Tuesday, September 01, 2009

3. Pemahaman Petikan PMR

Aktiviti industri hiburan tanah air mengalami kemerosotan mendadak sebagai kesan daripada aktiviti cetak rompak. Antara barangan cetak rompak yang terlaris di negara ini ialah cakera padat (CD), cakera padat video (VCD), dan cakera video digital (DVD). Fenomena ini dapat dilihat melalui penjualan CD, VCD, clan DVD cetak rompak yang berlaku dengan leluasa di pasar¬pasar malam dan pasar-pasar raya serta di kaki-kaki lima.

Aktiviti cetak rompak telah menyebabkan pendapatan keseluruhan industri hiburan di negara ini merosot. Sebagai contohnya, pendapatan keseluruhan industri hiburan pada tahun 1996 adalah RM80 juta tetapi pendapatan ini telah merosot kepada RM20 juta pada tahun 2000. Berdasarkan statisitik hiburan pula, kira-kira 60% daripada keseluruhan nilai industri hiburan negara ini dikuasai oleh lanun cetak rompak.
Golongan artis juga turut merasai kesan daripada aktiviti cetak rompak ini. Sebagai contohnya hasil jualan album artis popular seperti Raiha dan Siti Nurhaliza telah mengalami kemerosotan yang teruk dari tahun ke tahun, iaitu daripada 300 000 unit kepada 100 000 unit. Keadaan ini mengakibatkan pendapatan golongan artis seperti mereka semakin kurang. Berikutan daripada kemerosotan hasil pendapatan itu banyak syarikat rakaman takut untuk mengambil artis rakaman baharu. Hal ini telah membantutkan usaha untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam industri hiburan tanah air.

Oleh sebab, negara kita merupakan antara negara yang paling teruk dilanda masalah cetak rompak, banyak pelabur asing yang tidak yakin untuk melabur dalam industri hiburan di negara ini. Malah, pengeluar dari negara asing juga kurang berminat untuk menempatkan hasil mereka di Negara kita. Hal ini demikian kerana mereka tidak mahu berdepan dengan risiko kerugian Semua fenomena ini telah menjejaskan imej negara kita di mata dunia.

Aktiviti cetak rompak juga telah mengakibatkan rakyat yang terlibat dalam industri ini kehilangan pekerjaan. Hal ini demikian kerana, syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri ini telah mengalami kerugian dan terpaksa menghentikan atau mengurangkan operasi mereka. Selain itu, oleh sebab aktiviti cetak rompak dilakukan secara haram, maka kerajaan tidak memperoleh cukai daripada mereka. Sebagai akibatnya, kerajaan mengalami kerugian daripada kutipan hasil cukai.

Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1) Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata mengalami kemerosotan mendadak? [2 markah ]

2) Apakah yang dialami oleh artis sebagai akibat daripada kegiatan ini? [4 markah ]

3) Apakah yang dialami oleh kerajaan daripada, aktiviti cetak rompak ini? [4 markah ]







No comments:

Post a Comment