Sunday, March 27, 2011

GELANGGANG TUK WALI

Tema: Kekentalan dan semangat juang dan jati diri seorang guru silat untuk mempertahankan warisan budaya bangsa.

Persoalan:
1. Golongan muda yang semakin melupakan nilai-nilai budaya.
2. Penyalahgunaan dadah
3. Dengki khianat
4. Tamak haloba
5. Kasih sayang dalam keluarga

Sinopsis mengikut babak

Babak 1
Ripin telah pergi ke rumah Tuk Wali untuk memberitahunya tentang jemputan bersilat di majlis perkahwinan di rumah Haji Kodri. Walaupun demam, Tuk Wali tetap mahu memenuhi jemputan tersebut. Ripin mengingatkan Tuk Wali bahawa pemberita (wartawan) akan datang pada malam itu. Tuk Wali memberitahu Ripin bahawa jika manusia menurut petua dan pantang larang apabila di hutan, akar-akar kayu tidak akan habis hingga ke anak cucu. Menurut Tuk Wali, pokok yang sedang berbunga, masih kecil atau tidak pasti jenisnya tidak boleh ditebang. Tuk Wali meluahkan perasaan tidak puas hatinya dengan cara Si Guan tauke kedai singse yang mencari akar kayu dengan menggunakan traktor. Pokok besar atau pokok induk turut dicabut dan menyebabkan benih tidak dapat dihasilkan lagi. Tuk Wali turut merungut kerana harga akar-akar kayu semakin rendah kerana sebelum dijual akar-akar kayu perlu dicuci, dijemur dan diracik. Tuk Wali mengingatkan Ripin agar mengumpulkan murid-murid silat kerana wartawan akan datang pada malam itu.

Babak 2
Tuk Wali bersiap-siap untuk pergi ke rumah Haji Kodri. Tuk Wali berpakaian baju Melayu yang lengkap dengan samping dan bersongkok. Tuk Wali membonceng motosikal Ripin untuk ke sana. Sejurus Tuk wali dan Ripin pergi, Imam dan Siak berkunjung ke rumah Tuk Wali. Kedatangan mereka disambut oleh Mak Umi. Mereka mengatakan bahawa mereka mempunyai tujuan yang besar. Siak meluahkan rasa tidak setujunya aktiviti bersilat yang diajar oleh Tuk Wali. Baginya, orang yang sudah berusia tidak sesuai bersilat lagi dan tidak manis dipandang orang. Mak Umi kehairanan dan ingin tahun jika bermain silat di majlis perkahwinan itu salah di sisi agama. Siak mengatakan bahawa masa yang ada perlu diisi dengan beramal di masjid. Mak Umi menyanggah dan mempertahankan suaminya kerana Tuk Wali tidak pernah tertinggal sembahyang berjemaah di masjid malah mengerjakan solat sunat setiap malam lagi. Imam menyatakan kebimbangannya jika Tuk Wali meninggal dunia semasa sedang bersilat di tengah gelanggang. Mak Umi menyatakan pendapatnya bahawa cara dan tempat seseorang itu meninggal dunia ditentukan oleh Tuhan. Baginya, Tuk Wali hanya memenuhi hajat orang untuk memeriahkan majlis dan tidak melanggar adat serta agama. Mak Umi menyuruh Imam dan Siak menasihatkan Tuk Wali sendiri bukannya melalui dirinya. Walau bagaimanapun, Mak Umi mengatakan bahawa dia akan memberitahu perkara itu kepada Tuk Wali.

Babak 3
Tuk Wali meluahkan rasa marahnya terhadap cucu tirinya, Piee yang telah memalukan dirinya di rumah Haji Kodri. Mak Umi meminta Tuk Wali mengubatkan Piee yang menagih dadah. Menurut Tuk Wali, dia dapat mengubatkan Piee, tetapi ibu bapanya perlu memberikan perhatian kepadanya apabila sudah sembuh. Tuk Wali menyuruh Mak Umi menghalau Piee jika datang ke rumah itu lagi. Tuk Wali terlalu marah kepada Piee kerana dia telah mencuri wang tambang Tuk Wali ke Mekah yang berjumlah RM2000.00. Tuk Wali berasa terkilan kerana dia telah menyimpan wang itu sedikit demi sedikit tetapi dicuri dengan mudah sekali. Tuk Wali ingin tahu tujuan kedatangan Imam.

Mak Umi menyatakan Imam dan Siak datang untuk memberikan nasihat seperti yang dipesan oleh mereka kepada Abang Ngah. Tuk Wali mengatakan bahawa dia boleh duduk berzikir di masjid sehingga mati tetapi dia perlu mengubatkan orang yang patah kaki, terseliuh, dan histeria. Dengan perasaan tersinggung dan sedih Tuk Wali mengimbas peranan dirinya ketika muda dahulu. Pada zaman darurat dahulu, semua pemuda di kampung itu menjadi muridnya dan dia dilantik menjadi ketua untuk mengawal kampung. Semua perkara yang dilakukannya pada waktu itu dipandang manis oleh orang kampung. Apabila dia sudah tua apa-apa yang dilakukannya dipandang tidak elok. Tuk Wali memberitahu Mak Umi bahawa dia sengaja dimalukan di majlis itu. Cara berpakaian dan gerak silatnya dipersendakan oleh orang kampung. Dahulu, semua jurus silat Tuk Wali dipuji dan orang penuh sesak di gelanggang untuk melihatnya bersilat. Kini, setiap perbuatannya akan dicemuh, dihina dan diketawakan.

