Sunday, July 25, 2010

Menukarkan ayat cakap ajuk kepada cakap pindah

“Apa hal cikgu jemput saya?” tanya Aishah sambil menatap wajah Cikgu Tipah.
“Cikgu jemput Aishah ke bilik ni bertujuan murni. Anggaplah pertemuan ini sebagai
seorang kakak dengan adik,” jelas Cikgu Tipah sambil tersenyum manis.
“Maksud cikgu?” Aishah ingin kepastian.
“Saya sebenarnya ingin mendapat penjelasan daripada Aishah kenapa keputusan
ujian bulanan merosot,” kata Cikgu Tipah sambil merenung ke wajah Aishah. [6 markah]

Contoh jawapan;

Aishah menanyakan tujuan Cikgu Tipah menjemputnya. Cikgu Tipah memberitahu
Aishah bahawa dia bertujuan murni menjemput Aishah ke biliknya. Cikgu Tipah
menyatakan bahawa Aishah hendaklah menganggap pertemuan itu sebagai
pertemuan seorang kakak dengan adik. Aishah menanyakan maksud kata – kata
Cikgu Tipah itu. Sambil merenung wajah Aishah, Cikgu Tipah menyatakan bahawa
dia sebenarnya ingin mendapatkan penjelasan daripada Aishah tentang
kemerosotan keputusan ujian bulanannya.(6 markah)

Menukarkan ayat aktif kepada ayat pasif

Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.

(i) Kerana kesuntukan masa, mereka tidak sempat membincangkan perkara lain dalam
mesyuarat semalam.

(ii) Pelajar lelaki itu mengirimkan e-mel kepada gurunya untuk menanyakan masalah
pelajarannya.

(iii) Cikgu Ramlah mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu di sebuah sekolah di luar
bandar. [6 markah]

Contoh jawapan:

(i) Perkara lain tidak sempat dibincangkan oleh mereka dalam mesyuarat semalam
kerana kesuntukan masa.

(ii) E-mel dikirimkan oleh pelajar lelaki itu kepada gurunya untuk menanyakan masalah
pelajarannya.

(iii) Mata pelajaran Bahasa Melayu diajarkan oleh Cikgu Ramlah di sebuah sekolah di
luar bandar.

Tuesday, July 20, 2010

Sajak Harga Remaja

TEMA:-

Harapan dan amanat kepada golongan remaja agar mengisi kehidupan remaja dengan amalan yang sihat. Remaja mestilah mempunyai hala tuju dan matlamat hidup.

PERSOALAN:-

1.Zaman remaja merupakan zaman yang sangat berharga.
2.Remaja harus memanfaatkan usia remaja dengan menuntut ilmu.
3.Remaja mestilah mempunyai pendirian, keberanian dan ketabahan dalam mencari ilmu.
4.Remaja perlu mempunyai hala tuju yang jelas dalam kehidupan mereka.

NILAI:-

1.Tabah = remaja perlu tabah menuntut ilmu.
2.Keberanian = perlu berani berhadapan pelbagai dugaan.
3.Berhati-hati = perlu berhati-hati supaya tidak dikelirukan oleh perasaan cinta pada usia remaja.
4.Bijak = menggunakan peluang ketika remaja yang serba bertenaga.
5.Rasional = mesti rasional dalam apa-apa jua tindakan.

RANGKAP MAKSUD

1.Keadaan kehidupan remaja yang serba muda dan bertenaga serta bebas daripada runtunan masalah.

2.Kehidupan remaja yang perlu memilih sama ada memilih untuk leka bercinta atau berusaha menuntut ilmu.

3.Usia remaja sebenarnya sangat berharga dan tidak boleh dijual beli. Harga usia remaja ialah keteguhan hati, keberanian menempuh cabaran dan kegigihan menuntut ilmu.

4.Remaja perlu memenuhi usianya dengan hala tuju hidup yang jelas dan menjadi insan yang berguna.

