Sunday, March 27, 2011

PANTUN LAPAN KERAT

Buat bangsal di tengah hutan,
Tebaslah hutan buat halaman,
Di tepi halaman menanam kubis,
Diselang dengan pokok papaya;
Biarlah sabar dengan perlahan,
Itulah tanda tuan beriman.
Tidak patah digoncang syaitan,
Akhirnya tuan menang berjaya.

Maksud
Bersifat sabar ialah tanda orang yang beriman. Orang yang beriman tidak akan terpedaya dengan bisikan iblis dan itu sebagai tanda kejayaan.
(Sifat sabar dapat melindungi diri kita godaan syaitan/ memperoleh kejayaan hidup.)

Ikan teluk parang-parang,
Anak ketam disangka lelabi,
Berburu musim tengkujuh,
Dapat buruan dibelah-belah;
Bukan makhluk sebarang-barang,
Cucu Adam sepaian nabi,
Turun dari langit ketujuh,
Jadi khalifah kepada Allah.

Maksud
Keturunan manusia berasal daripada Nabi Adam. Dipilih menjadi menjadi khalifah/ pemimpin di muka bumi Allah.
(Manusia yang menjadi khalifah di dunia ialah mahkluk pilihan Tuhan.)

Lengkang-lengkung apa dipaku,
Paku jatuh patah dua,
Menjadi riuh orang di darat,
Anak Cik Itam jatuh jalar;
Bumi kandungan nenek moyangku,
Kerana lalai rosak binasa,
Kebudayaan Timur dinodai Barat,
Bahasa ibunda hina terbiar.

Maksud
Kelalaian manusia menyebabkan bumi rosak binasa. Kebudayaan Timur telah dicemari oleh budaya Barat malah bahasa ibunda juga turut diabaikan.
di negara sendiri akibat sikap mengagung-agungkan budaya orang lain/budaya Barat.

Gaya Bahasa/Unsur Bunyi
1. Sinkof
Bumi kandungan nenek moyangku

2. Kata ganda
Anak ketam disangka lelabi
Dapat buruan dibelah-belah

3. Unsur alam
Tumbuhan – kubis, papaya
Haiwan – ikan , ketam, lelabi
Alam – hutan, langit, bumi

Unsur bunyi
Asonansi - kerana lalai rosak binasa (rangkap 3 baris 6)

Aliterasi – bumi kandungan nenek moyangku (rangkap 3 baris 5)


Bentuk/ Kosa Kata

1. Mempunyai 3 rangkap.
2. Mempunyai 8 baris dalam setiap rangkap.

3. Jumlah perkataan antara 3 hingga 5 patah perkataan.
Contoh : ikan teluk parang-parang
Contoh : biarlah sabar dengan perlahan
Contoh : Di tepi halaman menanam kubis

4. Terdiri daripada 8 hingga 13 suku kata.
5. Rima akhir abcdabcd
6. Bentuk pantun terikat.

Persoalan

Persoalan kunci kejayaan ialah kesabaran. (rangkap 1)
Persoalan keistimewaan sebagai seorang manusia. (rangkap 2)
Persoalan pencemaran budaya dan bahasa . (rangkap 3)

Nilai

Kesabaran
Kesyukuran
Bertanggungjawab/ jati diri

Pengajaran

Kita hendaklah sabar menghadapi ujian dan cabaran dalam kehidupan.
Kita haruslah sentiasa bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Tuhan.
Kita perlulah menjalankan tanggungjawab untuk memelihara budaya dan bahasa kebangsaan.

Huraian

-Seseorang yang berjaya menempuh setiap dugaan dengan tabah dan sabar pasti akan berjaya.
-Sebagai seorang manusia, kita bertanggungjawab menjaga dan memakmurkan bumi.
-Kelalaian kita menjaga dan memelihara budaya serta bahasa akan menyebabkan kita kehilangannya pada masa depan.

No comments:

Post a Comment