Tuesday, September 08, 2009

Penulisan rumusan petikan umum Bahasa Malaysia SPM

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah pengurusan masa yang berkesan dan kesan-kesannya dalam kehidupan seseorang pelajar. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan masa yang berkesan? Pengurusan masa bermaksud pembahagian masa dengan betul supaya aktiviti harian seseorang dapat dijalankan dengan baik dan tidak terganggu atau boleh dimaksudkan sebagai pembahagian masa yang cekap. Dewasa ini, kita sering mendengar berita tentang pelajar yang terjerumus ke dalam kancah kemaksiatan ataupun penyalahgunaan dadah. Mengapakah hal ini boleh berlaku dalam kalangan pelajar? Hal ini berlaku disebabkan pelajar itu mudah terpengaruh oleh anasir-anasir buruk. Pelajar yang terlibat dalam kegiatan ini tidak dapat mengurus masa dengan cekap. Justeru, mereka sering membuang masa dengan sia-sia sahaja. Oleh itu, pengurusan masa amat penting dalam kehidupan seseorang pelajar.

Langkah pertama untuk mengendalikan masa secara berkesan ialah pelajar digalakkan menyediakan jadual waktu belajar masing-masing. Namun begitu, terdapat juga pelajar yang menyediakan jadual waktu belajar persendirian tetapi tidak mengikutnya. Jadual waktu belajar dapat membantu pelajar mengurus masa dengan berkesan supaya mereka memanfaatkan masa untuk mengulang kaji pelajaran secara menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Hal ini dapat mengelakkan pelajar daripada kesuntukan masa untuk mengulang kaji pelajaran apabila peperiksaan sudah hampir. Pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada mereka yang membuat persediaan awal. Bagi pelajar yang tidak membuat persediaan awal kerana sibuk membuang masa tentulah tidak dapat menghabiskan semua tajuk sebelum peperiksaan. Justeru, pengurusan masa yang cekap memandu pelajar untuk membuat persediaan awal bagi menghadapi peperiksaan.

Di samping itu, masa yang terluang hendaklah digunakan untuk aktiviti yang berfaedah dan tidak membiarkan masa itu berlalu begitu sahaja. seperti yang kita ketahui bahawa masa itu amat berharga dan sedar masa yang terbuang tidak akan dapat dikembalikan semula, bak kata pepatah "masa itu emas". Seandainya pelajar mengurus masa dengan lebih cekap, masa yang terluang boleh digunakan untuk melakukan kerja-kerja yang berfaedah seperti membaca majalah ilmiah. Pelajar bukan sahaja dapat menggunakan masa dengan berfaedah, tetapi juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan.

Peruntukkan juga masa untuk aktiviti sampingan seperti berenang, bersenam, bermain, bersiar-siar, menonton televisyen, mendengar radio, beribadat, tidur, dan sebagainya. Melalui cara ini, pelajar dapat memanfaatkan masa dengan keluarga tersayang bagi memupuk sikap kasih sayang dan mengeratkan hubungan sesama keluarga. Pelajar sering digalakkan menjalankan kegiatan riadah supaya mempunyai badan yang sihat dan otak yang cerdas.

Pengurusan masa yang berkesan juga dapat menanam sikap bertanggungjawab dan berupaya mendisiplinkan diri sendiri. Pelajar berpeluang berdikari dalam mengurus masa. Melalui cara ini, pelajar dapat mengamalkan hidup yang berdisiplin dan bermakna. Para pelajar juga dinasihatkan supaya menggunakan masa pada cuti sekolah dengan berfaedah. Masa senggang ini patut digunakan oleh pelajar untuk membaiki kelemahan diri dalam pelajaran. Hal ini boleh dilakukan dengan membuat latihan, mencari maklumat di perpustakaan, dan menghadiri kelas tambahan. Selain itu, masa cuti sekolah bertujuan untuk memberi pelajar peluang untuk menenangkan fikiran setelah bertungkus-lumus sepanjang tahun. Para pelajar boleh membuat kebajikan atau mencari kerja sambilan untuk mendapatkan kemahiran dan wang. Wang yang diperoleh dapat menampung perbelanjaan sekolah.

Kesimpulannya, sebagai pelajar, kita bukan sahaja perlu berjaya dalam pelajaran tetapi juga perlu berjaya dalam bidang sukan, aktiviti kokurikulum, dan agama. Oleh itu, kita perlu mengurus masa dengan betul supaya aktiviti harian dapat dijalankan dengan berkesan seterusnya melahirkan modal insan yang bermoral selaras dengan Wawasan 2020. Akhirnya, ingin ditegaskan bahawa pelajar yang pandai mengurus masa biasanya akan berjaya dalam kehidupan. Mereka juga berani menghadapi cabaran dan rintangan hidup. Hal ini akan menjamin kehidupan yang bahagia pada masa hadapan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada "Pengurusan Masa yang Berkesan", Sham al-Johori, Minda Pelajar, Januari 2008)

1. Kancah = Kawah, gelanggang, medan.
2. Anasir = Segala yang terdapat di dunia, makhluk, unsur, faktor, bahagian
daripada suatu keseluruhan.
3. Senggang = Tidak sibuk, lapang, terluang
4. Riadah = Segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan
badan dan fikiran, rekreasi.

Pemahaman Umum

Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

i) Nyatakan maksud rangkai kata sibuk membuang masa. ( 2 markah )

ii)Berikan tiga faedah sekiranya pelajar itu bijak mengendalikan masa. ( 3 markah )

iii) Bersetujukah anda dengan pendapat bahawa pengurusan masa yang baik dapat membantu kecemerlangan seseorangan pelajar ? ( 4 markah )

No comments:

Post a Comment