Sunday, July 11, 2010

Seloka Emak Si Randang

MAKSUD:
Emak Si Randang yang baik hati sanggup menanakkan nasi kepada orang dagang yang lalu di depan rumahnya. Kerana ketiadaan kayu api, dia telah merobohkan rumahnya untuk mendapatkan kayu api. Disebabkan nasi telah dijamu kepada orang lain, anak sendiri yang kelaparan. Hal ini diibaratkan seperti kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan. Apabila dagang itu pergi, dia kerugian ditambah pula kerana beras habis dan tanaman padi juga tidak menjadi.

TEMA:
Sindiran kepada orang yang suka bertindak tanpa berfikir baik buruknya.

PERSOALAN:
1. Lebih mementing orang daripada diri sendiri.
2. Menghulurkan bantuan sehingga membebankan diri.
3. Bertindak tanpa menggunakan akal yang bijak.
4. Sentiasa bersedia menghadapi kesukaran hidup.

NILAI:
1. Berfikiran rasional
2. Baik budi
3. Bijaksana dalam tindakan
4. Berhati-hati

GAYA BAHASA:
1. Sinkope /singkof > Beras habis padi tak jadi.
2. Asonansi > Anak pulang kelaparan.
3. Aliterasi > Dagang pergi awak terhutang.
4. Anafora > Anak pulang kelaparan, Anak di pangku diletakkan.
5. Hiperbola > Tiada kayu rumah diruntuhkan.

Gurindam 12 Fasal yang keenam

Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.

maksud
Saranan agar mencari rakan yang baik dan boleh memberikan manfaat kepada kita.

Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan setiap seteru.

maksud
Saranan agar mencari guru yang mahir tentang muslihat musuh.

Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.

maksud
Saranan agar memilih isteri yang taat setia akan suami.

Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setiawan.

maksud
Saranan agar memilih kawan yang tahu erti setia kawan.

Pantun Jenaka dan Sindiran

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal,
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.

maksud
Isteri yang cantik tidak dianggap sempurna jika dia tahu melakukan kerja-kerja dapur.

Dari Kelang lalu ke Jawa,
Naik sigai ke atas atap,
Ikan kering lagi ketawa,
Mendengar tupai membaca kitab.

maksud
Kitab selalunya dibaca oleh orang yang berpengetahuan. Oleh sebab itu, jika orang yang dianggap tidak berilmu menunjukkan kemahirannya, pihak lain pasti akan ketawa kerana tidak percaya.

Ambil segulung rotan saga,
Suruh diambil mari diurut,
Duduk termenung harimau tua,
Melihat kambing mencabut janggut.

maksud
Orang yang pernah berkuasa tidak akan berbuat apa-apa kepada rakyat biasa apabila kuasanya telah hilang,

Kupu-kupu terbang melintang,
Hinggap menghisap bunga layu,
Hati di dalam menaruh bimbang,
Melihat ikan memanjat kayu.

maksud
Keupayaan seseorang yang biasanya dianggap hanya layak berada di bawah akan menimbulkan kebimbangan kepada orang atasan.

Lebat sungguh padi di paya,
Kayu tumbang tepi pangkalan,
Hairan sekali hati saya,
Burung terbang disambar ikan.

maksud
Apabila orang bawahan mendapat kuasa dan berjaya menjatuhkan orang yang berada di tempat yang tinggi dan berpengaruh, tentulah akan menimbulkan kehairanan pada pandangan umum.

Tema
menyampaikan sindiran untuk memberikan pengajaran kepada kita.

Persoalan
i) Kepentingan membuat kerja-kerja dapur bagi kaum wanita.
ii) Sesuatu yang luar biasa itu akan membawa petanda buruk dan memberi kebimbangan kepada orang yang melihatnya.
iii) kekuasaan yang tidak akan kekal kuasanya.
iv) keupayaan orang yang lazimnya dianggap lemah, tetapi mampu melakukan perkara yang mengagumkan.

Asonasi – Pengulangan huruf vokal (A, E,I,O,U)
Aliterasi – Pengulangan huruf konsonan (selain daripada huruf vokal)
Jeda – Pemberhentian di tengah baris semasa membaca.
Bahasa kiasan / perlambangan – Simbol yang merujuk kepada sesuatu benda atau perkara
Pengulangan kata / Repetisi – Pengulangan perkatan dalam rangkap atau baris yang sama.

