Friday, April 27, 2012

PLOT MELUNAS RINDU

Bermaksud jalinan cerita atau peristiwa dalam sesebuah cereka. Jalinan tersebut berkembang berdasarkan hukum sebab dan akibat. Peristiwa atau cerita itu selalunya dijalin secara kronologi atau tidak secara kronologi. Jika peristiwa dijalin secara kronologi bermaksud peristiwanya disusun mengikut urutan masa. Sementara itu, jika peristiwa tidak dijalin secara kronologi, bermaksud peristiwanya tidak disusun mengikut urutan masa. Biasanya plot sesebuah novel terbahagi kepada dua iaitu binaan plot dan teknik plot.


Permulaan / Eksposisi
Pada peringkat ini pembaca diperkenalkan dengan watak utama novel ini iaitu Fuad. Selain itu pengarang juga memperkenalkan watak-watak sampingan lain seperti Farhana, Pak Ismail, Mak Salmah, dan Cikgu Abas. Perkara ini dibuktikan dalam bahagian-bahagian awal novel ini. Sebagai contohnya, dalam bahagian awal novel ini, pengarang menceritakan Fuad yang lewat pulang pada suatu senja kerana mencari kayu api telah menyebabkan Pak Ismail dan Mak Salmah berasa bimbang. Kita juga mengetahui bahawa Fuad ialah seorang mualaf yang taat akan agama iaitu tidak pernah meninggalkan solat lima waktu dan dia selalu menunaikan solat berjemaah di surau. Dia juga rajin membaca al-Quran dengan bimbingan Pak Ismail. Kita juga mengetahui bahawa Fuad sebenarnya anak angkat kepada Pak Ismail dengan Mak Salmah.

Perkembangan
Dalam bahagian ini, pengarang memaparkan perkembangan cerita iaitu Fuad telah memulakan tugasnya sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia dan dia cuba menyesuaikan diri dan bekerjasama dengan Farhana yang menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris di sekolah itu. Seterusnya pengarang mengembangkan cerita seterusnya dengan menjelaskan hasrat Fuad untuk mencari kubur ibunya. Sebagai contohnya, Fuad menyatakan hasratnya itu kepada Pak Ismail dan Mak Salmah dan mereka berdua tidak menghalangnya. Seterusnya, dia berusaha untuk mencari kubur emaknya itu melalui maklumat daripada Peter Lim dan Swee Lan, bapa dan ibu saudaranya. Akhirnya, Fuad dibantu oleh Pak Said yang menawarkan diri untuk mencari kubur ibunya itu. Hubungan Fuad dengan Farhana pula menjadi semakin rapat pada peringkat ini.

Perumitan
Dalam bahagian ini, Fuad mendapat maklumat daripada Pak Ngah Lias iaitu jiran datuknya iaitu Seman bahawa ibunya tidak meninggal dunia seperti yang disangkanya. Hal ini dibuktikan oleh Pak Ngah Lias bahawa mereka tidak mengetahui maklumat tentang kubur ibunya itu dan mereka juga tiada maklumat tentang kematian ibunya. Pak Samsudin, jiran Mariah iaitu kakak angkat emak Fuad mengatakan bahawa emak Fuad memang bersalin di Kuala Lipis tetapi tidak meninggal dunia. Perkara ini menyebabkan Fuad berasa lebih bersemangat untuk mencari ibu kandungnya. Sementara itu, hubungan Farhana dengan Cikgu Zamani pula menjadi semakin tegang. Hal ini terbukti melalui peristiwa pertengkaran antara mereka berdua akibat kesalahan Cikgu Zamani yang tidak masuk ke kelas semasa kelas lanjutan. Pada bahagian ini juga, ibu Farhana jatuh sakit dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan di Kuantan akibat penyakit lelah. Fuad pergi ke Kuantan dan menemani Farhana yang menjaga ibunya yang sakit di hospital.

Puncak / Klimaks
Pada bahagian ini pengarang menggambarkan kepada kita tentang peristiwa Fuad terpandang nama ibu Farhana semasa dia menemani Farhana menjaga ibunya itu di hospital. Nama ibu Farhana iaitu Mariana binti Osman itu sama dengan nama emak kandungnya. Hal ini menyebabkan dia berasa terkejut dan mengharapkan agar jika ibunya masih hidup, tetapi bukannya emak Farhana. Setelah berbincang dan mendapatkan maklumat yang lebih lanjut daripada Farhana, Fuad akhirnya menerima hakikat bahawa emak Farhana itu juga ialah emak kandungnya. Walau bagaimanapun Farhana agak sukar untuk menerima hakikat bahawa dia dengan Fuad sebenarnya ialah adik-beradik yang berlainan bapa.

Peleraian
Fuad dan Farhana dapat menyesuaikan diri bahawa mereka berdua ialah adik-beradik. Robert Lim, iaitu ayah kandung Fuad juga mengesahkan bahawa Mariana iaitu emak Farhana itu juga ialah emak Fuad, iaitu isteri yang pernah dikahwininya suatu masa dahulu. Farhana juga sudah pulih daripada kejutan kerana mengetahui bahawa dia dengan Fuad ialah adik-beradik kandung. Perasaan sayang sebagai kekasih sebelum itu sudah berubah menjadi perasaan sayang kepada seorang abang kandung. Selain itu, Fuad telah diterima untuk mengikuti kursus KPLI untuk melayakkannya menjadi seorang guru yang terlatih. Seterusnya, Fuad membawa ibunya, Pak Ismail dan Mak Salmah menunaikan umrah dan ayahnya, Robert Lim mengatakan bahawa dia juga akan menyusul kemudian.

No comments:

Post a Comment