Thursday, April 22, 2010

PANDUAN MENULIS RUMUSAN BERKESAN

B. MENULIS ISI TERSURAT:

1. Isi jawapan berdasarkan kunci kata soalan yang pertama. (gunakan kunci kata dalam soalan. Jangan ubah)
2. Isi hanya yang terdapat dalam petikan sahaja.
3. Beri maksimum 6 isi. (Jumlah isi tersurat dan tersirat ialah 8 isi)
4. Jika kurang isi tersurat, jangan panik. Tambah isi tersirat anda.
5. Jika jumlah perkataan masih kurang 120 perkataan, anda digalakkan tambah isi tersurat.
6. Pastikan maksimum 2 isi dalam satu ayat. SEBAIK-BAIKNYA 1 isi dalam I ayat.
7. Gunakan penanda wacana untuk menggabungkan setiap ayat.

8. Contoh penggunaan ayat:
Contoh 1: Rumusan yang baik.(Katakanlah faktor banjir kilat)
-Faktor utama yang menyebabkan banjir kilat ialah keadaan longkang yang tersumbat.
-Selain itu, faktor yang lain termasuklah kurangnya kadar serapan air di kawasan bandar.
-Sementara itu, hujan lebat yang berterusan juga turut menjadi faktor fenomena tersebut.
-Terdapat juga faktor kurangnya sistem perangkap sampah di kawasan sungai berhampiran.
-Di samping itu, kekurangan tumbuhan di bandar menyebabkan banjir kilat terjadi.
-Faktor penyebab yang terakhir ialah hakisan tanah yang dihasilkan oleh pembinaan di Bandar.

Contoh 2 : Rumusan kurang baik. (akan ditolak 1 markah bahasa)
-Faktor pertama yang menyebabkan banjir kilat ialah keadaan longkang yang sempit.
-Faktor kedua ialah kurangnya kadar serapan di kawasan bandar.
-Faktor ketiga ialah hujan lebat yang berterusan di bandar.
-Faktor keempat ialah kekurangan tumbuhan di bandar.
-Faktor terakhir ialah hakisan tanah dari kawasan pembinaan.

9. JANGAN gunakan perkataan ‘harus/ patut/ mesti/ wajib/ hendaklah/ wajarlah’ dan lain-lain yang berbentuk cadangan. (Tiada markah diberi jika perkataan ini digunakan)
Salah : Langkah mengatasinya ialah kerajaan harus menguatkuasakankan undang-undang.
Sepatutnya : Langkah mengatasinya ialah kerajaan menguatkuasakan undang-undang.

Salah : Selain itu, kerajaan harus mengenakan denda yang tinggi kepada pesalah trafik.
Sepatutnya : Selain itu kerajaan mengenakan denda yang tinggi kepada pesalah trafik.

10. Contoh :
Contoh 1 :Rumuskan faktor kemalangan jalan raya dan langkah mengatasinya.

"Kemalangan jalan raya kerap berlaku di lebuh raya. Hal ini telah banyak menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Kejadian seperti ini perlu dibendung dan sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba harus disekat. "

Isi tersurat :
-Faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba.

Contoh 2 : Rumuskan kesan-kesan kemajuan teknologi kepada negara dan masalah yang dihadapi.

"Banyak kemajuan tercapai apabila manusia memperkenalkan sains dan teknologi. Pelbagai jenis ciptaan turut dihasilkan sehingga menyebabkan tugas yang dilaksanakan oleh orang ramai menjadi lebih mudah."

Isi tersurat :
- Selain itu, kesan kemajuan teknologi kepada negara ialah tugas yang dijalankan oleh orang ramai menjadi lebih mudah.

Contoh 3 : Rumuskan ciri-ciri tanaman kontan di negara kita dan kepentingannya.

"Antara tanaman kontan tersebut termasuklah getah dan kelapa sawit. Tanaman ini banyak ditanam di sini kerana tanah lateritnya yang subur. Hasil tanaman ini adalah digunakan untuk jualan yang memberi keuntungan kepada negara."

Isi tersurat :
- Ciri-ciri pertanian kontan yang lain termasuklah digunakan sebagai jualan bagi memberi keuntungan kepada negara.

Contoh 4 : Rumuskan kesan negatif kafe siber dalam kalangan remaja dan langkah mengatasinya.

"Umum mengetahui perkembangan kafe siber begitu pesat sehingga seperti cendawan tumbuh. Banyak pihak berpendapat bahawa perkembangan ini amat wajar bagi meningkatkan kemajuan IT dalam kalangan penduduk. Namun segelintir kecil menentangnya dengan alasan bahawa tempat ini akan menjadi tempat berkembangnya gejala sosial dalam kalangan remaja. "

Isi tersurat :
- Kesan negatif yang terakhir ialah kafe siber akan menjadi tempat berkembangnya masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

No comments:

Post a Comment