Unsur Keindahan
i) Repetisi = Apa guna berkain batik, kalau tidak memakai capal, apalah guna beristeri cantik, kalau tak pandai...
ii) Jeda = Ambil segulung / rotan saga, Suruh diambil / mari diurut, Duduk termenung / harimau tua...
iii) Bahasa kiasan = Apalah guna beristeri cantik, kalau tak pandai menumbuk sambal – menumbuk sambal menggambarkan wanita itu tidak sempurna.
iv) Asonasi = Hairan sekali hati saya. (a)
v) Aliterasi = Ikan kering lagi ketawa (k)

Nilai
i) Nilai nasihat-menasihati – golongan wanita mestilah mahir dalam urusan masak memasak.
ii) Nilai merendah diri. Sesuatu perkara yang bukan dalam bidang kemahiran kita perlulah dirujuk kepada mereka yang lebih arif.
iii) Nilai keyakinan diri – membuktikan kebolehan diri supaya tanggapan negatif orang lain terhadap keupayaan kita dapat dihapuskan.

Pengajaran
i) Kaum wanita hendaklah belajar tentang urusan-urusan di dapur.
ii) Seseorang itu perlulah gigih meningkatkan kemahiran diri agar tidak dipandang rendah.
iii) Janganlah memperoleh kuasa melalui saluran yang salah

STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSURAT

STRATEGI 1:

Baca dan fahamkan petikan rumusan yang diberi sekurang-kurangnya 2 kali,
- Bacaan kali pertama untuk dapatkan gambaran keseluruhan petikan.
(masa dicadangkan 2 minit)
- Bacaan kali kedua untuk dapatkan pemahaman.
(masa dicadangkan 5 minit)

STRATEGI 2:

Tentukan kata tugas dalam soalan (Fokus 1 dan Fokus 2) dan gariskan
perkataan-perkataan tersebut.
Fokus 1 = Isi tersurat
Fokus 2 = Isi tersirat

Sebagai contoh dalam petikan contoh 1 Fokus 1 iaitu faedah-faedah hidup berjiran merupakan fokus untuk isi tersurat manakala Fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat kejiranan pula merupakan fokus untuk isi tersirat.

CONTOH 1

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang
faedah-faedah hidup berjiran [ISI TERSURAT] dan cara-cara memupuk
semangat kejiranan. [ISI TERSIRAT] Panjang rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.

STRATEGI 3:

Baca perenggan 1 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
faedah-faedah hidup berjiran.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemamtapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam (menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni). [ISI 1]

Baca perenggan 2 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
faedah-faedah hidup berjiran.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling (mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana) [ISI 2]. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. (Jiran yang berbeza latar belakang) pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan (memberikan manfaat yang besar kepada kita) [ISI 3]. Hal ini kerana (mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama).[ISI 3-PILIHAN 2] Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu (mampu menjamin keselamatan setempat) [ISI 4] daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

Baca perenggan 3 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
faedah-faedah hidup berjiran.

(Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah) [ISI 5] dengan semangat kerjasama dan keperihatinan seama jiran. (Gejala sosial) seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah (dapat dibendung) [ISI 6] jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya (dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat).[ISI 7] Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.

Baca perenggan 4 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
faedah-faedah hidup berjiran.

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. (Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran). [ISI 8] Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya (memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka). [ISI 9] Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Baca perenggan 5 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
faedah-faedah hidup berjiran.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam (menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara) [ISI 10] Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

STRATEGI 4:

Senaraikan Fokus 1 (isi-isi tersurat) yang terdapat dalam petikan tersebut dan
kira jumlah perkataannya.

Isi-isi Tersurat : faedah-faedah hidup berjiran

- Dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni [ 8 ]
- Mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana. [ 8 ]
- Jiran yang berbeza latar belakang memberikan manfaat yang besar kepada kita. [ 11 ]
Atau
- Dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka [ 8 ]
- Mampu menjamin keselamatan setempat. [ 4 ]
- Dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan
kesejahteraan masyarakat. [ 9 ]
- Gejala sosial dapat dibendung. [4 ]
- Dapat menjana program yang menyumbang kabijakan kepada masyarakat
setempat. [ 9 ]
- Melahirkan perpaduan sesama jiran. [ 4 ]
- Memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan
perkongsian pintar sesama mereka. [ 11 ]
- Menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. [ 6 ]

STRATEGI 5:

Tulis isi-isi tersurat tersebut menjadi sebuah perenggan yang lengkap.

