Tuesday, May 15, 2012

`dan' dan `serta'

Pengguna bahasa yang keliru tentang penggunaan kata `dan' dan `serta'. Sebenarnya, kedua-dua kata itu tidak dapat bertukar ganti dalam penggunaannnya walaupun kedua-dua kata itu ialah kata hubung gabungan.

Kata `dan' dan `serta'= fungsi dan maknanya berbeza. Kata `dan’ ialah kata hubung gabungan.

Dari segi fungsi, kata ini menghubungkan dua perkataan, frasa atau ayat.
Contoh:
(i) Ibu dan ayah akan ke Mekah pada tahun ini.
(ii) Saya akan mencipta lagu sekolah kita dan menulis liriknya.
(iii) Dalam majlis itu, ada orang yang menyanyi dan ada orang yang menari.

Kata `serta’ ialah kata hubung gabungan juga. Walaupun berfungsi sebagai kata yang menghubungkan kata atau frasa, namun makna yang didukungnya lebih luas daripada kata `dan’. Dengan maksud yang lebih mudah, makna `dan` terkandung dalam kata `serta’. Lihat beberapa makna kata `serta’ seperti yang di bawah ini:

(i) dan juga atau dan:Ayat contoh:
1a. Puan Salmah merupakan guru Bahasa Melayu yang baik serta rajin.
1b.Puan Salmah merupakan guru Bahasa Melayu yang baik dan juga rajin.
1c.Puan Salmah merupakan guru Bahasa Melayu yang baik dan rajin.

(ii) bersama dengan atau dengan:
Ayat contoh:
1a.Puan Nurlina serta 40 orang murid akan melawat ke Langkawi.
1b.Puan Nurlina bersama dengan 40 orang murid akan melawat ke Langkawi.
1c.Puan Nurlina dengan 40 orang murid akan melawat ke Langkawi.

(iii) mengikut bersama sebagai teman atau sebagai pembantu; mengiringi; menemani:
1a. Beberapa orang pegawai telah serta beliau ke persidangan itu.
1b. Beberapa orang pegawai telah mengikut bersama beliau ke persidangan itu.
1c. Beberapa orang pegawai telah mengiringi beliau ke persidangan itu.
1d. Beberapa orang pegawai telah menemani beliau ke persidangan itu.

(iii) ikut atau turut bersama:
Ayat Contoh:
1a. Pada hari tersebut, saya tidak serta kerana saya telah membuat janji temu dengan doktor.
1b. Pada hari tersebut, saya tidak ikut kerana saya telah membuat janji temu dengan doktor.
1c. Pada hari tersebut, saya tidak turut bersama kerana saya telah membuat janji temu dengan doktor.Kesimpulannya, kata `dan’ dan `serta’ berbeza dan segi fungsi dan makna.
Oleh itu, kedua-dua perkataan ini tidak boleh bertukar ganti dengan sewenang-wenangnya. Walaupun kata `dan’ bermaksud serta, namun kebanyakan kata `dan’ tidak boleh digantikan dengan kata `serta’. Tegasnya, kata `serta’ bukan sahaja sebagai kata hubung gabungan, malah kata ini juga berfungsi sebagai kata lain, iaitu kata kerja dan juga kata sendi nama.

Sumber:
Ruangan Soal Jawab Bahasa oleh Munsyi Dewan Majalah Pelita Bahasa, Februari 2009

No comments:

Post a Comment