Monday, June 28, 2010

Syair Definisi Orang Berakal

Orang berakal sangatlah mulia,
Pakaian anbia dan aulia,
Barang siapa mengikut dia,
Itulah tanda orang bahagia.

Rangkap 1
orang yang berakal/cerdik dianggap mulia oleh masyarakat dan menyamai orang alim. Sesiapa yang menjadi pengikut orang yang berakal akan dapat hidup bahagia.

Kerana ia akalnya tajam
Menjadi kepala bela bermacam,
Jikalau mata melihat kekejaman,
Disebutlah jalannya ia tersunjam.

Rangkap 2
Orang yang berakal akan membela sesiapa sahaja yang dianiayai. Si pelakunya pula akan menerima balasan yang setimpal dengan kekejaman yang telah dilakukannya.

Telek pandangan dengan makrifat, Sangatlah mengasihi tuan dan sahabat,
Tiada mengasihi orang yang jahat,
Takut akhirnya menjadi fazihat.

Rangkap 3
Orang yang berakal mempunyai pandangan yang jauh. Dia akan bersahabat dengan orang yang baik sahaja dan mengetepikan orang yang jahat.

Sebagai lagi tanda berakal,
Perintah syarak tidak menyangkal,
Menjauhkan tamak hendak tawakal,
Ibanya tahu dunia tak kekal.

Rangkap 4
Orang yang berakal akan mengikut hukum-hukum agama. Selain berserah kepada Allah, orang yang berakal juga tidak bersikap tamak haloba kerana dia sedar bahawa dunia ini tidak akan kekal.

Jika ia dikasihi raja,
Tiadalah ia melanja-lanja,
Tiadalah menyombong pada bekerja,
Dengan taulannya bersamaan sahaja.

Rangkap 5
Orang yang berakal tidak mengada-ada walaupun dikasihi oleh pihak atasan. Dia tidak sombong, sebaliknya sentiasa berbaik-baik dengan rakan-rakan.

Apabila raja kasih sangat,
Makin itu, makin ia ingat,
Segala taulannya hatinya dihambat,
Merendahkan diri serta berkhidmat.

Rangkap 6
Jika pihak atasan memberikan perhatian yang lebih kepadanya, orang berakal itu makin berusaha merapatkan hubungan dengan rakan-rakannya, tetap bersikap merendah diri dan makin kuat bekerja.

Demikian lagi dengar olehmu,
Tanda berakal kasihan ilmu,
Suka mentelaah tiadalah jemu,
Mencari kupasan jangan tersemu.

Rangkap 7
Orang yang berakal tidak berasa bosan dalam mengejar ilmu pengetahuan. Dia ingin memahami sesuatu bidang ilmu secara mendalam.

Tema
Sesuatu yang difikirkan adalah berdasarkan akal fikiran.

Persoalan
i) Orang yang terbaik merupakan orang yang berakal.
ii) Orang yang berakal bersimpati terhadap nasih orang yang dizalimi.
iii) Orang yang berakal tidak memihak kepada orang yang jahat.
iv) orang yang berakal taat kepada agama dan tidak sombong.

Unsur Keindahan
i) Inversi – Tiadalah ia melanja-lanja
ii) Asonasi = (e) – merendahkan diri serta berkhidmat. (e = 4 kali)
iii) Aliterasi = (n) sangat mengasihi tuan dan sahabat. (n = 4 kali)

Inversi – Penggunaan ayat-ayat songsang. Contoh: Hati di dalam – sepatutnya di dalam hati.
Asonasi – Pengulangan huruf vokal (A, E,I,O,U)
Aliterasi – Pengulangan huruf konsonan (selain daripada huruf vokal)

Nilai –
i)Berilmu. Contohnya, ilmu yang diperolehi daripada orang yang berilmu dan berakal.

ii) Menegakkan keadilan. Contohnya, seseorang itu tidak rela membiarkan orang lain dianiaya.

iii) Merendah diri. Contohnya, seseorang itu akan sentiasa merendah diri walaupun dipuji dan dikasihi oleh orang lain.

iv) Reda – Sentiasa redah dengan apa yang berlaku.

