Sunday, July 11, 2010

Pantun Jenaka dan Sindiran

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal,
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.

maksud
Isteri yang cantik tidak dianggap sempurna jika dia tahu melakukan kerja-kerja dapur.

Dari Kelang lalu ke Jawa,
Naik sigai ke atas atap,
Ikan kering lagi ketawa,
Mendengar tupai membaca kitab.

maksud
Kitab selalunya dibaca oleh orang yang berpengetahuan. Oleh sebab itu, jika orang yang dianggap tidak berilmu menunjukkan kemahirannya, pihak lain pasti akan ketawa kerana tidak percaya.

Ambil segulung rotan saga,
Suruh diambil mari diurut,
Duduk termenung harimau tua,
Melihat kambing mencabut janggut.

maksud
Orang yang pernah berkuasa tidak akan berbuat apa-apa kepada rakyat biasa apabila kuasanya telah hilang,

Kupu-kupu terbang melintang,
Hinggap menghisap bunga layu,
Hati di dalam menaruh bimbang,
Melihat ikan memanjat kayu.

maksud
Keupayaan seseorang yang biasanya dianggap hanya layak berada di bawah akan menimbulkan kebimbangan kepada orang atasan.

Lebat sungguh padi di paya,
Kayu tumbang tepi pangkalan,
Hairan sekali hati saya,
Burung terbang disambar ikan.

maksud
Apabila orang bawahan mendapat kuasa dan berjaya menjatuhkan orang yang berada di tempat yang tinggi dan berpengaruh, tentulah akan menimbulkan kehairanan pada pandangan umum.

Tema
menyampaikan sindiran untuk memberikan pengajaran kepada kita.

Persoalan
i) Kepentingan membuat kerja-kerja dapur bagi kaum wanita.
ii) Sesuatu yang luar biasa itu akan membawa petanda buruk dan memberi kebimbangan kepada orang yang melihatnya.
iii) kekuasaan yang tidak akan kekal kuasanya.
iv) keupayaan orang yang lazimnya dianggap lemah, tetapi mampu melakukan perkara yang mengagumkan.

Asonasi – Pengulangan huruf vokal (A, E,I,O,U)
Aliterasi – Pengulangan huruf konsonan (selain daripada huruf vokal)
Jeda – Pemberhentian di tengah baris semasa membaca.
Bahasa kiasan / perlambangan – Simbol yang merujuk kepada sesuatu benda atau perkara
Pengulangan kata / Repetisi – Pengulangan perkatan dalam rangkap atau baris yang sama.

Unsur Keindahan
i) Repetisi = Apa guna berkain batik, kalau tidak memakai capal, apalah guna beristeri cantik, kalau tak pandai...
ii) Jeda = Ambil segulung / rotan saga, Suruh diambil / mari diurut, Duduk termenung / harimau tua...
iii) Bahasa kiasan = Apalah guna beristeri cantik, kalau tak pandai menumbuk sambal – menumbuk sambal menggambarkan wanita itu tidak sempurna.
iv) Asonasi = Hairan sekali hati saya. (a)
v) Aliterasi = Ikan kering lagi ketawa (k)

Nilai
i) Nilai nasihat-menasihati – golongan wanita mestilah mahir dalam urusan masak memasak.
ii) Nilai merendah diri. Sesuatu perkara yang bukan dalam bidang kemahiran kita perlulah dirujuk kepada mereka yang lebih arif.
iii) Nilai keyakinan diri – membuktikan kebolehan diri supaya tanggapan negatif orang lain terhadap keupayaan kita dapat dihapuskan.

Pengajaran
i) Kaum wanita hendaklah belajar tentang urusan-urusan di dapur.
ii) Seseorang itu perlulah gigih meningkatkan kemahiran diri agar tidak dipandang rendah.
iii) Janganlah memperoleh kuasa melalui saluran yang salah

No comments:

Post a Comment