Selain bersilat Tuk Wali mencari akar kayu, mengurut orang yang patah atau terseliuh, sakit yang sudah tidak dapat dirawat oleh doktor, pinang-meminang, tuk mudin, memandikan mayat dan menggali kubur. Tuk Wali tidak pernah meminta upah setiap kali membantu orang. Baginya, adalah tidak adil orang menghina dan menjatuhkan maruahnya hanya kerana dia terus bersilat walaupun sudah tua. Mak Umi mencadangkan anak-anak muridnya yang lain seperti Ripin menggantikan tempatnya untuk bersilat di majlis kahwin. Tuk Wali mengatakan bahawa silat sudah sebati dengan dirinya dan dia tidak boleh duduk diam dengan menjadi penonton sahaja.

Ripin dan Mariam datang ke rumah Tuk Wali membawa barang-barang keperluan untuk adat menerima murid baharu. Tuk Wali mencadangkan Ripin dan Mariam mengambil tempatnya untuk mengajar silat kerana dirinya sudah tua. Walau bagaimanapun, mereka berdua menyatakan bahawa mereka tidak bersedia mengambil tugas tersebut. Ripin dan Mariam merayu agar Tuk Wali terus mengajarkan silat kepada mereka kerana orang yang lebih muda daripada Tuk Wali sibuk dengan hal masing-masing. Tiada orang lagi yang sanggup mengajar mereka seikhlas Tuk Wali. Jika adapun, pasti mereka dikenakan bayaran.

Tuk Wali mengambil sebilah keris di dinding dan menceritakan asal usul keris perguruan mereka tersebut kepada Ripin dan Mariam. Tuk Wali telah menyimpan keris perguruan mereka itu selama 50 tahun dan merasakan bahawa Ripin yang layak untuk menjadi pewaris keris itu. Keris tersebut melambangkan kegagahan pendekar zaman silam yang rela mengorbankan nyawa. Tuk Wali menerangkan bahawa dia tidak merantau untuk mencari harta dan tidak kaya seperti kawan-kawannya yang lain demi mempertahankan seni silat yang dilambangkan oleh keris tersebut. Tuk Wali tetap dengan pendiriannya untuk menyerahkan keris tersebut kepada Ripin walaupun ditolak oleh Ripin berkali-kali.

Dua orang wartawan dari majalah Pejuang, iaitu Halim dan Jamil datang ke rumah Tuk Wali untuk menemu ramahnya. Mereka ingin tahu kisah Tuk Wali menewaskan empat perompak kedai emas. Ripin juga memberitahu bahawa Tuk Wali pernah membunuh komunis semasa mempertahankan kampung itu daripada serangan komunis. Semasa berbual, Piee cucu tiri Tuk Wali yang baru keluar dari pusat pemulihan muncul. Kehadirannya tidak disenangi Tuk Wali. Ripin memberitahu kedua-dua wartawan itu bahawa Piee bekas anak murid Tuk Wali yang handal. Sebelum pulang, Jamil menyatakan rasa bangganya kerana masih ada gelanggang silat yang aktif pada zaman moden ini. Halim pula menyatakan keyakinannya bahawa gabungan Tuk Wali dengan orang muda seperti Ripin dan Mariam akan memastikan kehebatan seni silat ini.

Setelah kedua-dua wartawan itu pulang, Tuk Wali menampar dan memarahi Piee kerana masuk ke dalam biliknya. Piee memberikan alasan bahawa dia hendak menumpang tidur di bilik itu. Tuk Wali yang masih marah ekoran peristiwa wangnya ke Mekah dicuri Piee telah menghalau Piee keluar dari rumahnya.

Empat orang pemuda telah datang ke rumah Tuk Wali. Mereka menyangka Tuk Wali tiada di rumah kerana pergi ke masjid. Sementara menunggu Tuk Wali dan Ripin, salah seorang pemuda bermain gitar. Mereka menyanyi dengan gembira sambil menari-nari. Tiba-tiba Tuk Wali menjerkah dan memarahi mereka yang tidak menghormati harta benda dan hak kawasan orang lain walaupun tuannya tiada di rumah. Salah seorang pemuda telah ditampar oleh Tuk wali kerana bersikap biadap. Mereka menyatakan tujuan mereka ke situ adalah untuk menunggu Ripin. Mereka ingin belajar silat. Tuk Wali menyuruh mereka belajar berbahasa dengan orang tua dahulu sebelum belajar silat dengannya. Apabila Ripin dan Mariam sampai, Tuk Wali mengarahkan mereka berdua menyuruh keempat-empat pemuda itu pulang.


