sama dengan isteri dan anak-anaknya walaupun sibuk dengan urusan perniagaannya.

➥ Patriotik
Datuk Dolhi yang menggunakan kereta buatan Malaysia walaupun dia mampu untuk menggunakan kereta mewah yang diimport.

➥ Ketabahan
Datuk Dolhi tetap tabah menghadapi pelbagai musibah angkara perbuatan anak-anaknya.

➥ Kerajinan
Datuk Dolhi rajin membaca pelbagai bahan bacaan bagi memantapkan ilmu keusahawanannya.
(iv) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah

(a) Klimaks novel ini ialah:

Klimaks dalam novel ini bermula apabila berlakunya pertengkaran antara Cikgu Farhana dengan Cikgu Zamani. Pertengkaran ini telah mengganggu perasaan Fuad sehingga dia mengambil langkah drastik dengan menyusul Farhana ke Kuantan yang pulang kerana melawat ibunya di hospital. Sewaktu di hospital, Fuad terbaca nama ibu Farhana yang sama dengan nama ibu kandungnya. Hal ini menyebabkan Fuad menyelidiki latar belakang ibu Farhana. Kemusykilannya terjawab apabila bapa kandungnya Robert Lim sampai di hospital dan mengesahkan bahawa ibu Farhana itu ialah ibu kandung Fuad.

(b) Nilai murni yang terkandung dalam novel ini ialah:

➥ Dedikasi
Contohnya, Fuad yang sangat berdedikasi sewaktu menjalankan tugasnya sebagai tenaga pengajar.

➥ Bekerjasama
Contohnya, Fuad dan Farhana sentiasa bekerjasama dalam meningkatkan pencapaian murid-murid mereka dalam Bahasa Inggeris.

➥ Bertindak secara rasional
Contohnya, Fuad dan Farhana reda menerima hakikat bahawa mereka adik-beradik, walaupun mereka saling mencintai.

➥ Prihatin
Contohnya, Fuad yang prihatin terhadap kesusahan keluarga Peter Lim dan keluarganya yang akhirnya membantu menanggung segala perbelanjaan persekolahan anak-anak Peter Lim.

No comments:

Post a Comment