Sunday, March 27, 2011

Mengintai Ruang Insaf

Semakin berat kejahilan
terpikul di bahu
semakin jauh perjalanan
memburu nur-Mu.

Maksud
Apabila pengetahuan agama semakin cetek, seseorang itu semakin jauh dari Tuhan/ cahaya kebenaran.

Sewaktu berlari di padang hidup
kerap kakiku tersadung selirat akar
tubuhku tercalar duri pidana
pada samar kejauhan
ancala mulia makin kabur
dan menghilang.

Maksud
Dalam menjalani kehidupan penyajak mengakui bahawa dia sering melakukan kesalahan/kesilapan. Jalan menuju kebenaran semakin jauh dan sifat-sifat mulia dalam dirinya juga menghilang.

Sekadar songsang aksara kata
tanpa kembali ke tunjang makna,
“Apakah dalam saraf khilaf
masih terbuka ruang untuk
dianugerahkan keinsafan?”

Maksud
Seseorang yang telah melakukan pelbagai kesilapan tertanya-tanya sama ada masih ada peluang untuk dirinya kembali insaf.

Rabb,
moga pintu taubat-Mu terbuka
sebelum api dari bara itu menyala.

Maksud
Penyajak berdoa dan berharap agar Tuhan akan mengampunkan segala dosanya/pintu taubat untuknya masih terbuka sebelum tiba hari pembalasan.

Maksud kata:
• nur ~ cahaya
• tersadung ~ tersepak / terlanggar
• pidana ~ kejahatan (bahasa Indonesia)
• ancala ~ gunung
• songsong ~ berlawanan
• aksara ~ huruf
• khilaf ~ kesalahan / keliru / kesilapan

Tema:
Bertemakan keagamaan. Penyair dengan rasa rendah diri mengakui bahawa kejahilan telah menjarakkan/menjauhkan dirinya daripada Tuhan. Hal ini menyebabkan dirinya sering melakukan kesilapan. Penyair telah menginsafi diri, memohon taubat dan ingin kembali ke jalan yang betul.

Persoalan:
1. Manusia biasa tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan semasa hidup.
2. Kepentingan perasaan untuk insaf bagi seseorang yang melakukan kesalahan.
3. Keinginan dan ruang untuk bertaubat.

Gaya Bahasa
1. metafora: padang hidup – tempat menjalani
kehidupan
2. sinkope - kakiku

Nilai/Pengajaran (Kita haruslah/perlulah...)
1. Keinsafan (kesilapan yang dilakukan)
2. Kejujuran (mengaku kesalahan)
3. Keikhlasan (bertaubat dengan ikhlas)
4. Kepatuhan kepada Tuhan (tidak melakukan kejahatan)
5. Kesyukuran (diberikan peluang untuk insaf dan bertaubat atas kesalahan yang dilakukan)

Sumber rujukan : Panitia Bahasa Malaysia

No comments:

Post a Comment