Pengajaran –
i) Kita hendaklah berani menempuh dugaan hidup.

ii) Ilmu – Setiap orang hendaklah mencari ilmu agar menjadi orang yang berakal.

iii) Menegakkan keadilan - Kita hendaklah menegakkan keadilan apabila melihat orang teraniaya.

iv) Merendah diri – Kita haruslah merendah diri kerana ia adalah sifat yang baik.

v) Janganlah kita mendekati orang jahat.

Sumber rujukan
1. Buku Teks Harga Remaja
2. Encik Asrul

Sunday, June 27, 2010

Prosa Tradisional : Merah Silu

SINOPSIS:-

* Merah Gajah yang berkahwin dengan Puteri Betong telah dikurniakan 2 orang anak iaitu yang sulung ialah Merah Silu dan yang kedua, Merah Hasum.

* Merah Gajah telah melanggar larangan Puteri Betong dengan mencabut sehelai rambut keemasan miliknya menyebabkan mereka terpaksa berpisah. (Puteri Betong telah ghaib)

* Raja Muhammad amat marah apabila mendapat tahu bahawa anaknya hilang dan mengerahkan askarnya membunuh Merah Gajah.

* Raja Ahmad dengan askarnya menyerang Raja Muhammad apabila mengetahui anaknya Merah Gajah telah dibunuh.

* Merah Silu dan Merah Hasum lari meninggalkan negeri Semerlanga ke Beruana dan membuka perkampungan baru di sebelah-menyebelah sungai.

* Merah Silu memasang bubu setelah melihat ikan yang banyak di sungai tetapi apabila keesokan harinya, didapati bubunya penuh dengan cacing gegelang.

* Merah Silu merebusnya dan cacing itu bertukar menjadi emas, buihnya menjadi perak. Baginda menjadi kaya raya.

* Akibat orang tidak menyukainya (kerana suka bermain dengan haiwan yang tidak berguna), Merah Silu pun berpindah dengan membawa segala harta dan kerbaunya ke hulu Sungai Pasangan, kemudian ke hulu Karang. Malangnya habis tanaman orang dimakan kerbaunya. Merah Silu terpaksa berpindah lagi.

* Merah Silu ke hulu Semenda dan tiba di negeri Buluh Telang.

* Megat Iskandar melayannya dengan baik dan memintanya tinggal di situ kerana terdapat padang yang luas untuk kerbaunya mendapatkan makanan.

* Megat Iskandar tetap hendak merajakan Merah Silu kerana dia disukai rakyat walaupun mendapat tentangan orang besar-besar termasuklah Tun Aria Benong.

* Sultan Maliku’l-Nasar iaitu adik Megat Iskandar datang ke Rimba Jerun lalu berperang dengan Merah Silu tetapi tewas.

* Merah Silu pun dirajakan oleh Megat Iskandar di Rimba jerun.

TEMA:-

* Perjalanan hidup Merah Silu sejak lahir sehingga menjadi raja di Rimba Jerun.

PERSOALAN:-

* Kehilangan ibu dan ayah menyebabkan anak-anaknya mengembara.
* Persengketaan terjadi akibat perasaan dendam dan marah.
* Kejadian aneh yang berlaku menunjukkan watak utama memiliki kehebatan dan
keistimewaan.
* Pembukaan sesebuah negeri dimulakan oleh golongan bangsawan.
* Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun.


Sumber rujukan :
1. Buku teks Harga Remaja
2. Encik Azsmis

Wednesday, June 23, 2010

Panduan penulisan pengenalan karangan rumusan Bahasa Melayu.

Contoh pengenalan rumusan

Petikan menyatakan punca-punca berlakunya perlumbaan motorsikal haram dalam kalangan remaja.

Jawapan pengenalan rumusan, terdapat EMPAT perkara yang perlu ada.

Pertama
1. Petikan menyatakan

Huraian
Bahagian ini perlu ada dalam setiap jawapan pengenalan. Contoh
-Petikan ini tentang ……..
-Petikan ini membicarakan …………
-Petikan memperkatakan ……. dan sebagainya.