PERINGATAN:
- Maksimum isi untuk fokus 1 ialah 6 isi. Oleh itu anda tidak perlu
memasukkan kesemua isi kerana jumlah perkataan yang agak terhad.
Adalah dicadangkan jumlah perkataan untuk fokus 1 ialah 60 – 65 patah
perkataan.
- Anda perlu menulis kata tugas untuk Fokus 1 dalam ayat pertama
perenggan isi tersurat.

CONTOH:

Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, dapat membendung gejala sosial serta melahirkan perpaduan sesama jiran.
[ 46 patah perkataan ]

B : STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSIRAT

STRATEGI:

- Isi tersirat dibina berdasarkan Fokus 2 soalan. Isi ini tidak terdapat dalam
petikan yang diberikan. Contoh dalam Petikan 1 Fokus 2 ialah: cara-cara
memupuk semangat kejiranan.
- Isi tersirat dibina melalui tafsiran dan analisis yang mendalam berdasarkan
isi tersurat dan Fokus 2 dalam arahan soalan.
- Binalah perenggan isi tersirat dengan memasukkan sekurang-kurangnya 2 isi
tersirat.
- Kata tugas untuk Fokus 2 perlu dimasukkan dalam ayat pertama perenggan
isi tersirat.

STRATEGI 1:

Kenal pasti dan senaraikan isi tersirat berdasarkan fokus 2 iaitu cara-cara
memupuk semangat kejiranan.

CONTOH :

- Mengadakan majlis gotong royong / aktiviti kemasyarakatan / bersedia
memberi pertolongan / tolong menolong [ konsep: bekerjasama ]

- Mengadakan rumah terbuka / majlis keraian / ziarah menziarahi / perihatin
atau ambil berat hal ehwal jiran / bertanya kabar / pelihara hubungan
kejiranan / bertegur sapa / saling mengenali [ konsep : Interaksi tidak formal ]

- Membuat rondaan bersama pada waktu malam / rukun tetangga.

- Mengadakan tabung kebajikan / kursus/ kempen kejiranan / tabung khairat.

- Mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat / tubuhkan sektor rukun
tetangga / persatuan belia / JKKK [ Konsep : Interaksi formal ]

- Mengadakan hari keluarga / sukaneka / riadah / pertandingan

- Mengikis sikap negatif dalam diri individu / jangan mementingkan diri / tidak
sombong / berbaik sangka dengan jiran .

STRATEGI 2:

Membina perenggan isi tersirat.

CONTOH PERENGGAN ISI TERSIRAT

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan.
[ 23 patah perkataan ]

C : STRATEGI MENGHASILKAN PENDAHULUAN RUMUSAN

STRATEGI :

- Fahami maksud keseluruhan petikan yang diberikan.
- Kenal pasti Fokus 1 petikan tersebut kerana berdasarkan Fokus 1 itulah
penfahuluan rumusan karangan dapat kita hasilkan.
- Anda perlu melakukan pengubahsuaian supaya ayat yang anda bina itu
menjadi ayat anda sendiri.
- Tulis pendahuluan rumusan dalam satu ayat sahaja.
- Mulakan ayat pendahuluan dengan ; Petikan membincangkan /
membicarakan …….

CONTOH PENDAHULUAN:

Fokus 1 : Faedah-faedah hidup berjiran

Pendahuluan:

Petikan membincangkan peranan jiran dalam kehidupan bermasyarakat di
negara kita.

atau

Petikan membincangkan kebaikan / kepentingan / kelebihan / manfaat / hidup
berjiran dalam masyarakat

