Thursday, September 03, 2009

Latihan rumusan SPM

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh sektor perubatan awam di Malaysia dan langkah mengatasinya. Panjang rumusan hendaklah tidak welebihi 120 patah perkataan.


Pertumbuhan pesat pusat-pusat perubatan swasta di negara ini telah mewujudkan fenomena penghijrahan kakitangan perubatan dan kesihatan dari sektor awam ke sektor swasta. Penghijrahan ini bukan sahaja melibatkan doktor dan doktor pakar, malah turut melibatkan jururawat dan juruteknik. Keadaan yang berlaku ini sudah tentu menimbulkan masalah kekurangan tenaga kerja di hospital kerajaan. Penghijrahan ini menjejaskan mutu perkhidmatan kesihatan untuk rakyat, terutama yang berpendapatan rendah dan tidak mampu mendapatkan perkhidmatan di pusat perubatan swasta.

Jika kita tinjau hospital-hospital di luar bandar khususnya, bilangan doktor di sini tidak cukup dan tidak dapat memenuhi keperluan orang ramai. Fenomena tidak cukup doktor nampaknya sudah berlarutan sejak sekian lama walaupun setiap tahun ribuan doktor telah lulus dari pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), sebelum tahun 1980, kira-kira 45 peratus doktor berkhidmat dalam sektor swasta. Namun, apabila kerajaan menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam perkhidmatan perubatan dan kesihatan pada tahun tersebut, jumlah doktor yang berhijrah semakin meningkat. Antara tahun 1983 hingga tahun 1997, bilangan hospital swasta, wad ibu bersalin, dan pusat latihan kejururawatan bertambah daripada 119 buah kepada 216 buah. Kebanyakan pusat rawatan ini hanya terdapat di bandar besar dan menyediakan perkhidmatan untuk penjagaan sekunder dan tertian. Pada pertengahan tahun 1990-an pula, terdapat 55 peratus doktor yang berdaftar telah berkhidmat dalam sektor swasta. Universiti Sains Malaysia telah kehilangan 19 orang tenaga pengajar Fakulti Perubatan pada tahun 1988. Pada tahun itu juga kekurangan tenaga dan kualiti tenaga pengajar turut menjadi isu.

Persatuan Perubatan Malaysia menganggarkan bahawa terdapat kira-kira 30 peratus jawatan doktor di hospital awam yang masih belum diisi. Selain itu, terdapat juga kekurangan kakitangan dalam paramedik.

Perkembangan pesat pusat perubatan swasta telah menggalakkan perpindahan doktor kanan dan doktor pakar dari hospital kerajaan. Perpindahan ini disebabkan oleh hasrat mereka untuk mendapatkan gaji yang lebih baik dalam sektor swasta. Keadaan ini menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan sumber tenaga manusia dalam sektor perubatan awam. Perpinclahan doktor kanan dan doktor pakar ini turut menjejaskan latihan untuk bakal doktor pakar clan menjejaskan perkhidmatan perubatan yang kebanyakannya dilaksanakan oleh doktor dalam perkhidmatan awam.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada "Faktor Penghijrahan Doktor Kerajaan ke Sektor Swasta", Dewan Masyarakat, Oktober 2001)

No comments:

Post a Comment