Latihan 1

Kedua
2. punca-punca

Huraian
Dalam format pengenalan. Pelajar dikehendaki menggunakan perkataan yang SINONIM dengan unsur atau kata kunci isi tersurat yang terdapat dalam soalan. Contoh kata-kata kunci;
-faktor ditukar kepada punca/sebab
-masalah ditukar kepada halangan
-peranan ditukar kepada tanggungjawab
-peranan ditukar kepada kewajipan
-usaha-usaha ditukar kepada langkah/cara/strategi/

Ketiga
3. berlakunya perlumbaan motorsikal haram

Huraian
Bahagian ini merupakan TEMA soalan yang terdapat dalam soalan rumusan. Bahagian WAJIB ditulis dalam jawapan pengenalan.

Keempat
4. dalam kalangan remaja.

Huraian
Bahagian ini perlu ditulis berdasarkan kandungan petikan. Namum, bukan semua pengenalan rumusan yang memerlukan bahagian ini.

Latihan 1 Rumusan BM

Soalan 1
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang peranan guru di sekolah dan cara-cara untuk membalas jasa guru.

Jawapan

Petikan membincangkan tentang kewajipan/tanggungjawab guru di sekolah.

(Sinonim bagi perkataan peranan ialah kewajipan atau tanggungjawab (kosa kata)

Soalan 2
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang usaha-usaha untuk menyebarluaskan bahasa Melayu dan kekangan-kekangan yang mungkin dihadapi.

Jawapan

Petikan menjelaskan tentang ikhtiar untuk menyebarluaskan bahasa Melayu.

(Sinonim bagi perkataan usaha-usaha ialah daya upaya, ikhtiar, kegiatan, perbuatan, tenggang)

Soalan 3
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang gejala chikungunya dan usaha-usaha yang perlu diambil untuk menanganinya.

Jawapan

Petikan ini membicarakan tentang gelagat chikungunya.

(Sinonim bagi perkataan gejala ialah tanda-tanda, petanda, pertanda, gelagat, alamat, isyarat)

Soalan 4
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang langkah-langkah untuk menghadapi kesan kenaikan harga barang dan punca-punca berlakunya inflasi.

Jawapan

Petikan memperkatakan tentang tindakan untuk menghadapi kesan kenaikan harga barang.

(Sinonim bagi perkataan langkah-langkah ialah tindakan, perbuatan, ikhtiar, usaha, jalan, cara )

Semoga panduan ini dapat membantu para pelajar. Sekiranya ada apa-apa cadangan sila kemukakan kepada saya untuk diperbaiki. Terima kasih

Saturday, June 19, 2010

Peribahasa SPM

Peribahasa yang wajib diketahui pelajar Bahasa Melayu SPM

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Dengan adanya kerjasama dalam masyarakat, keadaan masyarakat itu akan menjadi kuat dan sebarang pekerjaan dapat dilaksanakan dengan mudah.

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.
Susah dan senang harus ditanggung bersama-sama.

Darah daging.
Anak yang ada pertalian darah dengan ibu atau bapanya. Adat atau sesuatu kelaziman pada sesuatu kaum ataupun seseorang.

Seperti lembu dicucuk hidung.
Orang bodoh yang mengikut perintah sahaja.

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Generasi pelapis yang akan memikul tanggungjawab terhadap negara pada masa depan dan masing-masing mempunyai peranan yang sama penting.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.
Seimbang dari segi kedudukan dan sama tarafnya.

Jika melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Jika hendak mendidik anak hendaklah bermula sejak kecil lagi.

Tinggi gunung, tinggi lagi harapan kami.
Hajat atau harapan yang begitu besar.

Genggam bara api biar sampai jadi arang.
Apabila melakukan sesuatu pekerjaan, hendaklah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan diusahakan sehingga berjaya.

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air.
Sesuatu keputusan bergantung pada diri sendiri untuk melakukannya.

Tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.
Sesuatu yang sentiasa dikenang atau diingati dan sukar untuk dilupakan.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Setiap keinginan tentu ada cara untuk mencapainya.

Lintah darat.
Peminjam wang yang mengenakan faedah yang tinggi pada peminjam.

Jauh perjalanan luas pengalaman;
banyak berjalan luas pengalaman.
Semakin banyak pengalaman baru yang diperoleh jika kita pergi ke tempat orang.

Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.
Sikap bersatu padu yang mementingkan semangat tolong-menolong antara satu sama lain.

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni.
Susah dan senang harus ditanggung bersama-sama

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Jika ada perpaduan, rakyat akan menjadi kuat, dan kalau berpecah belah, negara akan hancur.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
Sikap bersatu padu yang mementingkan semangat tolong-menolong antara satu sama lain.

Seperti kacang lupakan kulit.
Orang yang tidak tahu mengenang budi.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Susah dan senang harus ditanggung bersama-sama.

Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung.
Perlu mengikut adat dan kepercayaan tempat kita berada pada masa itu.

Masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak.
Walau di mana sekalipun kita berada, kita hendaklah mengikut cara hidup masyarakat di mana kita menetap kerana setiap masyarakat mempunyai adat resam serta cara hidup mereka yang tertentu.

Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua.
Orang yang bermuafakat akan tetap setia antara satu dengan yang lain (jika seorang mendapat kesusahan, yang lain turut sama merasakannya.

Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang.
Seseorang itu perlu berusaha untuk memperoleh sesuatu.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Kalaulah kita hendakkan sesuatu kejayaan atau kesenangan, kita hendaklah sanggup menempuh kesusahan dan juga bekerja dengan cara yang bersungguh-sungguh.

Rajin dan usaha tangga kejayaan.
Kejayaan akan dicapai jika disertai dengan usaha dan kerajinan.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.
Sikap berjimat-cermat akan membolehkan seseorang itu menjadi kaya-raya.

Bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Sesuatu perkara yang terlalu banyak pada satu-satu masa.

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Bersusah payah terlebih dahulu supaya dapat mengecap kesenangan pada masa akan datang..

Sediakan payung sebelum hujan.
Hendaklah bersiap sedia dan beringat-ingat sebelum mendapat kesusahan.

Memerah otak.
Memikirkan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh.

Genggam bara api, biarlah sampai jadi arang.
Melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya.

Bagai aur dengan tebing.
Saling membantu antara satu sama lain.

Mencari jalan.
Mencari ikhtiar untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Biar mati anak, jangan mati adat.
Sikap menghormati dan sayangkan adat tradisi itu lebih daripada menghormati dan menyayangi anak sendiri.

Sumber rujukan :
Buku teks Bahasa Melayu Tingkatan Empat dan Lima
Encik Mohd. Khir Kassim

Thursday, June 17, 2010

Panduan Menjawab Karangan Kertas Satu Bahasa B (Bahasa Melayu SPM)

Bahagian (b)

Karangan Umum (100 markah)

Bahagian ini akan mengemukakan 5 soalan karangan yang berdasarkan 3 bidang kemahiran iaitu intrapersonal atau interpersonal, maklumat dan estetik. Berdasarkan trend soalan semasa, soalan yang keempat biasanya merujuk kepada isu serantau atau antarabangsa. Sementara itu soalan yang kelima pula berdasarkan bidang estetik. Pelajar dikehendaki menulis sebuah karangan yang panjangnya hendaklah melebihi 350 perkataan berdasarkan 5 soalan yang dikemukakan.
Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
1. Membaca semua soalan
2. Membuat pemilihan dan perancangan
3. Menulis karangan
4. Membuat semakan

Membaca Semua Soalan (5 minit)
i. Baca semua soalan yang dikemukakan dan buat pilihan yang tepat berdasarkan
pengetahuan pelajar tentang soalan tersebut.

Membuat Perancangan (10 minit)
i. Pelajar perlu membaca soalan yang dipilih itu dengan teliti sekali lagi.
ii. Pelajar perlu memahami dan menentukan kehendak soalan serta formatnya.
iii. Pelajar perlu memikirkan dan menyenaraikan isi atau maklumat yang berkaitan dengan isu atau maklumat yang berkaitan dengan isu atau perkara yang hendak ditulis.
iv. Pelajar perlu menyediakan isi yang sesuai iaitu lima atau enam isi yang benar-benar relevan dan benar-benar diketahui oleh pelajar.
v. Pelajar perlu mencatatkan maklumat sokongan, misalnya statistik, contoh-contoh yang relevan daripada isu-isu semasa, pendapat tokoh yang berwibawa, peribahasa dan maklumat-maklumat sokongan yang lain yang sesuai dan berkaitan dengan isi yang hendak ditulis.

