RUANG SEMBANG

Latihan interatif

Panduan Penulisan Rumusan Bahasa Melayu SPM

Sunday, March 27, 2011

STRATEGI MENJAWAB RUMUSAN BAHASA MALAYSIA SPM

Langkah 1 : Kenal Pasti Kata Kunci

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang masalah yang dihadapi oleh pengguna pengangkutan awam dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah pengangkutan awam. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

===========================================
Langkah 2 : Tulis Pengenalan dalam satu perenggan

1. Perkataan yang bersinonim dengan tugasan utama untuk menyatakan isi tersurat: masalah – kesulitan

Petikan membincangkan kesulitan yang dihadapi oleh pengguna pengangkutan awam.

===========================================
Langkah 3 : Garisi Isi-isi Tersurat

Jumlah pemilik kenderaan persendirian didapati semakin bertambah. Namun begitu, pengangkutan awam masih menjadi pilihan utama sebahagian besar rakyat negara kita terutamanya yang tinggal di kota. Meskipun pelbagai langkah telah diambil untuk meningkatkan mutu perkhidmatannya, masih ramai pengguna yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap mutu perkhidmatan pengangkutan awam.

Antara masalahnya ialah pengangkutan awam yang ada di negara kita tidak cekap, kurang efisien, melambatkan perjalanan dan menyebabkan mobiliti ataupun pergerakan menjadi terbatas. Oleh sebab itulah ramai orang lebih suka menggunakan kenderaan sendiri untuk pergi ke tempat kerja daripada menaiki pengangkutan awam. Mereka tidak mahu sampai lewat di tempat kerja sehingga menimbulkan tindakan disiplin.

Selain itu, terdapat pengangkutan awam yang sudah uzur keadaannya sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan penumpang. Antaranya ialah kusyen tempat duduk yang sudah koyak, kerusi goyang dan keadaan yang kotor di dalam bas. Keadaan ini menyebabkan penumpang berasa tawar hati untuk menggunakan pengangkutan awam.

Seterusnya, terdapat sesetengah pengusaha pengangkutan awam mengenakan tambang yang amat mahal terhadap penumpang mereka. Biasanya, hal ini dilakukan oleh pemandu-pemandu teksi. Walaupun teksi mereka bermeter, masih terdapat pemandu teksi yang tidak menggunakan meter sebaliknya menentukan kadar tambang teksi tersebut. Hal ini akan menjejaskan nama baik negara di mata pelancong asing.

Di samping itu, sikap sesetengah pemandu pengangkutan awam yang memandu kenderaan dalam keadaan laju dan berbahaya turut membimbangkan penumpang. Hal ini biasanya dilakukan oleh pemandu bas ekspres. Tambahan pula, ada sesetengah pemandu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan memandu di bawah pengaruh alkohol. Apabila ini berlaku, sudah tentu penumpang tidak mahu mengambil risiko dengan menaiki bas tersebut.

Masalah pengangkutan awam yang lain adalah dari segi sikap pemandu yang kasar dan tidak sopan kepada penumpang, malahan ada penumpang yang diherdik atau dimaki oleh pemandu kerana timbul salah faham. Hal ini sudah tentu akan menimbulkan perasaan tidak puas hati penumpang.

Masalah-masalah dalam pengangkutan awam di negara ini perlu ditangani dengan baik kerana pengangkutan awam mempunyai kepentingan dan peranannya yang tersendiri dalam membantu orang ramai sampai di destinasi yang ditujuinya. Di negara maju seperti Amerika Syarikat, England dan Jepun, pengangkutan awam menjadi pilihan utama rakyatnya untuk berulang-alik ke tempat kerja.

==========================================
Langkah 4 : Tulis isi-isi Tersurat dengan ayat sendiri

Isi Tersurat daripada petikan
S1 : pengangkutan awam yang ada di negara kita tidak cekap, kurang efisien, melambatkan perjalanan dan menyebabkan mobiliti ataupun pergerakan menjadi terbatas. (18 ptk)

Isi Tersurat daripada petikan
S1 : Pengangkutan awam yang selalu lambat dan tidak menepati masa menyebabkan pekerja lewat sampai di tempat kerja. (15 ptk)

Isi Tersurat daripada petikan
S2 : pengangkutan awam yang sudah uzur keadaannya sehingga menimbulkan rasa kurang selesa

Isi Tersurat yang telah diolah dengan ayat sendiri
S2 : Keuzuran pengangkutan awam menimbulkan rasa tidak selesa pengguna.