Babak 4
Siak datang ke rumah Tuk Wali dengan cara yang kasar dan terburu-buru. Siak mencabar Tuk Wali agar bersilat dengannya. Siak berasa marah kerana Tuk Wali telah menampar cucunya yang mahu belajar silat. Mereka berlawan dengan menggunakan sundang. Mak Umi meminta pertolongan daripada Ripin untuk meleraikan pergaduhan tersebut. Ripin berjaya melucutkan sundang, mengunci pergerakan Siak dan menyebabkan Siak terjelepok di gelanggang silat. Ripin mencadangkan Tuk Wali dan Siak menyelesaikan masalah dengan cara berunding. Tuk Wali menyatakan bahawa Siak sudah lama berdendam dengannya sejak Tuk Wali berkahwin dengan Mak Umi. Siak sebenarnya bekas tunang Mak Umi. Siak juga telah memfitnah dan menghasut orang masjid supaya memulaukan Tuk Wali. Mak Umi menyuruh Ripin menghantarnya ke rumah Berahim kerana dia tidak mahu melihat pergaduhan antara Tuk Wali dengan Siak. Siak akhirnya meninggalkan rumah Tuk Wali tanpa sepatah kata. Selepas Tuk Wali melepaskan kemarahannya dengan melepaskan penumbuk di awangan, dia pun bersandar di beranda lalu terlena dan bermimpi yang amat indah baginya. Tuk Wali bermimpi gelanggang silatnya dipenuhi oleh anak muridnya yang gagah, hebat dan berketerampilan.

Babak 5
Piee masuk ke rumah Tuk Wali dalam keadaan yang mencurigakan. Piee menghampiri dinding beranda dengan langkah yang perlahan-lahan. Dia mengambil biola dan salah sebilah keris yang tersisip di dinding beranda itu. Walau bagaimanapun,, dia terlanggar sesuatu dan menyebabkan Tuk Wali terjaga. Tuk Wali memarahi Piee yang mengambil biola dan keris pusaka yang menjadi lambang perguruannya. Piee meluahkan rasa kecewanya kerana Tuk Wali telah menjatuhkan maruahnya di depan orang lain. Tuk Wali menyuruh Piee meletakkan keris dan biola di dinding semula. Piee memberitahu bahawa dia boleh mendapat wang beratus-ratus ringgit jika menjual keris itu. Pada pendapatnya, Tuk Wali sudah tidak berdaya lagi untuk menggunakan keris itu. Pergaduhan dan pertikaman antara Tuk wali dengan Piee terjadi. Semasa Tuk Wali ingin mengambil biola yang dijatuhkan Piee, Tuk Wali ditikam oleh Piee. Tikaman itu terkena di perut Tuk Wali. Tuk Wali dapat mengambil keris daripada tangan Piee. Tuk Wali merawat dirinya dan mengikat perutnya yang terluka dengan kain yang ditabur dengan serbuk akar kayu. Tuk Wali melepaskan kemarahannya dengan menikam guni yang berisi pasir. Tuk Wali pergi ke tengah gelanggang sambil memegang perutnya. Kerisnya ditikam di atas tanah. Tuk Wali semakin lemah apabila banyak darah keluar daripada lukanya.

Ripin yang baru sampai ke tengah gelanggang terkejut apabila melihat Tuk Wali yang terbaring berlumuran darah. Ripin mahu menghantar Tuk Wali ke hospital tetapi Tuk wali tidak mahu. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Tuk Wali menyerahkan keris tersebut kepada Ripin. Ripin ingin menuntut bela atas kematian Tuk Wali. Dia menyangka Siak yang membunuh Tuk Wali.

Siak dan Imam sampai ke tengah gelanggang dan melihat Ripin memegang keris manakala Tuk Wali telah terbujur kaku. Imam menyangka bahawa Ripin telah membunuh Tuk Wali. Bagi Siak, tujuan Ripin membunuh Tuk Wali adalah untuk mendapatkan keris pusaka itu. Ripin menuduh Siak membunuh Tuk Wali dan dia ingin membunuh Siak. Imam meminta Ripin menyerahkan keris itu kepadanya untuk diletakkan di masjid kerana pada pendapatnya, Ripin tidak berhak atas keris itu. Ripin bertambah marah apabila Imam dan Siak lebih berminat dengan keris tersebut daripada gelanggang silat yang tidak mempunyai guru lagi.


Mariam dan Mak Umi sampai dan menerpa ke arah mayat Tuk Wali. Mak Umi dan Mariam ingin tahu orang yang membunuh Tuk Wali. Siak dan Ripin saling menuduh antara satu sama lain. Mak Umi menafikan Ripin membunuh Tuk Wali kerana Ripin telah menghantarnya ke rumah Berahim meninggalkan Tuk Wali yang sedang bertikam dengan Siak.

Sumber rujukan : Panitia Bahasa Malaysia

No comments:

Post a Comment