D : STRATEGI MENGHASILKAN KESIMPULAN RUMUSAN

- Kaji semula fokus soalan sama ada Fokus 1 dan Fokus 2.
- Kesimpulan rumusan hendaklah berdasarkan fokus soalan tersebut.
- Kesimpulan merupakan cadangan / harapan anda terhadap fokus tersebut
berserta kesan atau akibat cadangan / harapan tersebut.
- Anda juga perlu menghubungkan antara cadangan / harapan dengan kesan
atau akibat cadangan dengan menggunakan kata hubung, ‘agar, supaya,
demi’.
- Gunakan penanda wacana atau rangkai kata, frasa yang menunjukkan
bahawa ayat tersebut merupakan ayat kesimpulan.
- Contoh : Kesimpulannya, ….Justeru, …

CONTOH KESIMPULAN:

Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang
sejahtera dapat diwujudkan

Atau

Justeru, semua pihak perlu menjalankan tanggung jawab mereka dalam
masyarakat dengan berkesan agar sebuah komuniti yang sejahtera dapat
diwujudkan.

CONTOH PETIKAN RUMUSAN YANG LENGKAP

Petikan membincangkan kebaikan hidup berjiran dalan sesebuah masyarakat.

Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, serta dapat membendung gejala sosial dan melahirkan perpaduan sesama jiran. Hidup berjiran juga dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan.
[ 100 patah perkataan]

Rumusan ( panduan mudah menjawab soalan rumusan )

Rancang perenggan anda dengan teliti. Pastikan hanya ada EMPAT PERENGGAN sahaja.

1. 10 patah kata untuk pendahuluan.
2. 70 kata untuk isi tersurat.
3. 25 patah kata untuk isi tersirat, dan
4. 15 patah kata untuk kesimpulan.

Pendahuluan, sila semak kata-kata SINONIM untuk faktor, kepentingan, kesan dan sebagainya. Apakah makna perkataan ini? Natijah, kekangan, kemaslahatan, manfaat, gejala, strategi, . Sila cari makna yang tepat daripada kamus dewan.

Contoh:
Petikan membincangkan tentang sebab-sebab(cari sinonim bagi perkataan ini) kewajiban guru di sekolah (Tema soalan kalau boleh jangan diubah).

Mulakan isi tersurat dengan (rujuk soalan, tema soalan, katakanlah faktor)
Salah satu faktor keracunan makanan ialah (isi pertama).
Selain itu, (isi ke-2),
Seterusnya, (isi ketiga),
Seperkara lagi,(isi ke-4),
malahan (isi ke-5).
Di samping itu(isi ke-6) dan
juga, (isi ketujuh).
Justeru bukan penanda wacana.

isi tersurat dah tulis 6 isi, kira jumlah kata. Kalau baru 60, boleh tambah satu isi lagi. Kalau sudah 65 ke atas, semak semula kalau-kalau ada perkataan yang tak perlu untuk dibuang dan boleh tambah satu isi lagi. Kalau tidak, ada teruskan saja ke perenggan seterusnya iaitu menuliskan isi tersirat.

isi tersirat dengan menuliskan kembali soalan untuk isi tersirat.
contohnya usaha-usaha untuk mengatasi keracunan makanan.
Contoh: usaha-usaha untuk mengatasi keracunan makanan ialah (isi 1) dan (isi 2). Kalau belum cukup 25 patah kata, boleh tambah isi. Selain itu, (isi 3).

Kesimpulan hendaklah satu ayat sahaja yang terdiri daripada 2 unsur. Unsur pertama ialah cadangan anda iaitu apa/siapa yang patut melakukan sesuatu. Unsur kedua ialah mengapa cadangan itu patut dilaksanakan/kesan daripada cadangan itu. Contoh: Kesimpulannya, semua pihak harus bekerjasama untuk mengelakkan keracunan makanan (unsur pertama) agar keselamatan awam terjamin. (unsur kedua).

Kira balik jumlah perkataan dan kalau sudah berpuas hati, tuliskan jumlah perkataan yang benar di bawah rumusan anda.

Ingat, di samping itu dikira 2 perkataan. (di dan ke tidak dikira) Nama khas, walau panjang mana sekalipun dikira 1 perkataan dan kata ganda juga 1 perkataan.

KESAN AYAT TIDAK GRAMATIS

Soalan 2 (a), 2(b), 2(c) dan 2(d).