Isi Tersurat daripada petikan
S3 : pengusaha pengangkutan awam mengenakan tambang yang amat mahal terhadap penumpang mereka.

Isi Tersurat yang telah diolah dengan ayat sendiri
S3 : Tambang pengangkutan awam yang tinggi membebankan pengguna.

Isi Tersurat daripada petikan
S4 : pemandu pengangkutan awam yang memandu kenderaan dalam keadaan laju dan berbahaya

Isi Tersurat yang telah diolah dengan ayat sendiri
S4 : Pemandu yang memandu dengan laju membimbangkan penumpang.

Isi Tersurat daripada petikan
S5 : pemandu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Isi Tersurat yang telah diolah dengan ayat sendiri
S5 : Ada pemandu yang mengambil dadah dan minuman keras.

Isi Tersurat daripada petikan
S6 : sikap pemandu yang kasar dan tidak sopan kepada penumpang

Isi Tersurat yang telah diolah dengan ayat sendiri
S6 : Pemandu yang bersikap kasar dan tidak menghormati penumpang turut menjadi masalah.

========================================
Langkah 5 : Tulis isi-isi Tersurat dalam Satu Perenggan

Pengangkutan awam yang selalu lambat dan tidak menepati masa menyebabkan pekerja lewat sampai di tempat kerja. Selain itu, keuzuran pengangkutan awam menimbulkan rasa tidak selesa penggunanya. Malahan, tambang pengangkutan awam yang tinggi membebankan pengguna. Di samping itu, pemandu yang memandu dengan laju membimbangkan pengguna. Lagipun, ada pemandu yang mengambil dadah dan minuman keras. Pemandu yang bersikap kasar dan tidak menghormati penumpang turut menjadi masalah.

==========================================
Langkah 6 : Tulis isi-isi Tersirat dalam Satu Perenggan

1. Langkah-langkah untuk mengatasi masalah pengangkutan awam:

(a) pihak berkuasa perlukan bertindak tegas terhadap pengusaha pengangkutan awam yang melakukan kesalahan
(b) kerajaan juga patut memberikan pinjaman kepada pengusaha untuk membeli kenderaan baharu

2. Menulis isi-isi tersirat dalam satu perenggan:

Untuk menangani masalah ini, pihak berkuasa perlulah bertindak tegas terhadap pengusaha pengangkutan awam yang melakukan kesalahan. Kerajaan juga patut memberikan pinjaman kepada pengusaha untuk membeli kenderaan baharu.

==========================================
Langkah 7 : Tulis Kesimpulan dalam Satu Perenggan

1. Unsur 1 - pengusaha pengangkutan awam dan kerajaan perlulah bekerjasama untuk menangani masalah pengangkutan awam

2. Unsur 2 - mutu pengangkutan awam memuaskan hati penumpang

3. Kesimpulan lengkap:

Kesimpulannya, pengusaha pengangkutan awam (tema ) dan kerajaan perlulah bekerjasama untuk menangani masalah pengangkutan awam agar mutu pengangkutan awam memuaskan hati pengguna.

===========================================
Rumusan lengkap

Petikan membincangkan kesulitan yang dihadapi oleh pengguna pengangkutan awam.

Pengangkutan awam yang selalu lambat dan tidak menepati masa menyebabkan pekerja lewat sampai di tempat kerja. Selain itu, keuzuran pengangkutan awam menimbulkan rasa tidak selesa penggunanya. Malahan, tambang pengangkutan awam yang tinggi membebankan pengguna. Di samping itu, pemandu yang memandu dengan laju membimbangkan pengguna. Lagipun, ada pemandu yang mengambil dadah dan minuman keras. Pemandu yang bersikap kasar dan tidak menghormati penumpang turut menjadi masalah.

Untuk menangani masalah ini, pihak berkuasa perlulah bertindak tegas terhadap pengusaha pengangkutan awam yang melakukan kesalahan. Kerajaan juga patut memberikan pinjaman kepada pengusaha untuk membeli kenderaan baharu.

Kesimpulannya, pengusaha pengangkutan awam (tema ) dan kerajaan perlulah bekerjasama untuk menangani masalah pengangkutan awam agar mutu pengangkutan awam memuaskan hati pengguna.

No comments:

Post a Comment