Menulis Karangan (65 minit)
i. Pelajar perlu menulis satu perenggan pendahuluan karangan berserta huraiannya.
ii. Pelajar perlu menulis isi (lima atau enam isi) berserta huraiannya.
iii. Pelajar perlu menulis penutup atau kesimpulan karangan.

Catatan:
• Pelajar perlu ingat bahawa setiap isi karangan hendaklah ditulis dalam perenggan yang berlainan (satu isi, satu perenggan).
• Setiap isi dalam perenggan tidak seharusnya dihuraikan terlalu panjang (meleret-leret) dan tidak pula terlalu ringkas dan pastikan setiap perenggan seimbang.

Membuat Semakan (10 minit)

i. Ayat
(a) Tiada ayat tergantung.
(b) Tiada ayat yang terlalu panjang sehingga maksudnya kabur.
(c) Ayat perlulah gramatis iaitu mengikut sistem bahasa yang betul.

ii. Istilah
(a) Gunakan istilah atau perkataan yang sesuai
(b) Gunakan imbuhan yang sesuai
(c) Sistem ejaan mestilah betul.

iii. Tanda Bacaan
(a) Gunakan tanda bacaan yang sesuai.

Sumber Rujukan Guru Pakar Bahasa Melayu
Encik Mohd. Khir Kassim

Panduan Menjawab Karangan Kertas Satu Bahasa A (Bahasa Melayu SPM)

Kertas 1 : Karangan [130 markah]

(a) Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan (30 markah)

Soalan bahagian ini akan memaparkan bahan rangsangan iaitu berbentuk grafik sebagai panduan kepada pelajar untuk menulis karangan. Bahan rangsangan tersebut mungkin berbentuk gambar tunggal, gambar bersiri, ilustrasi, carta, jadual, graf, peta, dialog dan sebagainya. Pelajar dikehendaki menulis karangan berdasarkan bahan rangsangan tersebut yang panjangnya antara 200 hingga 250 patah perkataan berdasarkan tema atau tajuk yang diberikan.
Untuk menghasilkan karangan berpandu yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:

Membuat penelitian
Membuat perancangan
Menulis karangan
Membuat semakan

1. Membuat Penelitian (5 minit)

i. Pelajar perlu meneliti bahan rangsangan yang dikemukakan.
ii. Pelajar perlu memahami dan menentukan perkara yang dikehendaki berdasarkan bahan rangsangan yang dikemukakan.

2. Membuat Perancangan (5 minit)

i. Pelajar perlu memikirkan serta menyenaraikan isi-isi yang berkaitan dengan bahan rangsangan tersebut.
ii. Pelajar perlu menyediakan sekurang-kurangnya 3 isi yang utama berdasarkan bahan rangsangan tersebut.
iii. Pelajar perlu menghuraikan perkara-perkara yang tersirat di samping perkara yang tersurat pada bahan rangsangan.

3. Menulis Karangan Berpandu (30 minit)

i. Pelajar perlu menulis perenggan pendahuluan.
ii. Pelajar perlu menulis isi (sekurang-kurangnya 3 isi) dan menghuraikan atau mengembangkannya.
iii. Pelajar perlu menulis menutup atau kesimpulan karangan berpandu.

4. Membuat semakan (5 minit)

i. Jumlah Perkataan – pastikan jumlah perkataan karangan berpandu ini dipatuhi. Jangan tulis melehihi had yang telah ditetapkan iaitu 200 hingga 250 perkataan.

ii. Ayat
(a) Tiada ayat yang tergantung.
(b) Tiada ayat yang terlalu panjang sehingga boleh menyebabkan maksudnya kabur.
(c) Tiada ayat yang salah tatabahasanya.

iii. Istilah
(a) Gunakan istilah atau perkataan yang sesuai
(b) Gunakan imbuhan yang sesuai
(c) Gunakan sistem ejaan yang betul

iii. Tanda Bacaan
(a) Gunakan tanda bacaan yang sesuai.

Sumber Rujukan Guru Pakar Bahasa Melayu
Encik Mohd. Khir Kassim