Sunday, July 11, 2010

STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSURAT

STRATEGI 1:

Baca dan fahamkan petikan rumusan yang diberi sekurang-kurangnya 2 kali,
- Bacaan kali pertama untuk dapatkan gambaran keseluruhan petikan.
(masa dicadangkan 2 minit)
- Bacaan kali kedua untuk dapatkan pemahaman.
(masa dicadangkan 5 minit)

STRATEGI 2:

Tentukan kata tugas dalam soalan (Fokus 1 dan Fokus 2) dan gariskan
perkataan-perkataan tersebut.
Fokus 1 = Isi tersurat
Fokus 2 = Isi tersirat

Sebagai contoh dalam petikan contoh 1 Fokus 1 iaitu faedah-faedah hidup berjiran merupakan fokus untuk isi tersurat manakala Fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat kejiranan pula merupakan fokus untuk isi tersirat.

CONTOH 1

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang
faedah-faedah hidup berjiran [ISI TERSURAT] dan cara-cara memupuk
semangat kejiranan. [ISI TERSIRAT] Panjang rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.

STRATEGI 3:

Baca perenggan 1 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
faedah-faedah hidup berjiran.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemamtapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam (menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni). [ISI 1]

Baca perenggan 2 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
faedah-faedah hidup berjiran.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling (mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana) [ISI 2]. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. (Jiran yang berbeza latar belakang) pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan (memberikan manfaat yang besar kepada kita) [ISI 3]. Hal ini kerana (mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama).[ISI 3-PILIHAN 2] Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu (mampu menjamin keselamatan setempat) [ISI 4] daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

Baca perenggan 3 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
faedah-faedah hidup berjiran.

(Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah) [ISI 5] dengan semangat kerjasama dan keperihatinan seama jiran. (Gejala sosial) seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah (dapat dibendung) [ISI 6] jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya (dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat).[ISI 7] Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.

Baca perenggan 4 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
faedah-faedah hidup berjiran.

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. (Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran). [ISI 8] Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya (memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka). [ISI 9] Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Baca perenggan 5 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
faedah-faedah hidup berjiran.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam (menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara) [ISI 10] Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

STRATEGI 4:

Senaraikan Fokus 1 (isi-isi tersurat) yang terdapat dalam petikan tersebut dan
kira jumlah perkataannya.

Isi-isi Tersurat : faedah-faedah hidup berjiran

- Dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni [ 8 ]
- Mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana. [ 8 ]
- Jiran yang berbeza latar belakang memberikan manfaat yang besar kepada kita. [ 11 ]
Atau
- Dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka [ 8 ]
- Mampu menjamin keselamatan setempat. [ 4 ]
- Dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan
kesejahteraan masyarakat. [ 9 ]
- Gejala sosial dapat dibendung. [4 ]
- Dapat menjana program yang menyumbang kabijakan kepada masyarakat
setempat. [ 9 ]
- Melahirkan perpaduan sesama jiran. [ 4 ]
- Memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan
perkongsian pintar sesama mereka. [ 11 ]
- Menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. [ 6 ]

STRATEGI 5:

Tulis isi-isi tersurat tersebut menjadi sebuah perenggan yang lengkap.

PERINGATAN:
- Maksimum isi untuk fokus 1 ialah 6 isi. Oleh itu anda tidak perlu
memasukkan kesemua isi kerana jumlah perkataan yang agak terhad.
Adalah dicadangkan jumlah perkataan untuk fokus 1 ialah 60 – 65 patah
perkataan.
- Anda perlu menulis kata tugas untuk Fokus 1 dalam ayat pertama
perenggan isi tersurat.

CONTOH:

Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, dapat membendung gejala sosial serta melahirkan perpaduan sesama jiran.
[ 46 patah perkataan ]

B : STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSIRAT

STRATEGI:

- Isi tersirat dibina berdasarkan Fokus 2 soalan. Isi ini tidak terdapat dalam
petikan yang diberikan. Contoh dalam Petikan 1 Fokus 2 ialah: cara-cara
memupuk semangat kejiranan.
- Isi tersirat dibina melalui tafsiran dan analisis yang mendalam berdasarkan
isi tersurat dan Fokus 2 dalam arahan soalan.
- Binalah perenggan isi tersirat dengan memasukkan sekurang-kurangnya 2 isi
tersirat.
- Kata tugas untuk Fokus 2 perlu dimasukkan dalam ayat pertama perenggan
isi tersirat.

