Tuesday, September 01, 2009

1. Pemahaman Petikan PMR

Masalah kepupusan beberapa jenis hidupan liar seperti seladang, tenuk, harimau, burung kuang, rusa, napuh, tuntung, dan sebagainya mencetuskan benih kerisauan di dalam hati pencinta alam sekitar. Wujudnya masalah ini sebenarnya berpunca daripada manusia sendiri - manusialah yang memusnahkan hutan dan mencemarkan habitat hidupan itu dan manusia jugalah yang telah memburu dan membunuh hidupan itu.

Untuk memastikan hidupan itu terus dapat menghuni alam ini, kerajaan, telah mengambil beberapa langkah. Antaranya (kerajaan - melalui Kementerian Alam Sekitar - telah meminda Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972. Pindaan itu menetapkan bahawa sesiapa yang menembak dan membunuh haiwan-haiwan yang dilindungi secara haram akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun manakala yang memiliki lebih daripada 25 buah jerat akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi sepuluh tahun.

Pindaan itu juga membenarkan pihak Perhilitan membuat sekatan jalan raya dengan kerjasama pihak polis. Dalam hal ini, mereka boleh menahan dan memeriksa kenderaan yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu serta menangkap mereka yang melanggar Akta tersebut. Selain itu, peraturan mendapatkan lesen atau permit untuk aktiviti pemburuan diketatkan lagi. Pihak Perhilitan berhak sepenuhnya dalam menentukan masa dan tempat berburu kepada pemohon lesen dan permit tersebut.

Pihak Perhilitan juga bertanggungjawab untuk membiakkan species hidupan liar yang dilindungi ke satu tahap populasi yang sihat sebelum dilepaskan ke habitat asalnya semula Beberapa buah pusat pembiakan telah didirikan di Pahang, Perak, Johor, Selangor, Kelantan, dan Melaka. Di samping itu, untuk memastikan fauna negara terus dipelihara, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perhilitan menggalakkan Kerajaan Negeri untuk mewartakan kawasan-kawasan hutan bagi tujuan tersebut, sama ada diwartakan melalui perundangan Persekutuan ataupun perundangan Negeri.

Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1)Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata mencetuskan benih kerisauan?[2 markah]

2)Apakah aktiviti yang dilakukan oleh manusia sehingga menyebabkan belakunya kepupusan hidupan liar ? [4 markah]

3)Apakah yang dapat dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah kepupusan
ini? [4 markah]

No comments:

Post a Comment