Kesilapan calon ketika menjawab soalan pemahaman.
1. Isi jawaban dalam bentuk nota.
2. Ayat tidak lengkap kerana tiada subjek.

Sebab-sebab berlakunya kesilapan :
1. Pelajar degil dan cuai walaupun telah diberi ingatan.
2. Tidak belajar merancang masa untuk menjawab soalan.
3. Terikut-ikut dengan gaya penulisan dalam buku kerja pelajar.

Kesan kesilapan:
Contoh soalan 2(a)(ii) SPM 2008.

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan penglibatan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Nyatakan bukti-bukti tersebut.KK : Nyatakan.

Jawaban contoh :
-Pembabitan Malaysia bermula pada awal tahun 1980-an.
-Melaksanakan program penghantaran angkasawan pertama ke angkasa lepas
-Pelancaran tiga buah satelit ke angkasa lepas.

Isi betul - 3
Ayat tidak gramatis
Markah : 2
Pelajar hilang 1 markah.

Contoh soalan 2(a)(ii) SPM 2008.

Jawaban contoh :
a. Persediaan dari segi fizikal supaya tubuh badan saya cukup sihat untuk menjalankan tugas sebagai angkasawan.

b. Cari maklumat yang banyak berkaitan bidang angkasa lepas daripada internet, buku ilmiah mahu pun media massa supaya pengetahuan saya cukup mantap dalam bidang ini.

c. Persediaan mental supaya sedia bersaing dan sanggup berkorban demi menjayakan tugas sebagai angkasawan.

Isi betul : 4 ( 2 isi dan 2 huraian )
Ayat tidak gramatisMarkah : 3
Pelajar hilang 1 markah.

Andaian :

Pelajar yang sama biasanya akan mengulangi setiap jawaban dengan cara memberi isi berbentuk nota ringkas. Pelajar mungkin akan kehilangan antara 6 hingga 8 markah untuk soalan 2(a) hingga 2(d) jika diandaikan pelajar ini dapat memberi isi dan huraian yang tepat tetapi ayat tidak gramatis.

Maka :
1. Jawab dalam bentuk ayat yang gramatis.
2. Ayat gramatis mempunyai subjek.
3. Subjek jawaban diperoleh daripada predikat soalan.
4. Gandingkan predikat soalan dengan isi jawaban lengkap.
5. Ayat gramatis boleh terdiri daripada ayat tunggal atau ayat majmuk.

PANDUAN MENJAWAB SOALAN BINA AYAT

1. Boleh bina ayat majmuk.

Pelajar dilarang :

1. Menambah atau menggugurkan imbuhan.
2. Jadikan perkataan diuji sebagai kata nama khas.
3. Jadikan perkataan diuji sebagai peribahasa.
4. Membina ayat yang tidak jelas/ tidak difahami maksud

Contoh soalan dan jawaban:

(i) Suka duka.
Ketika bertugas di kawasan pedalaman itu, saya terpaksa menempuh pelbagai suka duka sebelum saya berjaya membawa kejayaan untuk sekolah dan penduduk di kawasan itu.
( Ayat Majmuk )

(ii) Baik buruk.
Kejadian kesan buruk yang tidak disedari atau tidak dilaporkan akan hanya memberikan gambaran yang tidak tepat tentang baik buruk sesuatu ubat itu.
( Ayat Majmuk )

(iii) Penat lelah
Segala penat lelah beliau terbayar apabila beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan itu.
( Ayat Majmuk )

(iv) Melayari laman web
Pelajar-pelajar digalakkan supaya melayari laman web Kementerian Pngajian Tinggi untuk mendapatkan maklumat tentang kemasukan ke Institsui Pengajian Tinggi Awam (IPTA). ( Ayat Majmuk )

(v) Pembangunan mesra alam
Kerajaan akan memastikan bahawa setiap pemaju perumahan mestilah mengutamakan pembangunan mesra alam untuk mengelakkan pencemaran dan kejadian tanah runtuh yang semakin berleluasa.( Ayat Majmuk )

(vi) Semangat setia kawan
Walaupun kita terpaksa bersaing sesama sendiri untuk merebut jawatan itu, semangat setia kawan dan persahabatan perlulah dipelihara.
( Ayat Majmuk )