STRATEGI 1:

Kenal pasti dan senaraikan isi tersirat berdasarkan fokus 2 iaitu cara-cara
memupuk semangat kejiranan.

CONTOH :

- Mengadakan majlis gotong royong / aktiviti kemasyarakatan / bersedia
memberi pertolongan / tolong menolong [ konsep: bekerjasama ]

- Mengadakan rumah terbuka / majlis keraian / ziarah menziarahi / perihatin
atau ambil berat hal ehwal jiran / bertanya kabar / pelihara hubungan
kejiranan / bertegur sapa / saling mengenali [ konsep : Interaksi tidak formal ]

- Membuat rondaan bersama pada waktu malam / rukun tetangga.

- Mengadakan tabung kebajikan / kursus/ kempen kejiranan / tabung khairat.

- Mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat / tubuhkan sektor rukun
tetangga / persatuan belia / JKKK [ Konsep : Interaksi formal ]

- Mengadakan hari keluarga / sukaneka / riadah / pertandingan

- Mengikis sikap negatif dalam diri individu / jangan mementingkan diri / tidak
sombong / berbaik sangka dengan jiran .

STRATEGI 2:

Membina perenggan isi tersirat.

CONTOH PERENGGAN ISI TERSIRAT

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan.
[ 23 patah perkataan ]

C : STRATEGI MENGHASILKAN PENDAHULUAN RUMUSAN

STRATEGI :

- Fahami maksud keseluruhan petikan yang diberikan.
- Kenal pasti Fokus 1 petikan tersebut kerana berdasarkan Fokus 1 itulah
penfahuluan rumusan karangan dapat kita hasilkan.
- Anda perlu melakukan pengubahsuaian supaya ayat yang anda bina itu
menjadi ayat anda sendiri.
- Tulis pendahuluan rumusan dalam satu ayat sahaja.
- Mulakan ayat pendahuluan dengan ; Petikan membincangkan /
membicarakan …….

CONTOH PENDAHULUAN:

Fokus 1 : Faedah-faedah hidup berjiran

Pendahuluan:

Petikan membincangkan peranan jiran dalam kehidupan bermasyarakat di
negara kita.

atau

Petikan membincangkan kebaikan / kepentingan / kelebihan / manfaat / hidup
berjiran dalam masyarakat

D : STRATEGI MENGHASILKAN KESIMPULAN RUMUSAN

- Kaji semula fokus soalan sama ada Fokus 1 dan Fokus 2.
- Kesimpulan rumusan hendaklah berdasarkan fokus soalan tersebut.
- Kesimpulan merupakan cadangan / harapan anda terhadap fokus tersebut
berserta kesan atau akibat cadangan / harapan tersebut.
- Anda juga perlu menghubungkan antara cadangan / harapan dengan kesan
atau akibat cadangan dengan menggunakan kata hubung, ‘agar, supaya,
demi’.
- Gunakan penanda wacana atau rangkai kata, frasa yang menunjukkan
bahawa ayat tersebut merupakan ayat kesimpulan.
- Contoh : Kesimpulannya, ….Justeru, …

CONTOH KESIMPULAN:

Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang
sejahtera dapat diwujudkan

Atau

Justeru, semua pihak perlu menjalankan tanggung jawab mereka dalam
masyarakat dengan berkesan agar sebuah komuniti yang sejahtera dapat
diwujudkan.

CONTOH PETIKAN RUMUSAN YANG LENGKAP

Petikan membincangkan kebaikan hidup berjiran dalan sesebuah masyarakat.

Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, serta dapat membendung gejala sosial dan melahirkan perpaduan sesama jiran. Hidup berjiran juga dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan.
[ 100 patah perkataan]

No comments:

Post a Comment